Sunday, October 31, 2010

PROGRAM BEKALAN AIR PERCUMA 20 METER PADU

MAKLUMAT PROGRAM BEKALAN AIR PERCUMA 20 METER PADU PERTAMA
OLEH KERAJAAN NEGERI SELANGOR
(MELALUI KUMPULAN DARUL EHSAN BERHAD)
Pendahuluan
Kerajaan Negeri Selangor pada 13 Mac 2008 telah mengumumkan dasar pelaksanaan Tujuh (7) Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), termasuk pemberian air percuma 20 meter padu pertama kepada pengguna air domestik yang menggunakan meter individu di Negeri Selangor mulai bulan Jun 2008.
Objektif Program
Tujuan Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar ini ialah bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akibat daripada kadar sara hidup dan inflasi yang tinggi ketika ini.
Program bekalan air percuma ini juga adalah salah satu komponen bagi Cadangan Penstrukturan semula industri air di Selangor secara holistik dan bersepadu yang diterajui oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan, efektif serta dapat mengurangkan kadar tarif air semasa bagi kemudahan rakyat di Selangor.
Syarat Mendapat Bekalan Air Percuma
Bekalan air percuma 20 meter padu ini layak dinikmati pengguna-pengguna domestik bermeter individu. Bagi pengguna domestik yang menggunakan meter pukal seperti di kondominium, pangsapuri serta apartmen, mereka perlu menukar kepada meter individu terlebih dahulu sebelum menikmati pemberian air percuma ini. Urusan penukaran meter ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).
Cara Pelaksanaan
Kerajaan Negeri Selangor, melalui anak syarikatnya iaitu KDEB akan menanggung kos pembayaran kepada SYABAS bagi pemberian air percuma 20 meter padu pertama ini atau purata rebat sebanyak RM11.00 sebulan bagi setiap pengguna domestik bermeter individu berjumlah 1.0 juta orang berdasarkan bil penama penggunaan air di Selangor. Rekod pembayaran oleh KDEB ini tercatat di setiap bil penggunaan air yang diterima oleh kumpulan yang layak setiap bulan yang dikeluarkan oleh SYABAS.

No comments:

Post a Comment