Pada kali ini saya cuba membawa sedikit untaian untuk memberi pemerhatian dalam jalan dakwah bagi memahamkan suatu isu yang sepatutnya jelas sudah setelah pelbagai makenisma aliran pemikiran serta pendidikan bercambah dalam hal yang berkaitan Siyasah Syar’iyah atau Politik Islam.
Sehingga hari ini masih ramai umat Islam kontemporari (Khususnya di Malaysia) masih terkeliru malah cuba untuk tidak memahami peri pentingnya Siyasi atau Politik Islam yang mana kesannya terhasil dari “berjayanya Ideologi sekulerisme” sejak 500 tahun lalu yang juga menyaksikan keruntuhan empayar Islam tersohor pada 1924 Masehi.
Secara asasnya harus kita ketahui dalam memahami Islam sebagai Ad‘Deen ianya bukan sekadar menjadikan kita sebagai umat manusia yang “baik” iaitu hanya menyempurnakan hal ehwal keperluan hidup semata dan menyelesaikan tanggungjawab Fardhu ain’ tanpa melihat keperluan lain yang mesti diterjemah dalam hubungan lansung kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.
Definasi SIYASAH atau POLITIK
Siasah menurut bahasa :
“Sasa- yasusu- siyasatan wa riasah” yang membawa maksud tadbir, perintah, mengetuai ( Lisan al-Arab, Dar al-kutub al-ilmiah)
Manakala menurut istilah para ulama’ terdahulu terbahagi kepada dua, iaitu :
1. Makna ‘Am : Mentadbir urusan manusia dan urusan dunia mereka dengan syariat Deen. Dengan ini kita dapati mereka mentakrifkan ‘Khilafah’ sebagai :
نيابة عن رسول الله صلى الله عليهم وسلم في حراسة الدين وسياسة الدنيا به
Mafhum : “Sebagai pengganti tugas Rasul dalam menjaga Agama dan mentadbir Dunia dengan berpaksikan agama”
2. Makna Khas : Tindakan-tindakan yang dibuat oleh Imam (Pemerintah) berdasarkan sumber-sumber, bertujuan untuk menghalang kerosakan dan mencegah kerosakan yang belum melanda atau suatu langkah pemulihan.
DALIL KEWUJUDAN POLITIK DI DALAM ISLAM
Sejak fahaman Sekularisme menjadi doktrin system pemerintahan di kebanyakan Negara di dunia, ummat manusia menjadi terkeliru dengan istilah ‘politik kotor’ atau Urusan Agama tiada kaitan dengan politik , (InsyaAllah saya akan cuba bawakan dalam artikel yang akan datang punca sebenar doktrin pemisahan urusan Agama dalam politik atau pemerintahan ini bermula , sebab musabab dan perancangan jahat dari kesan lansung oleh kumpulan “priory of the sions”).
Justeru percubaan memisahkan politik dari prinsip Islam ini sentiasa diperjuangkan oleh musuh-musuh Islam juga terdiri dari kalangan umat Islam sendiri. As-Shahid Sayyid Qutb berkata , Islam yang dikehendaki oleh Colonial dan Amerika serta balaci-balaci produk secular di Timur Tengah iaitu menjadikan Islam yang tidak menentang penjajahan, kezaliman, komunisme tetapi sebenarnya mereka tidak mahukan Islam memerintah, mereka mahu Islam yang membicarakan perkara yang membatalkan wudhu’ sahaja soal nikah serta soal azam beramal tanpa sebarang panduan ilmu yang sohih dan juga mereka tidak mahu persoalan Kewangan dan Ekonomi Islam , Politik Islam , Masyarakat Islam , Budaya Islam , Hiburan Islam dan semua aspek yang berkaitan dengan Islam.
Bagi mengembalikan kefahaman umat, menjadi kewajiban bagi merujuk kepada rujukan utama Islam dalam hal kesempurnaan Islam dalam kepelbagaian bidang kehidupan.
