Sejarah PAS 20: PAS & Politik Global 1960-1964
IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 20
BAGAIMANA pula dasar luar PAS di bawah pimpinan Dr Burhanuddin? Mari kita lihat ucapan dasar Muktamar Agung PAS dari tahun1960 hingga 1964, untuk mengetahui ke mana arah politik yang hendak dibawa beliau.
Dalam Muktamar ke 9 tahun 1960 beliau mengkritik ketidak sungguhan kerajaan dalam menegakkan keadilan. Katanya:
“Berperi-peri benar kerajaan PERIKATAN mengutuk Afrika Selatan yang mengamalkan dasar perbedaan kulit, kononya kerana tidak adil, tetapi apakah adil namanya apabila kerajaan mengakui sah negara Israel yang dibentuk dengan haram di bumi Palestin yang menjadi hak punya umat Islam Palestin itu?”
Dalam masalah Algeria beliau mendedahkan ‘politik silap mata kerajaan’, di mana Tuan Dr Farhd Abbas PM (Perdana Menteri) kerajaan sementara Algeria dijemput, disambut, dijamu, dikerumuni dan ditepuk belakangnya, tetapi kerajaan PERIKATAN bacul tidak mahu mengakui kerajaan Algeria yang merdeka itu.. Jelaslah kepadanya bahawa siasah Amerika dan Inggeris bertanggung jawab mengarahkan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk tidak mengakui kerajaan sementara Algeria. Kerana pengakuan itu akan merosakkan kawan mereka iaitu Perancis.
Beliau juga mengesahkan dala Muktamar Agung PAS ke 10 tahun 1961, ada usul daripada cawangan supaya PAS mendesak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menegaskan sikap terhadap perjuangan rakyat Algeria untuk mengutuk kerajaan Perancis yang kejam itu. Juga supaya PAS mendesak kerajaan mengutuk dan membantah sikap orang-orang Buddha di Burma yang telah membakar masjid-masjid orang Islam di Ranggon. Begitu juga tentang kegelisahan orang Islam di Selatan Thailand.
Dalam Muktamar PAS ke 11 tahun 1962, Dr Burhanuddin mengajak para hadirin merenung dasar luar kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman yang lebih senang lagi mematuhi dasar luar Amerika dari dasar tersebut. Melihat betapa bodohnya dasar yang diambil hingga kadang-kadang tidak dapat mengelak dari kepercayaan bahawa Persekutuan Tanah Melayu masih belum merdeka dalam beberapa jurusan luar negerinya dan hanya menjadi alat dan corong suara kerajaan lain.
Menurutnya, tiga tahun dulu, PAS telah memberi amaran bahawa memperbanyakkan hutang luar negeri dan mengekalkan perjanjian pertahanan dengan Inggeris adalah sebenarnya mengikat negara kepada mengekori dasar luar Inggeris dan Amerika. Itu semua telahpun terjadi walaupun berbuih-buih air liur PM menafikannya. Contohnya, PM Persekutuan dangan ‘dasar tepuk belakang dan senyum’ melawat PM India dan Presiden Pakistan, telah menunjukkan sokongannya kepada rakyat India dalam masalah Kashmir, sedangkan sudah jelas bahawa ratusan ribu umat Islam Pakistan teraniaya dengan pencerobohan yang berpanjangan kerana kedegilan PM India yang tidak mahu insaf kepada hak dan kebenaran itu.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan tidak berani berdiri di pihak yang benar, walaupun yang benar itu adalah umat Islam sendiri. Tetapi apabila berlaku perselisihan sempadan antara China dengan India PM cepat-cepat menjadikannya sebagai pertarungan antara dua faham iaitu demokrasi lawan komunis. Yang sepatutnya, boleh dasar berkecuali diamalkan. Berhubung dengan kebangkitan rakyat Brunei menentang ‘penjajahan orang-orang kafir’, PM mensifatkan sebagai ‘penderhakaan kepada Sultan Brunei’ dan menuduh PAS suka kepada penderhakaan yang berlawanan dengan Islam.
