SHAH ALAM, 8 Nov - Sekurang-kurangnya RM130.1 juta diperuntukkan tahun hadapan bagi menggiatkan lagi keberkesanan dan capaian Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Di pembentangan Belanjawan 2011 Selangor hari ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, peruntukan ini meliputi program-program fasa pertama dan kedua MES yang dilancarkan tahun lalu.
Fasa pertama dan kedua meliputi 7 program induk, iaitu Tabung Warisan Anak Kelahiran Selangor (Tawas), Bekalan Air Percuma 20 meter padu, Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) bagi membanteras keganasan domestik, Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang, Kemudahan Cuti Bersalin 90 hari, Kemudahan Cuti 14 Hari Untuk Suami Yang Isterinya Bersalin dan Cuti Kematian Suami 30 Hari.
Menteri Besar juga memaklumkan Dewan Negeri Selangor (DNS) bahawa program MES bakal memasuki fasa ketiga, dengan penumpuan kepada Skim Kredit Mikro, Skim Kesihatan Wanita, dan Takaful Orang Kelainan Upaya (OKU).
Tan Sri Khalid dalam pemerinciannya berkata, sebanyak RM34.5 juta diperuntukkan bagi tahun hadapan untuk menampung skim air percuma 20 meter padu bagi rakyat Selangor yang menggunakan meter air individu.
Berita baik untuk penghuni rumah bertingkat, kerajaan negeri memperuntukkan RM8 juta lagi bagi menampung skim air percuma bagi meter-meter pukal.
“Jumlah ini lebih kecil daripada RM100 juta yang diperuntukkan sepanjang tahun 2009 dan 2010 kerana kita menjangkan rundingan penstrukturan semula industri air Selangor selesai hujung tahun ini,” kata Khalid.
Manakala bagi skim Tawas, sebanyak RM7.5 diperuntukkan tahun hadapan. Kira-kira RM7.7 juta diperuntukkan untuk skim Hadiah Anak Masuk Universiti, RM21.4 juta untuk SMUE, RM50 ribu untuk OSCC, dan RM1 juta untuk Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang.
“Keseluruhan program ini bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Selangor,” tegas Khalid, dan menambah Kerajaan Negeri Selangor sedar betapa amanah yang ada harus mencerminkan kerajaan daripada rakyat kepada rakyat, dan bukan jenis kerajaan yang memaksa dan membeli rakyat.
Bagi Fasa ketiga MES, Tan Sri Khalid berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta untuk Skim Kredit Mikro SKIMSEL yang bakal memberi fokus kepada kumpulan-kumpulan sasaran di luar bandar.
Bagi menangani kemiskinan bandar pula, Skim Kredit Mikro Miskin Bandar atau MIMBAS bakal dibentuk dan dan beroperasi dengan peruntukan RM20 juta.
“Peruntukan RM70 juta ini disalurkan oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) hasil daripada penyelesaian hutang Syarikat Kumpulan Talam,” jelas Tan Sri Khalid.
Menyedari pentingnya kaum Hawa kepada perkembangan ekonomi dan insan Selangor, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk membantu kaum wanita menjalani pemeriksaan kanser payudara percuma.
Manakala Skim Takaful OKU bakal dimasukkan bersama Skim Mesra Usia Emas, bagi memperluaskan lagi capaian skim ini.
No comments:
Post a Comment