Sejarah PAS 10: Prof Dr Burhanuddin
IBNU HASYIM:Fokus Sejarah PAS Siri 10
ERA kebangkitan PAS peringkat kedua pun bermula. Ia bermula apabila PAS menemui seorang pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman dalam politik tanahair. Dr Burhanuddin seorang doktor perubatan homeopathy dijemput mengambil alih kepimpinan dari Dr Abbas, juga seorang doktor perubatan allopathy.
Dr Abbas Alias, dengan rasa tawaddhuk dan rela hati menyerahkan amanat yang terpaksa dipikul dari pimpinan pertama dulu, untuk memimpin persatuan yang ia asaskan bersama rakan-rakannya seperti Mohd Asri Haji Muda, Haji Zabidi Ali dari Pulau Pinang dan lain-lain. Muktamar PAS ke 5 pada 23 hingga 25 Disember 1956 di Kuala Lumpur, telah memberi mandat kepada Dr Burhanuddin yang juga seorang professor untuk menerajui kebangkitan PAS seterusnya.
Burhanuddin bin Haji Muhammad Noor yang dilahirkan di Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak, pada 29 Ogos 1911. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Behrang Ulu, di Bakap dan Kota Bharu. Waktu di Kota Bharu, beliau mula menulis dan menerbitkan ‘Berita Minggu’, iaitu akhbar mingguan berita di sekitar kampungnya. Pada tahun 1924, belajar agama di Sungai Jambu Sumatra, di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah dan Madrasah Al-Mashor Al-Islamiah di Pulau Pinang.
Dalam tahun 1928, ia mengembara ke India, sambil mengikuti pergerakan Mahatma Ghandi, Mohd Ali Jinnah, Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India. Ia juga menuntut di Aligarh Muslim University dan mendapat ijazah perubatan homeopathy di Ismaeliah Medical College New Delhi, sehingga digelar ‘anak Melayu pertama belajar homeopathy’. Akhirnya, beliau telah memperkenal dan menyebarkan ilmu perubatan tersebut ke seluruh tanah air hingga seperti yang ada sekarang.
Tahun 1935, ia kembali ke tanah air menjadi guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned, Singapura dan aktif dalam pegerakan-pegerakan Islam di pulau tersebut. Dua tahun kemudian, menerbitkan majalah ‘Taman Bahagia’ tetapi satu jam sesudah isu pertama majalah itu diedarkan, iapun ditangkap dan ditahan oleh penjajah British. Kemudian dibebaskan dengan jaminan $1,000 (satu ribu ringgit Malaya). Dikatakan juga beliau ditangkap kerana beliau mengecam dasar Inggeris di Palestin dan membela hak-hak Arab Muslimin (Menunjukkan betapa kuatnya cita-cita kuasa-kuasa barat hendak meranapkan Islam dengan menubuhkan negara Israel (1948) bagai duri dalam daging di tengah-tengah jantung umat Arab).
Pada tahun 1939, Dr Burhanuddin diperkenalkan dengan Kesatuan Melayu Muda atau KMM, yang baru ditubuhkan kita-kira 2 tahun sebelumnya. Tetapi menjelang peperangan Dunia Kedua pada tahun 1940, ramai pemimpin KMM ditangkap termasuk Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Sutan Djenin dan lain-lain oleh British, yang kemudiannya dibebaskan apabila Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942. Dr Burhanuddin tidak ditangkap mungkin kerana beliau belum begitu aktif dalam KMM.
Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau memegang jawatan Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu atau Advisor on Malay Custom and Culture, berpejabat di Markas Pentadbiran Jepun, di Taiping. Seperti juga pemimpin KMM yang lain, ia menggunakan jawatan yang diberi oleh Jepun untuk membebaskan Tanah Melayu dari sebarang bentuk penjajahan. Beliau menganjurkan dua kongres Islam, melindungi dan membantu Maahad Al-Ihya Al-Syarif, pusat pendidikan Islam di Gunung Semanggul, Perak.
