Pusat Khidmat Masyarakat Pakatan Rakyat
Tuesday, January 25, 2011
Adun Pakatan Rakyat sokong pindaan
SHAH ALAM 24 Jan – Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan) mencipta sejarah apabila semua wakil rakyatnya bersatu menyokong cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi mengembalikan kuasa DYMM Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio yang telah dimansuhkan selepas Pindaan Perlembagaan 1993.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa puas hati di atas kata sepakat semua wakil kerajaan yang memberi perbahasan dengan baik dan bernas berkenaan isu penting kepada rakyat yang mana gagal disentuh oleh pentadbiran sebelum ini.
“Perbahasan Pakatan hari ini berjaya memertabatkan kesucian Dewan Negeri Selangor (DNS), ini selari dengan keinginan rakyat Selangor yang mahukan satu pentadbiran profesional bagi dua institusi tertinggi,” kata Tan Sri Khalid dalam sidang media.
Dalam pada itu, Khalid juga melahirkan rasa kesal terhadap wakil-wakil dari Umno-BN yang dilihat bukan sahaja menolak usul ini, malah gagal memberikan hujah-hujah yang konkrit dan berkualiti untuk menolak cadangan pindaan ini.
“Jelas, penolakan ini dibuat atas nama politik dan kesetiaan mereka kepada pihak-pihak yang berkuasa di Putrajaya, sepatutnya sebagai wakil rakyat, keputusan mereka perlulah berdasarkan kepentingan rakyat,” katanya.
Tambah Tan Sri Khalid, penolakan ini jelas membuktikan bahawa Umno-BN tidak menghormati Institusi Raja-raja Melayu dan tetap menghalang Institusi Raja-raja Melayu memainkan peranan yang sepatutnya dalam institusi Raja Berpelembagaan.
“Sikap hipokrit Umno ini jelas nampak dalam rekod mereka secara konsisten menafikan kuasa Raja-Raja Melayu, terutamanya pada tahun 1983, 1993 dan kini 2011,” katanya.
Tan Sri Khalid berkata lagi, sidang dewan hari ini membuktikan pemimpin Umno sebenarnya tidak layak untuk menyentuh soal kedaulatan Raja-Raja kerana belang mereka telah terbongkar.
Mereka menuduh Pakatan tidak menghormati peranan Raja-raja tetapi sebenarnya Umno yang menghakis kuasa Raja-raja melalui pindaan-pindaan Perlembagaan yang telah dilakukan.
Turut hadir dalam sidang media ialah Exco Selangor, Dr Hassan Ali, Teressa Kok, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment