Monday, November 8, 2010

Sejarah PAS 21: Demokrasi Liar.

Sejarah PAS 21: Demokrasi Liar.

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 21

DALAM ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 11 tahun 1962, Dr Burhanuddin mensifatkan parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang sepatutnya menjadi ‘rumah yang penuh dengan kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan cita-cita politik yang baik dan halal’ telah dikongkong oleh sekatan peraturan mesyuarat. Ianya tidak memberi peluang untuk ‘mengemukakan usul dan pandangan mengenai sesuatu umat sekiranya menyakiti hati umat yang lain’.

Itulah ‘tekanan terhadap fahaman politik yang halal dan hak’ telah ditunjukkan oleh PERIKATAN apabila parlimen bermesyuarat. Menurutnya, tujuan utama politik kotor PERIKATAN itu ialah hendak menghapuskan pembelaan umat Islam di parlimen kerana PAS berusaha bersungguh-sungguh memperjuangkan perlaksanaan hukum Allah SWT dan kepentingan umat di dalam negara. Siapakah yang untung dengan peraturan yang tidak demokrasi itu selain dari orang-orang yang bukan Islam? Beliau bertanya.

Mencerobohi demokrasi adalah berlawanan dengan semangat perlembagaan Persekutuan yang mengakui kedaulatan bersuara, Tetapi, bagi kerajaan yang zalim seperti PERIKATAN, itu semuanya menjadi sia-sia sebab tujuan mereka ialah hendak mengekalkan kekuatan politik mereka. Penangkapan terhadap musuh politik kerajaan telah dibuat. Beliau memberi peringatan kepada PM (Perdana Menteri), bahawa perjuangan Islam tidak dapat dihentikan dengan kekerasan, bahkan akan terus melalui salurannya hingga tercapai cita-cita suci sepenuhnya.

Akhbar The Malaya Tribune, 10 Feb 1947

Menangkap lawan politik adalah perbuatan yang sehabis-habis tidak bermodal sama sekali dan lebih baik mengisytiharkan bahawa kerajaan tidak ada niat hendak memanjangkan demokrasi. PAS telah nmpak bahawa umat Islam, negara dan rakyat seluruhnya tidak dapat diselamatkan, melainkan dengan berpegang kepada ajaran dan asas pemerintahan yang adil serta jujur seperti yang diajarkan oleh Al-Qur;an. Bila disebut menurut Al-Qur;an dan Al-Hadis, maka menjadi tujuannya ialah mengamalkan sepenuhnya dalam masyarakat dan lain-lain, yang lengkap keseluruhannya, tidak boleh dipecah-pecahkan dan dipisah-pisahkan antara satu sama lain.

Beliau menyelar percubaan mengunakan Islam sebagai alat politik seperti yang dibuat oleh UMNO yang hanya mencemarkan nama Islam. Ketika menyebut dasar perhubungan negara-negara Islam dalam membentuk sebuah Komanwel Islam menurut akhbar, PM telah mengatakan bahawa antara yang akan diselesaikan oleh negara-negara Islam ialah menyamakan masa puasa 12 jam, tidak lagi berbeda 15 jam atai 17 jam bagi semua negara Islam.

Bagi orang yang memahami hukum puasa tentu mengetahi bahawa itu adalah satu percubaan menukar hukum Allah SWT yang tidak patut terlintas di hati sesaorang Muslim. Bila beliau menyebut negara berdasarkan Islam, maka asas dan pandangan politik hendaklah terang sesuai dengan ajaran Islam. Perundangan yang berlawanan dengan Al-Qur’an adalah terbatal. Itu menjadikan keadilan Islam dalam undang-undang dan politik negara sebagai asas pemerintahan dan dapat menyelesaikan masalah yang timbul.

Hendaklah diinsafi bahawa punca kesalahan yang besar adalah kezaliman. Apabila kezaliman berlaku dalam apa bentuk sekalipun maka akan terganggulah ketenteraman hidup masyarakat di dalam negara. Selagi kezaliman tidak dibetulkan, maka selama itulah kepincangan akan terus melanda. Keadialan politik tersebut tidak akan menganiayai sesiapa dan layanan yang sesuai dengan kehidupan rakyat tentulah akan diberikan. Ramai orang memikirkan bahawa di dalam negara Islam, orang bukan Islam tidak langsung mendapat tempat.

Menurut beliau, itu tidaklah sesuai dengan ajaran Islam malah sebaliknya Islam mengakui wujudnya mereka, tetapi tidak meletakkan mereka untuk memerintah dan mempunyai kekuasaan ke atas orang-orang Islam. Timbang rasa Islam kepada orang bukan Islam itu tidak sekali-kali sama seperti apa yang dibuat oleh UMNO, yang telah memberikan kuasa kepada orang bukan Islam, untuk memerintah orang Islam seperti yang berlaku. Kerana itu menurutnya, sedikit demi sedikit kuasa yang ada pada orang Islam berpindah kepada orang yang bukan Islam, sehingga orang Islam merasa bahawa mereka tertindas dan akan diper’budak-budak’kan di masa mendatang.