Pada bulan Julai 1945, Ibrahim Yaacob, Dr Burhanuddin, Onan Siradj dan beberapa pemimpin KMM telah menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), dengan sokongan pemerintah tentera Jepun untuk mengambi-alih pemerintahan Tanah Melayu selepas Jepun menarik diri. Dr Burhanuddin dan Ibrahim Yaakob bertemu dengan pemimpin-pemimpin politik Indonesia iaitu Sukarno dan Mohd Hatta di lapangan terbang Taiping. Pertemuan sewaktu pemimpin-pemimpin tersebut dalam perjalanan pulang dari perjumpaan dengan pemerintah Jepun di Markas Jepun Asia Tenggara Saigon pada 12 Ogos 1945.
Pertemuan dan persetujuan tersebut berbunyi, ‘Tanah Melayu akan bersama-sama Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945’. Tetapi malangnya, 3 hari sebelum itu apabila pemerintah Jepun di Tokyo telah mengumumkan kekalahannya pada Kuasa-kuasa Berikat, Dr Burhanuddin tidak dapat berbuat apa-apa, kerana kumpulan-kumpulan penentang Jepun telah menguasai keadaan Tanah Melayu. Sedangkan Sukarno terus mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.
Selepas British kembali ke Malaya, Mokhtaruddin Lasso dan Ahmad Boestamam yang sedang kendalikan akhbar ‘Suara Rakyat’ telah menubuhkan PKMM atau Partai Kebangsaan Melayu Malaya di Ipoh pada 17 Oktober 1945. Mokhtaruddin Lasso dilantik sebagai Yang Dipertua Agung dan Dr Burhanuddin sebagai Naibnya, walaupun beliau tidak hadir dalam perjumpaan itu. Tetapi Mokhtaruddin dikatakan ‘menghilang diri’ beberapa hari selepas dilantik sah dalam kongres ke I PKMM yang diadakan pada 30 November hingga 3 Disember tahun tersebut.
Maka dengan persetujuan pimpinan Dr Burhanuddin mengambil alih jawatan itu, dan tempatnya diganti oleh Ishak Haji Muhammad. Di bawah pimpinan Dr Burhanuddin, PKMM bersama-sama badan-badan Melayu lain telah turut menganjurkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, kerana menentang rancangan Malayan Union tajaan British. Walaupun pada awalnya PKMM menyokong dasar ‘kesatuan’ Tanah Melayu itu, tetapi 2 bulan kemudian PKMM terpaksa keluar dari UMNO kerana menentang sikap tolak ansur pemimpin-pemimpin UMNO terhadap penjajah British.
Pada Februari 1947, PKMM bersama API, AWAS dan beberapa badan lain bergabung sebagai satu barisan politik Melayu, diberi nama Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), untuk menentang UMNO dalam menentukan corak politik Malaya. PUTERA bergabung dengan All-Malaya Council for Join Action (AMCJA) dengan Dr Burhanuddin sebagai Pengerusi, untuk menguatkan lagi tentangan terhadap British dan UMNO.
Semasa menjadi ketua PKMM, beliau berjaya mengumpulkan kawan-kawannya di Maahad Al-Ihya’ Al-Syarif bagi menganjurkan Persidangan Ekonomi-Agama Se Malaya pada 22 hingga 24 Mac 1947, di mana menghasilkan penubuhan Pusat Perekonomian Melayu Se Malaya atau PEPERMAS, dan Majlis Agama Tertinggi Se Malaya atau MATA. Tetapi apabila beliau setuju terima jawatan Penasihat Agung PKMM yang baru diwujudkan pada Disember 1947 di kongres Singapura, jawatannya diganti oleh Ishak Haji Muhammad.
Mungkin di situ ada sikit ‘main politik’. Mengikut Ahmad Boestamam ‘proses guling’ tersebut dibuat kerana beliau terlalu ‘lurus dan jujur hingga rugikan PKMM’. Mengikut John Funston, ‘adalah manifestasi rebut-kuasa antara sayap Islam di bawah Dr Burhanuddin dengan sayap kiri di bawah Boestamam dan Ishak.’ Hujung tahun 1947, Dr Buhanuddin mengetuai wakil Malaya ke Inter-Asean Relations Conference di New Delhi, India.
Namun di Malaya sendiri perubahan politik begitu pesat berkembang. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dikuatkuasakan pada Februari 1948, tetapi telah ditentang oleh Parti Komunis Malaya atau PKM secara militan atau bersenjata, menyebabkan parti itu diharamkan. Atas alasan inilah, maka pada Jun tahun itu, pemerintah British mengisytiharkan Undang-Undang Darurat, haramkan PKMM dan menangkap pemimpin politik yang menentang mereka.