Dr Burhanuddin pula mensifatkan PM yang menyokong penjajahan di Brunei itu adalah satu lambaran hitan legam dalam sejarah keburukan kerajaan persekutuan, mengandungi pengkhianatan amanah dan penindasan kepada kebebasan. Menurutnya, kalau benar PM menghadkan penyertaan di Brunei dengan penghantaraan beberapa orang sahaja anggota Polis Di Raja, maka tentulah PM tidak bersyarah panjang di Dewan Rakyat. Seolah-olah beliau menjadi wakil penjajah untuk menyatakan kesalahan apa yang disebut ‘gerakan pemberontakan’ sehingga menuduh kerajaan Indonesia mengapi-apikan dan menyokong ‘pemberontakan’ tersebut. Bagi PAS, ada baiknya jika Persekutuan Tanah Melayu menghindarkan diri dari mencari musuh di bidang internasional.
Menurut PM pula, ada anasir-anasir yang suka bahawa perhubungan Tanah Melayu-Indonesia itu retak. Dr Burhanuddin menambah, bahawa bukan soal komunis Indonesia sahaja, tetapi ada anasir-anasir dalam kabinet Persekutuan yang memandang curiga terhadap hubungan baik kedua negara tersebut dan ingin supaya Tanah Melayu menjauhkan diri daripada Indonesia. Kalau dengan Thailand boleh berhubung rapat, maka tidak ada sebab dengan saudara-saudara di Indonesia tidak boleh diperkukuhkan, menurutnya lagi. Beliau ‘gelihati’ terhadap sendiwara politik PM yang menyangsikan taat setia anggota-anggota PAS kepada negara yang mungkin lebih tertumpu kepada Indonesia.
Dalam ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 12 tahun 1964, beliau mengajak hadirin dalam muktamar melebihkan pandangan pada persoalan besar yang dihadapi oleh negara waktu itu, iaitu persoalan konfrantasi. Telah berkali-kali dinyatakan bahawa PAS tegas dengan pendiriannya menghendaki diselesaikan dengan cara damai, sebab itu adalah konsep Islam sejati dan konsep hidup untuk keamanan dunia seluruhnya. Menurutnya, konsep tersebut telah disuarakan oleh PAS di parlimen yang menegaskan, jika peperangan timbul antara dua negara bersaudara ini, maka tiada yang beroleh keuntungan melainkan ‘memberi kesempatan kepada gergasi-gergasi dunia mempertarungkan kekuatan di dunia sebelah sini’.
Negara akan jadi ‘padang jarak padang terkukur’ atau ‘pelanduk mati di tengah-tengah perjuangan antara dua ekor gajah yang besar’. Seperti yang berlaku di Korea, Vietnam, Laos, Cyprus di mana-mana sahaja daerah sengketa dunia, di mana negara besar merebut pengaruh. Akhirnya, persoalan yang timbul lebih banyak merupakan pertarungan antara mereka. Indonesia waktu itu Berjaya mendapat bantuan Rusia dan Malaysia dari Amerika. Konfrantasi makin menghebat, rundingan damai gagal dan perang sempadan tambah berkecamuk. PAS pernah mencadangkan di Dewan Rakyat, supaya Malaysia mengadu kepada Bangsa-bangsa Bersatu.
Menurut Dr Burhanuddin:
“…sesudah mendapat jaminan atau mungkin mendapat nasihat dari PM British, maka barulah PM merasa mustahak membawa persoalan ini kepada Bangsa-bangsa Bersatu.”
Dalam muktamar Agung PAS ke 12 juga, beliau menyentuh soal ancaman komunis yang tidak boleh dianggap mudah. Gerakan komunis dunia nampaknya bertambah aktif walaupun pertentangan ideology antara Rusia dan Komunis China bertambah memuncak. Rusia sedang memperhebat gerakan di Eropah. Komunis China pula di Asia. Pecahnya peristiwa di Vietnam-Amerika mencetuskan satu kesempatan baru bagi Komunis China untuk menghalalkan tindakannya. Seluruh Asia Tenggara gempar dan gegar. Thailand telah menunjukkan kebimbangan.
