Sunday, October 31, 2010

HADIAH PENGAJIAN IPT KERAJAAN NEGERI SELANGOR

PROSES PERMOHONAN HADIAH PENGAJIAN IPT
KERAJAAN NEGERI SELANGOR
DASAR BARU KERAJAAN NEGERI SELANGOR
DI BAWAH PROGRAM MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR

HADIAH ANAK MASUK UNIVERSITI

Dasar memberi hadiah RM1,000 akan diberikan kepada anak selangor yang melanjutkan pengajian tinggi awam/swasta yang diiktiraf kerajaan dengan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah. Hadiah ini akan terus dikreaditkan kedalam akaun pelajar ataupun melalui cek. Semua rekod pembayaran akan dimasukkan di dalam sistem pangkalan data yang akan dibangunkan oleh urus setia dan bayaran akan dibuat dalam tempoh dua (2) minggu (10 hari bekerja) selepas borang hadiah pengajian IPTA/IPTS yang lengkap diterima oleh pihak urus setia. Sehingga kini seramai 6,014 orang pelajar telah layak menerima hadiah ini sepanjang tahun 2009, kerajaan negeri terus prihatin dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM 8.2 juta bagi meneruskan program ini.

PUSAT KHIDMAT KRISIS SEHENTI

PENDAHULUAN
’One Stop Crisis Centre’ (OSCC) atau lebih dikenali sebagai Pusat Khidmat Krisis Sehenti telah ditubuhkan pada tahun 1997 di hospital-hospital kerajaan di seluruh Malaysia. Tujuan OSCC ditubuhkan adalah untuk memberi perkhidmatan menyeluruh kepada mangsa-mangsa penderaan, perkosaan dan juga keganasan rumahtangga. Pusat ini ditubuhkan khas untuk merawat dan mengasingkan mangsa-mangsa serta diberi bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling agar mereka tidak mengalami tekanan perasaan atau emosi. Operasi OSCC terletak di bawah Jabatan Kecemasan di setiap hospital di mana terdapat kakitangan yang terlatih ditugaskan untuk merawat serta memberi penjagaan yang sewajarnya kepada mangsa-mangsa yang datang untuk mendapatkan rawatan.
Walaubagaimanapun, masih terdapat ramai orang awam yang tidak mengetahui kewujudan pusat ini dalam meberi perkhidmatan kepada orang ramai. Justeru, dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) fasa 1, terdapat program OSCC dimana kempen kesedaran akan dilaksanakan dalam bentuk jaringan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Kempen ini untuk memberi kesedaran tentang keganasan rumahtangga, memberi maklumat berkaitan undang-undang keluarga dan menghebahkan maklumat mengenai OSCC ini kepada orang ramai. Program ini akan dijalankan mengikut peringkat DUN Negeri Selangor Darul Ehsan.

OBJEKTIF

* Memberikan kesedaran mengenai kewujudan dan peranan OSCC dalam menolong wanita yang menjadi mangsa keganasan.
* Memupuk kesedaran wanita untuk memperkasa minda merdeka dan menggilap jatidiri wanita bermaruah.
* Memberi maklumat dan kefahaman yang sahih mengenai isu isu keganasan rumahtangga dan gangguan seksual ditempat kerja.
* Memberi pendedahan dan kefahaman undang-undang yang melindungi wanita.


ANJURAN

* Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Kebudayaan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor
* Seksyen Sektoral, UPEN
* Sekretariat OSCC
* ADUN dan Pusat Khidmat DUN
* NGO Wanita

BIDANG TUGAS SEKRETARIAT OSCC :