Antara yang ditangkap termasuklah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir pemimpin Hizbul Muslimin, sebuah gerakan Islam yang baru ditubuh beberapa bulan, di mana PKMM dan Dr Burhanuddin terlibat dalam penubuhannya. Dalam keadaan begini beliau berpindah ke Singpura. Di Singapura dikatakan beliau terlibat dalam ‘kes Natrah’ dan ditangkap pada Disember 1950. Mengapa dengan kes Natrah?
Natrah (ada juga tulis Nadra), nama asalnya Maria Hertogh, adalah anak perempuan seorang soldadu Belanda yang ditahan tentera Jepun di Jawa Indonesia. Untuk selamatkannya, anak itu diberikan oleh ibunya kepada seorang wanita Melayu di Terengganu dari keluarga yang berada. Natrah dibesarkan di negeri Terengganu dalam masyarakat Melayu-Islam, dan akhirnya berkahwin dengan pemuda Islam bernama Mansur Adabi.
Tetapi pada tahun 1950, ibubapa Natrah yang berada di Belanda meminta mahkamah Singapura kembalikan balik Natrah kepada mereka. Walaupun proses penghakiman penjajah telah menyetujuinya, namun ia ditentang oleh Jawatankuasa Bertindak Natrah yang dianggotai oleh Dr Burhanuddin. Beliau dituduh ‘membangkitkan kemarahan orang ramai melalui tulisannya, berakibatkan rusuhan orang Islam menuntut hak secara Islam, yang akhirnya ramai terkorban di pulau tersebut.’ Setahun kemudiannya, beliau dibebaskan.
Pada April 1955 beliau dijemput ke Kongres Pemuda Melayu Se Malaya di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh Datuk Onn tetapi dipulau oleh UMNO. Beliau dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) yang diberi mandat mewakili mereka ke Persidangan Afro-Asia di Bandung. Sekembalinya dari Bandung, beliau melibatkan diri dalam kempen pilihan raya Persekutuan 1955, atas nama Barisan Kebangsaan Melayu yang ditubuhkan oleh Kongres Pemuda Melayu Se Malaya tersebut.
Menurut Professor Means dalam ‘Malaysian Politics’ London, melalui syarahannya dalam pilihan raya, beliau megkritik UMNO dan Parti Negara pimpinan Datuk Onn, serta meragui terhadap pilihanraya itu sendiri. Professor Dr Burhanuddin juga adalah perancang penubuhan Parti Rakyat Malaya, dengan persetujuan Ahmad Boestamam yang baru bebas dari tahanan darurat pada Julai 1955. Beliau akan dilantik sebagai Ketua Umum parti itu yang dilancarkan pada November 1955 kelak.
Tetapi yang terjadi sebaliknya, beliau bersetuju menyertai PAS dan dilantik sebagai Yang Dipertua parti itu, di Muktamar Tahunan ke 5 pada 23 Disember 1956. Dengan itu berakhirlah ucapan yang mempersenda-sendakan PAS sebelumnya, bahawa ‘PAS laksana ular, ekor bergerak tetapi kepalanya tidur!’ Kini kepalanya sudah bangun untuk mencabar lawan.
Tambahan I:
PAS & Tuntutan Awal Terhadap Perlembagaan Negara Selepas 1955.
-Laman Web PAS: Kemaskini Terakhir Sunday, 07 January 2007
PILIHANRAYA Persekutuan 1955 di adakan - kemenangan mutlak yang berpihak kepada parti Perikatan (51 daripada 52 kerusi), kerajaan British telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu dengan beberapa syarat yang telah dikenakan. Pada awal Januari 1956, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengetuai satu rombongan ke London bagi membincangkan mengenai masa depan negara khususnya pembentukan Suruhanjaya Bebas untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kerana parti-parti perkauman yang menganggotai Perikatan (UMNO-MCA-MIC) ketika itu masih mempunyai masalah dalam mencari penyelesaian dan kata sepakat tentang nama negara selepas merdeka, status kerakyatan, bahasa kebangsaan, agama rasmi serta kedudukan dan hak keistimewaan orang-orang Melayu.