Dalil Pertama : Dari Al-Quran
Firman Allah SWT :
الذين إن مكناهم في الأرض أقاموا الصلاة وآتوا الزكاة وأمروا بالمعروف ونهوا عن المنكر
(ولله عاقبة الأمور ( الحج:41
Mafhum : Sesungguhnya orang yang kami berikan kepada mereka kekuasaan di atas muka bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan, melarang kemungkaran, dan kepada Allah mereka menyerahkan penghujung sgl usaha” (Al-Haj : 41)
Ayat di atas dengan jelas lagi terang menerangkan fungsi dan peranan pemimpin. Ia secara langsung menyentuh isu politik.
(ونزلنا عليك الكتاب تبيانا لكل شيء وهدى ورحمة وبشرى للمسلمين (النحل:89
Mafhum : Dan telah Kami turunkan kepada kamu, Kitab (al-Quran) yang didalamnya mengandungi penerangan terhadap semua perkara serta menjadi petunjuk dan rahmat dan membawa berita gembira bagi muslimin" ( An-Nahl : 89)
Ayat di atas pula menerangkan bahawa semua urusan kehidupan manusia telah pun diterangkan dasarnya di dalam Al-Quran, justeru ia adalah satu penegasan bahawa dasar yang melibatkan hal ehwal politik juga terkandung di dalamnya.
Dalil Kedua : Dari Al-Hadith
1. Sabda Nabi SAW :
إذا كان ثلاثة في سفر فليؤمرو اعليهم أحدهم (رواه ابو داود والطبراني عن أبي سعيد و أبي هريرة وإبن مسعود بإسناد صحيح )
Mafhum : “Apabila keluar tiga orang semasa bermusafir maka telah mesti ke atasnya melantik seorang darinya sebagai ketua” ( Riwayat Abu Daud dan At-Tabrani, dengan sanad yang shohih)
2. أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر (النسائي وصححه النووي )
Mafhum : “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang haq dihadapan pemerintah yang zalim”
3) سيد الشهداء حمزة ثم رجل قام إلي إمام جائر فأمره ونهاه فقتله
Mafhum : “ Penghulu para syuhada; adalah Hamzah ra, kemudian lelaki yang bangun kepada pemerintah yang zalim lalu mengajaknya kepada kebenaran dan melarangnya dari kemungkaran lalu ia dibunuh kerana itu” ( Al-Hakim mentashihkan hadith ini)
4. رواه مسلم) من مات وليس في عنقه بيعة فإن ميتته جاهلية
Mafhum : “Barangsiapa yang mati, dalam keadaan tiada padanya suatu bai’ah( iqrar janji taat kepada pemimpin Islam) maka matinya seumpama dalam keadaan Jahiliyyah” (Riwayat Muslim)
5. Piagam Madinah yang mengandungi 47 fasal, merupakan intipati sebuah perlembagaan negara. Antara lain isinya menyebut isu-isu politik kenegaraan, pentadbiran Rasulullah SAW terhadap Muhajirin, Ansar dan Yahudi.
6. Beberapa contoh tindakan Siyasah Syar’iyyah yang dilakukan di zaman Baginda SAW:
- Nabi SAW bersungguh-sungguh mengecam untuk membakar rumah mereka yang tidak bersolat jemaah.
- Menggandakan denda ke atas pencuri yang tidak cukup nisabnya untuk dipotong tangan, malah dilaksanakan hukuman sebat sebagai pengajaran.
- Merampas harta individu yang tidak mahu mengeluarkan zakat.
- Memecahkan bekas-bekas arak dan juga periuk-periuk yang dimasak di dalamnya daging yang haram , kemudian dinasakh hukum memecahkannya kepada basuh.
- Memerintahkan wanita yang mencaci dan melaknat untanya, agar melepaskannya.
- Memerintahkan agar dihukum bunuh bagi peminum arak bagi kali ke 4, hukum ini dinasakhkan selepas itu.
- Memerintah agar ditangkap Yahudi yang menghentak kepala seorang hamba wanitanya dengan batu, Nabi menerima dakwaan wanita tadi lalu menghukum memukul kepala si Yahudi.