* Menyelaraskan monitoring dan follow ups semua gerak kerja Projek Kempen Kesedaran OSCC dan melaporkan secara terus dengan Pejabat EXCO Hal Ehwal Wanita.
* Menyediakan bahan-bahan kempen (dalam folder file yang dinamakan INFO KIT OSCC) yang dikeluarkan oleh Pejabat EXCO Hal Ehwal Wanita.
* Mengadakan program TOT bagi NGO untuk Projek Kempen Kesedaran OSCC.
* Menyediakan takwim Projek Kempen Kesedaran OSCC di semua 56 buah kawasan DUN.
* Membuat perlantikan NGO-NGO dengan kelulusan oleh Pejabat EXCO Hal Ehwal Wanita.
* Menyemak nama nama penceramah yang dinamakan oleh NGO yang terlibat.
* Melantik penceramah-penceramah yang dinamakan oleh NGO dan nama nama lain yang difikirkan sesuai oleh Sekretariat dengan perbincangan bersama Pejabat EXCO Hal Ehwal Wanita.
* Menyediakan borang perjanjian dengan NGO yang menjalankan Projek Kempen Kesedaran OSCC.
* Membantu mendapatkan peruntukan kewangan kepada NGO-NGO yang menjalankan Projek Kempen Kesedaran OSCC bagi setiap program melalui Pejabat EXCO Hal Ehwal Wanita.
* Melakukan ’monitoring’ (Monitoring sheet) dan kompilasi maklumbalas peserta kempen.
* Menyediakan borang laporan program, borang soal selidik keberkesanan program untuk dianalisa dan disemak oleh Pejabat EXCO Hal Ehwal Wanita

8.0 Kumpulan Sasaran

Pegawai DUN
AJK Parti DUN
Ahli Majlis Perbandaran
Ketua Kampung
Jawatankuasa Penduduk & Jawatankuasa Belia
Pegawai Polis
Pengerusi Rumah Ibadah (Surau, Kuil, Tokong, Gereja)
AJK Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah
Pengusaha-pengusaha Taska dan Tadika
Pekerja-pekerja Kilang dan Industri
Pelajar-pelajar Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Kolej, IPTA dan IPTS
Jawatankuasa Badan Bukan Kerajaan
Penduduk Setempat
Terdapat enam (6) buah hospital telah menyediakan perkhidmatan ini iaitu
1) Hospital Ampang
2) Hospital Selayang
3) Hospital Serdang
4) Hospital Sungai Buloh
5) Hospital Klang
6) Hospital Kajang.

PROGRAM BEKALAN AIR PERCUMA 20 METER PADU

MAKLUMAT PROGRAM BEKALAN AIR PERCUMA 20 METER PADU PERTAMA
OLEH KERAJAAN NEGERI SELANGOR
(MELALUI KUMPULAN DARUL EHSAN BERHAD)
Pendahuluan
Kerajaan Negeri Selangor pada 13 Mac 2008 telah mengumumkan dasar pelaksanaan Tujuh (7) Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), termasuk pemberian air percuma 20 meter padu pertama kepada pengguna air domestik yang menggunakan meter individu di Negeri Selangor mulai bulan Jun 2008.
Objektif Program
Tujuan Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar ini ialah bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akibat daripada kadar sara hidup dan inflasi yang tinggi ketika ini.
Program bekalan air percuma ini juga adalah salah satu komponen bagi Cadangan Penstrukturan semula industri air di Selangor secara holistik dan bersepadu yang diterajui oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan, efektif serta dapat mengurangkan kadar tarif air semasa bagi kemudahan rakyat di Selangor.
Syarat Mendapat Bekalan Air Percuma
Bekalan air percuma 20 meter padu ini layak dinikmati pengguna-pengguna domestik bermeter individu. Bagi pengguna domestik yang menggunakan meter pukal seperti di kondominium, pangsapuri serta apartmen, mereka perlu menukar kepada meter individu terlebih dahulu sebelum menikmati pemberian air percuma ini. Urusan penukaran meter ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).
Cara Pelaksanaan
Kerajaan Negeri Selangor, melalui anak syarikatnya iaitu KDEB akan menanggung kos pembayaran kepada SYABAS bagi pemberian air percuma 20 meter padu pertama ini atau purata rebat sebanyak RM11.00 sebulan bagi setiap pengguna domestik bermeter individu berjumlah 1.0 juta orang berdasarkan bil penama penggunaan air di Selangor. Rekod pembayaran oleh KDEB ini tercatat di setiap bil penggunaan air yang diterima oleh kumpulan yang layak setiap bulan yang dikeluarkan oleh SYABAS.