Parti PERIKATAN juga melaksanakan tekanan politik dengan menggunakan alat kerajaan seperti Jabatan Penerangan Kerajaan. Terutama dalam pilihan raya lepas dan sudah tentu demikian juga pada masa akan dating. Katanya dalam muktamar tersebut, ‘Perbuatan yang tidak halal itu hendaklah kita hadapi bukan sahaja dengan cakap-cakap dan menuntut kerajaan memberhentikannya, tetapi dengan menambah kuat perpaduan dan tenaga pilihan raya.’

Dalam ucapan PAS ke 12 tahun 1964 selepas pilihan raya umum berlalu, beliau menekankan bahawa kalau orang hendak menghukum dengan jujur adil, dia hendaklah meneliti dari segenap sudut dan aspek. Terutama dari segi kegiatan PERIKATAN yang memainkan peranannya sebelum dan sewaktu pilihan raya itu berlangsung. Demikian juga dalam pilihan raya kecil yang baru berlalu waktu itu. Dengan menggunakan alat-alat negara, tekanan, ugutan dan tangkapan telah dilakukan dengan tidak silu dan malu. ‘Inilah senjata sulit mereka, agaknya.’ Kata Dr Burhanuddin lagi.

‘Muka berpandangan, budi kedapatan! Norma-norma susila dan hukum-hukum demokrasi telah dilanda dengan cara sewenag-wenangnya.’ Peristiwa konfrantasi dan ancaman subversive telah diperalatkan demikian rupa sehingga telah menimbulkan suatu suasana, yang kelam, kaku, beku dan menggerunkan rakyat, menurut Dr Burhanuddin lagi. Kehidupan demokrasi di tanahair yang dimegah-megahkan oleh pemimpin negara, pada hakikatnya talah lama ternoda dan dinodai sehingga ia menjadi liar.

Menurut beliau, ‘Demokrasi liar’ dalam negara telah banyak memakan korban, termasuk antaranya tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan (ADUN) dan beberapa orang ulama telah ditahan di bawah Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri atau ISA beberapa ketika sebelum pilihan raya berlangsung. Tetapi ketiga-tiga ADUN tersebut telah dicalunkan semula oleh PAS walaupun sedang merengkuk dalam tahanan. Kemenangan mereka dalam pilihan raya tersebut menjadi satu alasan besar membuktikan sanggahan rakyat atas tangkapan wakil-wakil mereka. Sampai bilakah agaknya pihak PERIKATAN akan menghidupkan demokrasi liar yang memilu dan memalukan itu? Tanya beliau.

Belaiu berseru atas nama kebenaran dan keadilan supaya pihak berkuasa membebaskan mereka segera! Beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin PAS supaya semakin tabah dan terus memperkuatkan kedudukan parti, kerana perjuangan Islam tidak mengenal putus asa. Itulah ujian ke atas kaum Muslimin yang perlu dihadapi dengan ketenangan, kesabaran dan penuh keparcayaan bahawa satu ketika nanti akan berjaya juga, insya Allah. Pilihan raya telah berakhir, tetapi bahang panasnya masih terasa.

Begitu hebat. Sehingga setengah-setengah tempat perlu diadakan pertemuan-pertemuan muhibbah untuk menenangkan suasana tempatan. Sengketa politik semasa berkempen perlu diganti dengan suasana keharmonian sebagai kehendak demokrasi itu sendiri. Beliau menyeru supaya sama-sama berdemokrasi mewujudkan kerajaan pilihan rakyat dan menjalankan kerajaan tanpa membedakan antara puak dan golongan. Bertengkar mengenai politik bukanlah bermakna berpecah belah dalam kehidupan masyarakat.

Itulah yang belum difahami umum dan menjadi tragedy demokrasi. Oleh itu demokrasi dengan pengertian yang murni perlu difahami benar-benar. Peristiwa yang berlaku di Singapura waktu itu juga menarik perhatian beliau dalam muktamar tersebut. Bermulanya kejadian tersebut menurut Tun Razak, ‘Orang lempar botol waktu perarakan Maulid Nabi’, atau teori Lee Kuan Yew, ‘Kerana tindakan gangstar’ dan teori PM .Kerana kegiatan agen-agen Indonesia. Sebarang peristiwa semuanya boleh berlaku selagi pemerintah tidak dapat memahami hakikat naluri kehidupan masyarakat adil.

Menyembunyikan hakikat tersebut semata-mata untuk merebut kemenangan cakap, adalah bererti membiarkan api yang bebas meresap ke dalam sekam. Walau bagaimanapun peristiwa itu hanya sekadar percikan manifestasi dari kepincangan masyarakat di Singapura itu sendiri. Beliau merasa kesal dengan peristiwa tersebut. Usaha-usaha yang konkrit supaya tidak berulang lagi hanya dapat dilakukan dengan membetulkan kepincangan. Kerajaan Pusat yang bertanggung jawab.