Semua Sunnah Qawliyah dan Fe’liyah baginda SAW di atas, menjurus kepada hal ehwal pentadbiran dan Politik Islam.
Dalil Ketiga : Dari Athar Sahabat & Para Ulama Mujtahidin
1. Berkata Saidina Umar al-Khattab : لا إسلام إلا بجماعة ولا جماعة إلا بإمارة, ولا إمارة إلا بالطاعة
Mafhum : Tiada Islam kecuali dengan Jemaah, tiada Jemaah kecuali dengan Kepimpinan, Tiada Kepimpinan kecuali dengan Ketaatan.
2. Imam As-Syafie berkata : “ لا سياسة إلا ما وافق الشرع “
Ertinya : “Tidak diiktiraf siyasah kecuali pentadbiran yang menepati syara”
3. Berikut adalah contoh amalan siyasah syar’iyyah oleh para sahabat:
- Saidina Abu Bakar membakar para peliwat.
- Saidina Umar membakar kedai-kedai arak dan membakar kampung yang menjual arak di dalamnya.
- Saidina Umar mencukur rambut Nasar bin Hajjaj serta dibuang daerah kerana ketampanannya terlalu memikat wanita hingga ramai yang berhajat melakukan maksiat dengannya.
- Saidina Umar memukul Sobi’ bin ‘Asal kerana bertanya soalan yang tidak sepatutnya.
- Mengarahkan sahabat tidak memperbanyakkan meriwayat Hadith ketika mereka sibuk dengan Al-Quran.
- Saidina Uthman mengumpulkan Al-quran dengan satu qira’at.
Berdasarkan beberapa Dalil Wahyu Allah SWT , Hadith serta Athar tadi, jelas bahawa aspek siyasah (politik pemerintahan) semestinya terkandung di dalam Islam bahkan Nabi SAW juga merupakan seorang pemimpin politik apabila baginda menjadi Ketua Negara di Madinah.
Siyasah Syari’yah merangkumi semua aspek dalam urusan kehidupan manusia dan Alam itu sendiri diantarnya , :
- Kewujudan Politik di dalam Islam.
- Dawlah Islamiyah dan Konsep Pemerintahan Islam.
- Hak wanita sebagai pemimpin dalam Siyasi / Politik.
- Hak bukan Islam di dalam Pemerintahan Islam.
- Demokrasi serta pendirian Islam terhadapnya.
- Pendirian Islam terhadap Muwajahah Silmiyah (Pilihanraya) , Demonstrasi dan Konsep Berparlimen.
- Maslahat Umum / Kepentingan Rakyat.
- Golongan Muda : Hubungkait dalam Politik Islam sebagai ‘A waiting Government Agenda dan menangani pemikiran dan kehendak tiada batas menurut Siyasah syar’iyah.
- Dan banyak lagi jika hendak saya utarakan disini termasuk apa yang kini menjadi bahan persoalan iaitu urustadbir kewangan yang berasaskan pengurusan Kewangan Islam.
- Pengurusan Kesihatan dalam Islam dan lain-lain lagi.
ersoalan Fiqh Dawlah dan Siyasah Syar’iyyah kini sudah mula mendapat perhatian apabila tatkala seantero dunia melihat kejayaan bertali arus kepimpinan Islam seperti di Iran , Turki , Palestine (Kerajaan HAMAS sebelum diguling oleh rejim zionist) dan kejayaan Parti Islam Semalaysia PAS dalam mengurus tadbir kerajaan Kelantan yang bertahan selama hampir 20 tahun melalui kepimpinan Ulama maka bercambahlah kefahaman Islam berkembang dan menyerapi pemikiran umat manusia yang selama ini gersang diselaputi oleh ideology sesat amalan pemerintah sekular. Benarlah sabda Nabi Muhammad Saw :
ليبلغن هذا الأمر ما بلغ الليل والنهار ولا يترك الله بيت مدر ولا وبر
الا أدخله الله هذا الدين بعز عزيز أو بذل ذليل عزا يعز الله به
Mafhum : “ Pasti akan sampai urusan ini (Islam) ke mana sahaja sampainya malam dan siang, Allah tidak akan tinggalkan satu rumah si kaya mahupun si miskin pun, kecuali akan dimasukkan oleh Allah Agama ini…”
Islam menjadikan politik sebagai wasilah jalan alternative bagi mengelak daruriat (darurat) yang lebih besar bagi memenuhi keperluan untuk mencapai kekuasaan kearah mewujudkan Dawlah Islamiyah yang syumul.