Friday, October 29, 2010

Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang

Pembelaan kerajaan negeri Selangor adalah melibatkan seluruh rakyat negeri Selangor termasuklah anak-anak pekerja ladang. Tabung ini diwujudkan adalah bagi memberi bantuan pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang. Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk biasiswa kepada anak-anak pekerja ladang bagi tujuan membiayai pendidikan mereka. Selain itu, tabung ini juga akan membiayai pembinaan dan penyelanggaraan asrama bagi anak-anak pekerja ladang di seluruh negeri Selangor. Kerajaan yang amat prihatin dengan pendidikan anak-anak pekerja ladang telah memperuntukan RM2 juta dalam merealisasikan program ini.

PENDAHULUAN
1.1 Program ini merupakan satu program yang bertujuan untuk membantu anak-anak pekerja ladang mendapat pendidikan yang sempurna dan cemerlang dalam pelajaran.
OBJEKTIF
  • Membantu anak-anak pekerja ladang meningkatkan prestasi pelajaran serta mendapat kemahiran teknikal (bagi yang kurang berjaya dalam bidang akademik).
KUMPULAN SASAR
  • Kriteria permohonan untuk bantuan ini, pemohon mestilah :-
1. Ibu atau bapa adalah pekerja ladang dan dilahirkan di Negeri Selangor @ Bermastautin di Negeri Selangor tidak kurang dari 5 tahun;
2. Berpendapatan kurang dari RM1,500.00 sebulan;
PELAKSANAAN PROGRAM
  • Program yang dilaksanakan di bawah tabung ini adalah seperti berikut :-
1. Bantuan Biasiswa (One-Off) kepada anak pekerja ladang;
Bantuan diberikan dalam bentuk biasiswa (One-Off) untuk membiayai
pembayaran semester pertama pembelajaran.
Pada tahun 2009, sebanyak 4 permohonan diterima dari anak-anak pekerja
ladang yang telah melanjutkan pelajaran ke IPTA/S tempatan.
2. Program Kemahiran Teknikal di Kolej INSPENS
Program usahasama dengan kolej INSPENS bagi membiayai pembelajaran
dan sara hidup sepanjang pembelajaran.
Bagi tahun 2009, sebanyak 36 pelajar telah mendapat kemahiran teknikal di
Kolej INSPENS.
3. Program Kelas Tambahan Sekolah Tamil di Ladang Negeri Selangor
Program tahunan yang diadakan di Sekolah Tamil seluruh Negeri Selangor
untuk pelajar-pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat
sokongan dan bantuan daripada Kerajaan Negeri.
Sepanjang tahun 2009, sebanyak 5 buah Sekolah Tamil di ladang telah
berjaya menganjurkan kem motivasi/ tuisyen untuk pelajar-pelajar yang
menduduki peperiksaan UPSR.
4. Program-program peningkatan pembelajaran untk anak-anak
pekerja ladang
Program usahasama dengan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang
membantu meningkatkan pembelajaran anak-anak pekerja ladang.
Sepanjang tahun 2009, sebanyak 5 program telah diadakan bertujuan
untuk meningkatkan taraf pendidikan anak-anak pekerja ladang.
5. Bantuan kewangan untuk Sekolah-Sekolah Tamil di Ladang
Bantuan kewangan yang diperlukan oleh pihak sekolah untuk membiayai
pembayaran guru-guru sekolah, penyelenggaraan bangunan sekolah,
pembelian peralatan dan kemudahan sekolah serta pembinaan pondok
bacaan.
Bagi tahun 2009, sebanyak 10 buah Sekolah Tamil di ladang telah
menerima sumbangan untuk membiayai pembayaran guru-guru sekolah,
penyelenggaraan bangunan sekolah, pembelian peralatan dan kemudahan
sekolah serta pembinaan pondok bacaan.
6. Subsidi Tambang Bas Sekolah
Bantuan yang diberikan untuk membiayai tambang bas sekolah untuk anak-
anak pekerja ladang.
Ladang yang terlibat adalah ladang Sungai Tinggi, Ladang Nigel Gardner,
Ladang Hopeful, Ladang Minyak dan Ladang Mary. Ladang-ladang ini
menghadapi masalah tambang bas sekolah yang tinggi kerana keadaan jalan
yang teruk dan pengusaha bas enggan masuk ke kawasan ladang tersebut.
7. Program penyerahan sumbangan/ hadiah kecemerlangan UPSR untuk anak-anak pekerja ladang.
Program berbentuk majlis penyerahan sumbangan (cermin mata) dan hadiah
kecemerlangan pelajar UPSR 2009.
Bagi tahun 2009, sebanyak 2 program telah diadakan untuk majlis
penyerahan sumbangan (cermin mata) dan hadiah kecemerlangan pelajar
UPSR 2009.
Bagi permohonan pembiayaan pembelajaran anak-anak pekerja ladang ke IPTA/S. Pemohon diminta mengemukakan surat permohonan bersama-sama dokumen tersebut:-
1. Kad Pengenalan.
2. Surat tawaran IPTA/S yang tertera jumlah yuran pembelajaran yang perlu dibayar. (Bersama-sama maklumat Bank dan Nombor akaun Bank pihak IPTA/S)
3. Salinan slip gaji ibu/bapa atau surat pengesahan daripada majikan ladang sebagai bukti bahawa mereka adalah anak pekerja ladang di Negeri Selangor.
Semua permohonan boleh dikemuakan terus kepada Pejabat Y.B. Tuan DR. A Xavier Jayakumar di :-
PEJABAT AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI SELANGOR,
TINGKAT 5, BANGUNAN SSAAS, 40503 SHAH ALAM
PENUTUP
  • Fokus utama pelaksaan tabung ini adalah untuk meningkatkan taraf jati diri serta prestasi pendidikan anak-anak pekerja ladang melalui program-program yang dilaksanakan.

