Wednesday, February 2, 2011

Kerajaan jangan berlengah pindah pelajar di Mesir

KUALA LUMPUR, 2 Feb: PAS menggesa kerajaan Malaysia tidak lagi berlengah dalam usaha membawa pulang pelajar Malaysia dari Mesir yang kini sedang bergolak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Perdana Menteri bahawa mahu 'menimbang' menggunakan kapal serba guna Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, Asia Barat untuk operasi pemindahan, masih lagi lambat sedangkan keadaan di Mesir semakin buruk.

"Kita kecewa kerana Najib lambat membuat keputusan, baru nak timbang guna kapal.

"Apa salahnya hantar kapal terbang pegi sana, lapangan terbang Kaherah masih boleh diguna, buat macam Indonesia.

"Ataupun guna dua-dua kaedah, yang dekat dengan pelabuhan guna kapal, yang dekat dengan lapangan terbang guna kapal terbang," katanya.

Datuk Seri Najib semalam memberitahu kapal TLDM terbabit akan diguna untuk memindahkan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

Kapal serbaguna TLDM terbabit, KD Bunga Mas kini terlibat di dalam operasi anti-lanun di Teluk Aden.

Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 10,000 pelajar Malaysia berada di Mesir.

Mahfuz turut melahirkan rasa kecewa apabila Najib membangkitkan isu kos yang tinggi jika menggunakan pesawat bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir.

"Namun apa yang paling kita kecewa, bila Najib bangkitkan isu kos mahal nak bawa pulang dengan kapal terbang.

"Ini bukan soal kos, ini soal nyawa pelajar kita, tak patut seorang perdana menteri berkira soal wang ringgit untuk selamatkan nyawa rakyat sendiri," katanya.

Keadaan Mesir kini semakin meruncing berikutan demonstrasi yang diadakan oleh rakyatnya bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur.

No comments:

Post a Comment