Daruriat ini mesti seiring dengan konsep Siyasah Syari’yah iaitu Al-Ghayah (Matlamat) dan Al-Wasilah (Landasan) yang mana keduanya mesti berada dalam keadaan Wa’i (Sedar) atau meneliti Waqie’i (Realiti) yang berdasarkan Ijtihad (Khusus dalam perkara baru yang selagi tidak membatasi syara’) oleh para penerus warisan Nabi dan Anbiya’ yakni Para Mujadid.
Para Mujtahid kurun ini ,
Sekilas menyelusuri para mujaddid serta pemikirannya sejak lenyapnya Empayar Islam sejak 1924 Masehi ,
- Syeikh Al-Imam Muhammad Abduh
- Syeikh Rashid Ridha
- Mujaddid Haraki Imam As-Shahid Hasan Al-Banna (1906-1949M)
- Syeikh Prof. Dr.Yusoff Al-Qaradhawi
- Syeikh As-Syahid Abdullah ‘Azzam (1989M)
- Syeikh Muhd Al-Ghazali(1916-1996M)
- Syeikh Abul A’la al-Maududi(1903-1979M)
- Syeikh Mustafa As-Siba’ie (1964M)
- Syeikh Syahid abd Qadir ‘Awdah (1954M)
- Syeikh Muhd Qutb
- Dr Hammam Said
- Dr Abd Qadir Abu Faris
- Dr. Solah Abd Fatah al-Khalidi
- Dr. Fathi Yakan(2009M)
Sebenarnya ramai lagi yang tak tersingkap disini namun mereka para syuhada yang jarang didendangkan ini amat besar pengorbanan mereka dalam memastikan dawlah Islamiyah ini kembali terbina seperti apa yang telah pernah dikecapi oleh Baginda Rasullullah SAW dan Sahabat serta keluarganya sewaktu membuka kota Madinah Al-Munawarah dimana didalamnya wujud suatu nizamiyah (Perlembagaan) yang menunjangi pemerintahan Baginda dan dinaungi oleh Muhajirin , Ansar dan Yahudi (Bani Nada’ serta Qainuqa) secara terpimpin dengan Wahyu Ilahi.
Justeru, adalah menjadi tuntutan kepada setiap individu Islam bagi memikirkan apakah kita sudah cukup peranan kita dalam usaha kearah pemerintahan Islam , kearah memahamkan ummat manusia tentang peri pentingnya Politik Islam , jelas sudah adalah tidak dapat diingkari bahawa, sejak kewujudan mula empayar Khilafiah Islam bermula selepas pemergian para Khulafa’ Ar Rasyidin sehingga tahun 1924 Masehi sememangnya keperluan untuk mewujudkan gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan kembali sebuah negara kebajikan Islam sebagai suatu tuntutan utama dalam perjuangan Islam hari ini.
Bagi melicinkan tugas ini, menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk memahami selok belok politik Islam untuk diperkenalkannya kembali kepada manusia hari ini. Sesuai dengan sebuah Athar dari Sayyidina ‘Ali KW , sebagai mengakhiri bicara mari kita renungkannya :
لا يعرف الفضل لأهل الفضل إلا ذو قضل
Mafhum : Orang yang tidak mempunyai kelebihan tidak akan dapat mengenali orang yang memiliki kelebihan”
“Islam Memimpin Ummat manusia"
artikel dr : Kahirul che salleh