HULU LANGAT, 22 APR : Lebih 10 ribu penduduk di Selangor sudah
menerima notis borang 5A atau surat kelulusan pemberimilikan tanah,
menerusi program kediaman persendirian.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,
Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah berusaha sebaik mungkin bagi memenuhi
setiap permohonan untuk memiliki tanah sendiri yang telah diduduki
selama puluhan tahun.
“Pada Pilihanraya 2008, pengundi di Selangor memberi mandat kepada
Pakatan Rakyat untuk mentadbir, jadi rakyat mesti dibela,” ujarnya
ketika memberi ucapan di Majlis Penyampaian Notis Borang 5A Kampung
Sungai Makau Hulu Langat disini hari ini.
Sebanyak 55 orang penduduk Kampung Sungai Makau, Hulu Langat
menerima notis borang 5A dan 29 orang penduduk Kampung Bahagia, Bangi
menerima surat hak milik tanah yang disampaikan oleh Abdul Khalid
sendiri.
Menerusi usaha ini, kerajaan negeri memberi hakmilik tanah dengan
bayaran premium fleksibel bagi memudahkan rakyat memiliki kediaman
sendiri.
Menurut Abdul Khalid, setiap permohonan dibawa ke Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri (MMKN) untuk penelitian dan keputusan mesyuarat ini
adalah berdasarkan kelayakan pemohon tanah tersebut.
“Pemohon yang terpilih bukannya kerana mereka menyokong Pakatan
Rakyat, ataupun kroni Exco tetapi kerajaan negeri mengamalkan prinsip
tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab tanpa mengira perbezaan
bangsa, agama atau fahaman politik,” tegasnya lagi.
Tambahnya, kerajaan negeri memulakan pusat maklumat tanah bersepadu
bagi membolehkan pemilik tanah memeriksa dan mengemaskini status, lokasi
dan hal-hal yang berkaitan urusan tanah.
Bagaimanapun, beliau menyeru kepada semua pemohon yang diluluskan
pemberimilikan ini agar menjelaskan bayaran premium dalam tempoh
ditetapkan.
“Saya harap setiap pemohon sudah mengetahui tatacara pembayaran
premium ini dan boleh mendapatkan maklumat pembayaran dari Pejabat
Daerah kawasan masing-masing,” katanya.
tahniah
ReplyDelete