Monday, January 3, 2011

DUN tergempar bagi kembalikan kuasa Sultan

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengadakan sidang dewan undangan negeri tergempar bagi meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan mereka melantik setiausaha kerajaan negeri, penasihat kewangan dan penasihat undang-undang.

NONEKeputusan itu diambil setelah perjumpaan Khalid dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, Shah Alam, hari ini di mana baginda bertitah beliau tidak mempunyai kuasa untuk menerima ataupun menolak perlantikkan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

"Ini kerana kuasa telah dirampas pada 1993 semasa krisis perlembagaan, di mana Perlembagaan Selangor dipinda untuk memberi kuasa kepada kerajaan pusat,” kata Khalid pada sidang media yang penuh sesak dengan kehadiran wartawan.

Menurut Khalid, Baginda mencadangkan kepada kerajaaan negeri bagi membincangkan perkara berkenaan dengan SPA untuk mencari “jalan penyelesaian yang terbaik”.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak akan mengahadiri upacara mengangkat sumpah oleh Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru yang dijadualkan pada 6 Januari ini.

Selain itu, menurut Khalid, Khusrin juga tidak akan dibenarkan menghadiri mesyuarat exco atau menjalankan tugas-tugas rasmi sehingga isu berkenaan selesai.

Khalid, bagaimanapun mengakui perlantikkan Khusrin sebagai "sah" dan berkata beliau boleh melaksanakan tugas-tugas tidak rasmi seperti menyelia pegawai daerah.

Sehingga kini, Khalid belum berjumpa dengan Khusrin meskipun bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu melaporkan dirinya hari ini.