Dr Burhanuddin mengajak memperhitungkan:
“Apakah negara gajah putih itu dapat menahan kemaraan komunis utara dengan pertahanan sempadan? Sedangkan gerakan komunis dalam negaranya sendiri masih hidup dengan liar? Apakah kemaraan komunis dari utara iru akan menjadi satu perangsang kepada gerakan komunis negara Thai dan saki baki komunis di sempadan Tanah Melayu dan Selatan Thai?”
Itu juga adalah perkara besar yang berkait persoalannya dengan konfrantasi. Oleh itu menjadi satu kesilapan apabila konfrantasi hanya ditinjau sebagai masalah tersendiri sahaja. Menurut beliau, keselamatan dan kebahagiaan masa depan negara bergantung kepada kebijaksanaan pimpinan, iaitu kebijaksanaan yang bebas dari tekanan pengaruh luar. Menurutnya, negara-negara Afrika dan Asia sudah berada di dalam satu perpaduan Afrika-Asia, melalui usaha badan tersebut banyak negara-negara Afrika-Asia yang sudah merdeka dan berdaulat.
Negara Israel pula telah wujud dengan sokongan moral dan material dari negara-negara barat yang kemudiannya diiktiraf oleh banyak negara, termasuk Malaysia. Mengiktiraf Israel bukan sahaja menyokong tindakan jahat penjajahan, malah menjauhkan negara-negara Afro-Asia dari memahami dan menyokong Malaysia. PAS sekali lagi akan membawa usul dalam parlimen supaya kerajaan menarik balik pengakuannya terhadap negara haram Israel itu.
Memandangkan kepada kedudukan dunia, maka Dr Burhanuddin menyarankan bahawa untuk menghapuskan ketegangan yang berlaku waktu itu, bagi PAS tidak ada jalan-jalan yang lain, selain dari semua bangsa-bangsa di dunia benar-benar mempunyai kemahuan untuk:
1..Membentuk dasar-dasar kerjasama bagi keamanan.
2..Mengharamlkan senjata-senjata nukelier dan mengamalkan senjata demi keselamatan dan kebajikan umat manusia.
3..Memelihara dan menghormati hak tiap-tiap bangsa bagi menentukan nasibnya sendiri tanpa diganggu-gugat oleh anasir-anasir penjajahan dan pemerasan.
4..Membantu tiap-tiap bangsa yang berjuang untuk kemerdekaan dan menghapuskan penjajahan di negaranya dalam apa jua corak.
5..Membatalkan hak-hak vito yang ada pada kuasa-kuasa besar di dalam Bangsa-bangsa Bersatu.
(Sila lihat buku ‘PAS Tuntutan Kebangkita Ummah’ Ucapan Dr Burhanuddin Al-Helmi: terbitan GG Edar 1988)
Beliau mengingatkan lagi, jika Bangsa-bangsa Bersatu hendak kekal menjadi sebuah pertubuhan dunia yang jujur berkesan, maka hendaklah berusaha bersungguh-sungguh memelihara, menghormati dan menjalankan lunas-lunas tersebut di atas. Itulah harapan PAS dan seluruh umat manusia yang cintakan keadilan dan perdamaian. Itulah juga yang menjadi pokok dasar luar PAS. Untuk Malaysia, beliau bagi pihak PAS mendesak supaya kerajaan mengisytiharkan kepada dunia bahawa ia mempunyai, mengamalkan dasar luar yang bersifat berkecuali, bebas, aktif dan lepas dari pengaruh penjajah atau pengaruh komunis.
Juga bersahabat baik dan bergabung dalam satu pertubuhan setiakawan negara-negara Afrika-Asia. Untuk menjamin persahabatan dan perpaduan tersebut, maka hendaklah dibatalkan perjanjian pertahanan antara Malaysia dengan Great Britian pada masa itu. Sebagai gantinya, Malaysia hendaklah mengadakan perjanjian persahabatan sebaik-baiknya dengan Great Britian tersebut. Itulah sebahagian dari dasar luar atau sikap terhadap politik global PAS di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi.
No comments:
Post a Comment