Hal ini sangat rumit kerana adanya kepentingan yang berbeza antara satu sama lain. Cadangan mengenai pembentukan Suruhanjaya Bebas ini telah dicadangkan oleh Perikatan dan telah dipersetujui oleh British. Bagaimanapun, cadangan mengenai pembentukan Suruhanjaya Bebas yang dianggotai oleh orang asing itu telah ditentang hebat dan dibantah keras oleh PAS. PAS berpendapat perlembagaan negara ini tidak seharusnya dibuat oleh orang yang lain daripada anggota atau rakyat negara ini sendiri. Adalah suatu perkara yang benar-benar ganjil jika sekiranya Persekutuan Tanah Melayu yang sedang di ambang pintu kemerdekaan ini telah membuat satu suruhanjaya yang meletakkan nasib dan masa depannya sesudah mencapai kemerdekaan kepada beberapa orang yang dijemput khas datang ke negara ini dan mengadakan pula penyiasatan-penyiasatan yang telah ditentukan jalannya untuk menggambarkan tuntutan-tuntutan dan hasrat rakyat negara ini bagi di masukkan di dalam perlembagaan tersebut.
Perbuatan ini selain daripada sesuatu yang ketara keganjilannya, adalah berlawanan dengan asas jatuh bangun dan asas kepercayaan sesuatu bangsa kepada dirinya sendiri. Bagi PAS, jika sekiranya suruhanjaya tersebut perlu diadakan juga, ia hendaklah diwujudkan dari orang yang benar-benar tahu hal dan selok-belok negara ini. Pada peringkat awal, PAS tidak keseorangan dalam memperkatakan perkara ini. Raja-raja Melayu juga tidak bersetuju untuk menerima Suruhanjaya Bebas tersebut. Malah salah seorang daripada Raja Melayu pernah melahirkan kebimbangan beliau terhadap kejujuran Suruhanjaya Bebas itu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Bantahan PAS itu bagaimanapun tidak berkesan. Pada awal Mei 1956 - pembentukan suruhanjaya telah dilakukan dan wakil-wakilnya telah dilantik oleh pihak British dan Perikatan.
Suruhanjaya ini telah dikenali sebagai Suruhanjaya Reid dengan dianggotai oleh lima orang wakil, iaitu dari England, Pakistan, India, Kanada dan Australia. Empat daripada lima wakil tersebut bukan merupakan daripada kalangan orang Islam. Sebagaimana disebutkan di awal tadi, perlantikan suruhanjaya ini adalah untuk membuat cadangan perlembagaan bagi mendapatkan pandangan-pandangan yang tidak berat sebelah.
Butir-butir lanjut rujukan suruhanjaya itu adalah seperti berikut:
1. Mewujudkan sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat.
2. Menjaga kedudukan dan kehormatan Raja-Raja Melayu;
3. Perlantikan salah seorang sultan sebagai Raja Berperlembagaan Bergelar.
4. Suruhanjaya ini telah mengadakan perjumpaan atau sidang pertamanya pada akhir Jun 1956.
Walaupun tidak bersetuju dengan pembentukan suruhanjaya itu, namun sebagai tanda penghormatan PAS kepada asas demokrasi dan memandangkan kepada kepentingan bangsa dan negara, maka PAS telah mengemukakan memorandumnya kepada suruhanjaya tersebut pada 14 Julai 1956. Dalam memorandum itu, PAS telah mengingatkan anggota-anggota suruhanjaya itu bahawa Tanah Melayu adalah negeri Melayu yang telah diakui oleh sejarah dan telah diiktiraf oleh undang-undang. Justeru, peruntukan dalam perlembagaan bagi mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu hendaklah dilihat dari konteks tersebut.
Pada pandangan PAS, sebarang usaha untuk menidakkan hak keistimewaan itu adalah bercanggah dengan hak kemanusiaan dan prinsip undang-undang. Orang-orang Melayu hanya mempunyai satu kedudukan sahaja dalam negeri ini, iaitu mereka memiliki negeri ini dan hak kedaulatan mereka ke atas negeri ini adalah mutlak. Oleh kerana itu juga, PAS telah meminta Suruhanjaya Reid untuk menolak kaedah Jus Soli yang dituntut oleh bangsa asing sebagai prinsip dalam pemberian status kerakyatan. Tuntutan itu tegas PAS sekiranya diterima akan sehubung dengan perkara ini. PAS juga mencadangkan agar struktur sosial dan pola kebudayaan Tanah Melayu hendaklah disesuaikan dengan hak kedaulatan Melayu.