Skim Mesra Usia Emas (SMUE)


Skim Mesra Usia Emas (SMUE), merupakan satu skim khairat kematian yang diwujudkan khusus untuk menjaga kebajikan rakyat Selangor.Bertujuan membantu keluarga warga emas / OKU yang memenuhi syarat dan berdaftar yang meninggal dunia tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi, dan kedudukan sosial mereka.Borang dan pendaftaran adalah PERCUMA.




smue1.jpg
Syarat Kelayakan Memohon:
1. Warga Emas yang layak mendaftar adalah seorang WARGANEGARA Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas; DAN
1.1 Lahir dan sedang menetap di Negeri Selangor; ATAU
1.2 Lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1/2/1974 DAN sedang menetap di Negeri Selangor atau di Wilayah Persekutuan;
ATAU
1.3 Bermastautin di Negeri Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun (bagi yang bukan kelahiran Negeri Selangor)
2. Bagi OKU yang lahir di Negeri Selangor, tiada had umur ditetapkan. Bagi OKU kelahiran di luar Negeri Selangor mestilah juga telah menetap di Negeri Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun. Hanya OKU yang memiliki Kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sahaja layak untuk mendaftar.
1.jpg
3. Kerajaan Negeri akan menyumbang sejumlah RM2500 kepada Penama Warga Emas yang meninggal dunia dan telah berdaftar. RM1000 akan diberikan selepas menerima laporan kematian serta dokumen lengkap diserahkan dan pengesahan telah dibuat. Baki RM1500 akan diserahkan dalam tempoh 60 hari selepas penyerahan bayaran pertama dibuat dalam satu majlis khas.
2.jpg
Terma-terma tambahan:
1. Pendaftaran adalah mengikut alamat tempat tinggal sebagaimana tercatat di dalam MyKad Pemohon. Mereka yang menetap di Negeri Selangor tetapi beralamat tempat tinggal di luar Negeri Selangor hendaklah membuat pertukaran alamat dan berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara yang berdekatan untuk mengelakkan sebarang masalah dalam proses pendaftaran dan pembayaran.
2. Pemohon yang lahir di Negeri Selangor tetapi menetap di luar Negeri Selangor tidak layak untuk didaftarkan sebagai Ahli.
3. Penjaga dan Penama hendaklah juga merupakan Warganegara Malaysia. Pemastautin Tetap tidak layak didaftarkan sebagai Ahli, Penjaga atau Penama.
3.jpg
4. Penama yang layak didaftarkan adalah terdiri daripada kalangan berikut:
Anak, Isteri, Suami, Ibu, Bapa, Cucu, Abang, Kakak, Adik, Menantu atau Pertubuhan.
5. Pemohon dan keluarga hendaklah berbincang dan melantik seorang Penama daripada senarai yang tersebut untuk diberikan kepercayaan bagi menguruskan wang manafaat ini sekiranya berlaku kematian.
6. Sekiranya Penama adalah sebuah pertubuhan / rumah kebajikan dsb, maklumat lengkap serta dokumen pendaftaran pertubuhan berkaitan hendaklah disertakan. Satu surat kuasa daripada Ahli memberikan kebenaran kepada pertubuhan berkenaan menjadi Penama juga perlu disertakan. Semua dokumen dan surat kuasa hendaklah disahkan oleh Pusat Pendaftaran setelah melihat dokumen asal.
7. Penama adalah merupakan orang yang diberikan kepercayaan dan amanah untuk menguruskan wang manafaat ini bagi pihak simati atas urusan-urusan pengurusan jenazah dan yang berkaitan.
