Thursday, February 10, 2011

Selangor perlu Pasukan Polis Bantuan untuk kurangkan jenayah

Tuesday, 08 February 2011 |
Ruangan: Berita



SHAH ALAM, 8 Feb – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan permohonan kerajaan Selangor untuk Menubuhkan Pasukan Polis Bantuan bagi membantu menjamin keselamatan rakyat Selangor, sebagai respons terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat di Selangor.



Dalam surat kedua yang dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam, Khalid menyatakan keselamatan rakyat juga tanggungjawab kerajaan negeri dan tiada alasan Hishammudin untuk menolak perkara ini.


“Saya menulis kepada Menteri Dalam Negeri supaya hasrat kerajaan Selangor untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan menjadi kenyataan.


“Keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri, dan tiada alasan munasabah mengapa Kerajaan Persekutuan harus menolak tawaran kami untuk menyumbang sumber tenaga dalam usahasama menjaga keselamatan rakyat,” kata Menteri Besar dalam satu kenyataan akhbar hari ini.


Julai lalu, Kerajaan Negeri Selangor pernah meminta KDN meluluskan permohonan untuk mengadakan polis bantuan dalam membantu membanteras operasi perlombongan pasir haram dan lain-lain jenayah.


Malah, kerajaan Selangor juga pernah memohon kepada KDN untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi perintis, tetapi ditolak dengan alasan anggota polis mencukupi untuk mengawal keselamatan.


“Ini bukanlah hal yang luar biasa kerana pada 2006 lalu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telahpun mengemukakan permohonan untuk mengadakan pasukan Polis Bantuan,” katanya.


Khalid turut merasa bimbang dengan dua kes yang terbaru di mana dua pegawal keselamatan ditetak di Damansara Perdana serta kes wanita hamil yang ditampar dan dirompak, yang menurutnya membuktikan perlunya ada pasukan keselamatan tambahan untuk membantu polis mengawal keselamatan dan mencegah kejadian jenayah.


Tanpa memperlekehkan usaha polis dalam membanteras jenayah, Khalid menyatakan niat kerajaan Selangor ini murni, iaitu menyediakan pasukan keselamatan bagi membantu dan melengkapi rutin harian anggota polis, bukannya mengambil alih tugas penguatkuasaan pasukan polis.



Tambahnya, dengan peningkatan bilangan pasukan keselamatan yang diberi tugas rondaan dan pencegahan jenayah, keselamatan rakyat dapat dipertingkatkan.


“Kerajaan Selangor komited untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan ini dengan hasrat menyediakan persekitaran kehidupan yang aman selaras dengan misi Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai negeri idaman, tenteram dan berkebajikan,” kata Khalid lagi.

No comments:

Post a Comment