Kebudayaan kebangsaan Persekutuan hendaklah berumbikan kebudayaan Melayu. Berkaitan dengan itu juga, Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan. Bahasa Inggeris hanya akan menjadi bahasa kedua sahaja dan itu pun untuk tempoh jangka masa lima tahun sahaja. PAS juga meminta agar Bahasa Melayu digunakan dalam setiap urusan pentadbiran. Penggunaan Bahasa Inggeris hanya sekadar yang diperlukan sahaja dan ia mestilah dipastikan tidak menjejaskan perkembangan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan. Sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas dan dasar perjuangan, PAS dengan tegas mencadangkan agar agama Islam dijadikan agama rasmi negara. Ini adalah kerana PAS yakin dan percaya bahawa ajaran Islam sememangnya berkemampuan untuk memandu kemajuan negara dari segi politik.
Dari segi sistem pemerintahan, PAS bersetuju dengan bentuk sistem Persekutuan yang sedia ada. Bagaimanapun, PAS menekankan bahawa sistem itu hendaklah tertakluk kepada kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu atau Majlis Raja-Raja Melayu yang diketuai oleh Yang Di Pertuan Besar. Yang Di Pertuan Besar akan dianggap sebagai Raja Berperlembagaan dan Pemerintah Tertinggi bagi Persekutuan Tanah Melayu.
Mengenai soal kerakyatan, PAS mencadangkan agar prinsip kerakyatan yang termaktub dalam Undang-Undang Kebangsaan British 1948 hendaklah dikekalkan dengan beberapa pindaan dibuat, iaitu:
1. Jangka masa bermastautin yang diperlukan oleh bangsa asing bagi melayakkan mereka memohon status kerakyatan ialah tidak kurang daripada 15 tahun.
2. Penggunaan prinsip Jus Soli untuk bangsa asing.
3. Hanya Bahasa Melayu sahaja yang digunakan untuk peperiksaan kelayakan bahasa bagi mendapatkan hak kerakyatan.
Selain itu, PAS juga telah meminta supaya dimasukkan dalam perlembagaan bahawa sesiapa yang telah mencapai kelayakan untuk memohon status kerakyatan di negara ini hendaklah membuat keputusan muktamad sama ada mereka berhasrat untuk menjadi rakyat negara ini ataupun tidak. PAS menganggap pengistiharan ini adalah penting bagi keamanan negara. Ini adalah kerana sekiranya seseorang itu enggan membuat demikian ia akan dianggap sebagai bangsa asing. Disamping itu juga, sekiranya seseorang itu tidak mengemukakan permohonannya dalam tempoh jangka masa tiga tahun selepas kelayakan, ia tidak lagi layak untuk mengemukakan permohonan. PAS juga menuntut agar satu rupa bangsa sahaja diwujudkan di Tanah Melayu, iaitu rupa bangsa Melayu.
Dari segi hak keistimewaan orang-orang Melayu, PAS meminta Suruhanjaya Reid memperakui bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah milik orang-orang Melayu. Justeru, hak keistimewaan sebagai tuan rumah hendaklah dihormati dan dipertahankan sampai bila-bila masa. Bagaimanapun, PAS telah memberi jaminan bahawa hak kaum asing akan tetap dihormati seperti yang telah dimaktubkan. PAS juga akan menentang sebarang cubaan oleh kaum asing untuk merampas hak orang-orang Melayu kerana ia bertentangan dengan hak kedaulatan orang-orang Melayu di negara ini. PAS juga menegaskan bahawa sebarang pindaan berhubung dengan hak keistimewaan orang-orang Melayu, Bahasa Kebangsaan dan Agama Islam hendaklah dengan persetujuan sebulat suara Majlis Raja-Raja Melayu.
Dapatlah dikatakan di sini bahawa kesemua pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menerima baik saranan dan cadangan yang telah dikemukakan oleh PAS itu, khususnya mengenai hak ketuanan Melayu dan segala bentuk keistimewaan yang berkaitan dengannya seperti isu bahasa dan agama yang harus dipertahankan dalam Perlembagaan baru itu.
No comments:
Post a Comment