5.jpg4.jpg
8. Pendaftaran Ahli hanya boleh dibuat sekali sahaja dan boleh dibuat di mana-mana Pusat Pendaftaran berdekatan berdasarkan alamat tempat tinggal. Borang Pendaftaran yang pertama diterima akan dikira sebagai telah disepakati oleh ahli keluarga berkenaan. Sebarang masalah di peringkat keluarga hendaklah diselesaikan oleh ahli keluarga yang terlibat terlebih dahulu sebelum sebarang bayaran boleh dibuat.
9. Setiap borang permohonan mestilah disertakan dengan salinan MyKad Pemohon, MyKad Penjaga Ahli, MyKad Penama Ahli dan Kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (jika OKU). Setiap salinan MyKad hendaklah dicop/disahkan oleh Pusat Pendaftaran (Pusat Khidmat Masyarakat, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (Majlis Daerah / Majlis Perbandaran / Majlis Bandaraya) dan Rantaian Mesra Sdn. Bhd.) bagi mengelakkan penyalahgunaan.
10. Bagi Pemohon bukan kelahiran Negeri Selangor, pengesahan taraf mastautin hendaklah dibuat oleh mereka yang disenaraikan (ruangan 5.0 dalam borang pendaftaran) dan mestilah dari kawasan/kampung/blok tempat tinggal Pemohon.
11. Semua yang telah disahkan layak akan didaftarkan ke dalam sistem eMesra. Ahli boleh membuat semakan di mana-mana Pusat Pendaftaran dengan memberikan nombor MyKad mereka untuk menyemak sama ada mereka telah didaftarkan atau belum. Ahli keluarga juga diminta untuk memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain sekiranya mereka telah menguruskan satu-satu nama itu untuk didaftarkan bagi menggelakkan pendaftaran yang bertindih serta sebarang masalah berkaitan pendaftaran dan tuntutan.
12. Tuntutan tidak akan dibayar sekiranya sebelum ia diserahkan terdapat pertindihan tuntutan atau perselisihan keluarga berlaku. Bayaran hanya akan dibuat apabila semua pihak bersetuju melantik seorang yang boleh dipertanggungjawabkan dan ia mesti dipersetujui secara bertulis dan diserahkan kepada Rantaian Mesra Sdn. Bhd.

Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS)

Tabung Warisan Anak Selangor atau singkatanya TAWAS, merupakan antara projek penting dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). TAWAS beserta logonya selamat dilancarkan secara rasmi bersempena dengan Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Selangor pada 30 Ogos 2008.


Sebagai usaha berterusan membawa manfaat TAWAS kepada rakyat Negeri Selangor, kini kempen penyebaran maklumat dan pendaftaran peserta di setiap kawasan wakil rakyat di seluruh Selangor.

Risalah dan borang pendaftaran TAWAS juga diedarkan di semua Jabatan/Agensi Negeri, termasuk semua Pejabat Daerah dan Tanah dan semua Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor. Kini pihak TAWAS menyediakan pendaftaran secara 'On-Line' bagi mempercepatkan dan mempertingkatkan lagi usaha untuk memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

Faedah Perlaksanaan TAWAS

Kerajaan Negeri Selangor akan menghadiahkan tabung simpanan sebanyak RM 100.00 bagi setiap pendaftaran TAWAS yang berjaya. Pada usia 18 tahun, anak-anak ini berpeluang menerima RM 1,500.00 seorang hasil daripada pelaburan dalam TAWAS.