Bukan hanya dengan melaungkan cakap kononya ‘perpaduan rakyat dalam negara ini utuh dan kukuh’ atau ‘negara ini menjadi contoh bagaimana beberapa kaun dan keturunan dapat hidup dengan harmoni sebagai satu warganegara yang padu, aman dan damai’. Akhirnya beliau mengenengahkan Islam sebagai cita-cita kenegaraan. Tidak sahaja membawa rahmat kepada umat Islam, tetapi juga membawa kebajikan kepada yang bukan Islam di dalam negara.

Kerana Islam itu di dalam sifat dan sejarahnya telah membuktikan pengakuan kepada orang bukan Islam atas hak-hak dan melindungi kesejahteraan hidup harian mereka sebagai rakyat yang taat setia kepada negara. Tidak ada apa yang hendak dirunsingkan oleh orang bukan Islam di dalam negara Islam. Kerunsingan yang timbul adalah kerana kejahilan dan momokan pihak lain, menurutnya lagi. PAS sebagai sebuah parti politik Islam selalu disalahfahamkan, kononnya bersifat anti Cina dan anti orang bukan Islam.

Tuduhan yang tidak bertanggung jawab ini telah dibuktikan oleh pemerintahn kerajaan PAS Kelantan, bahawa orang yang bukan Islam dapat hidup dengan tidak dikenakan sebarang penindasan dan kezaliman ke atas mereka. Tetapi bagi tokoh-tokoh mereka yang berbangga kononya parti mereka ‘bencikan perkauman’, ‘juara damai dan hidup tenteram pelbagai kaum’, sejarah telah membuktikan dengan peristiwa di Singapura berlaku di hadapan mata mereka waktu itu. Sejarah juga menjadi bukti sejauh manakah politik PAS telah mengharu-birukan keharmonian masyarakat berbagai kaum di dalam negara?

Jawapannya, tidak!!

Sejarah PAS 20: PAS & Politik Global 1960-1964

Sejarah PAS 20: PAS & Politik Global 1960-1964

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 20

BAGAIMANA pula dasar luar PAS di bawah pimpinan Dr Burhanuddin? Mari kita lihat ucapan dasar Muktamar Agung PAS dari tahun1960 hingga 1964, untuk mengetahui ke mana arah politik yang hendak dibawa beliau.

Dalam Muktamar ke 9 tahun 1960 beliau mengkritik ketidak sungguhan kerajaan dalam menegakkan keadilan. Katanya:

“Berperi-peri benar kerajaan PERIKATAN mengutuk Afrika Selatan yang mengamalkan dasar perbedaan kulit, kononya kerana tidak adil, tetapi apakah adil namanya apabila kerajaan mengakui sah negara Israel yang dibentuk dengan haram di bumi Palestin yang menjadi hak punya umat Islam Palestin itu?”

Dalam masalah Algeria beliau mendedahkan ‘politik silap mata kerajaan’, di mana Tuan Dr Farhd Abbas PM (Perdana Menteri) kerajaan sementara Algeria dijemput, disambut, dijamu, dikerumuni dan ditepuk belakangnya, tetapi kerajaan PERIKATAN bacul tidak mahu mengakui kerajaan Algeria yang merdeka itu.. Jelaslah kepadanya bahawa siasah Amerika dan Inggeris bertanggung jawab mengarahkan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk tidak mengakui kerajaan sementara Algeria. Kerana pengakuan itu akan merosakkan kawan mereka iaitu Perancis.

Beliau juga mengesahkan dala Muktamar Agung PAS ke 10 tahun 1961, ada usul daripada cawangan supaya PAS mendesak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menegaskan sikap terhadap perjuangan rakyat Algeria untuk mengutuk kerajaan Perancis yang kejam itu. Juga supaya PAS mendesak kerajaan mengutuk dan membantah sikap orang-orang Buddha di Burma yang telah membakar masjid-masjid orang Islam di Ranggon. Begitu juga tentang kegelisahan orang Islam di Selatan Thailand.

Dalam Muktamar PAS ke 11 tahun 1962, Dr Burhanuddin mengajak para hadirin merenung dasar luar kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman yang lebih senang lagi mematuhi dasar luar Amerika dari dasar tersebut. Melihat betapa bodohnya dasar yang diambil hingga kadang-kadang tidak dapat mengelak dari kepercayaan bahawa Persekutuan Tanah Melayu masih belum merdeka dalam beberapa jurusan luar negerinya dan hanya menjadi alat dan corong suara kerajaan lain.

Menurutnya, tiga tahun dulu, PAS telah memberi amaran bahawa memperbanyakkan hutang luar negeri dan mengekalkan perjanjian pertahanan dengan Inggeris adalah sebenarnya mengikat negara kepada mengekori dasar luar Inggeris dan Amerika. Itu semua telahpun terjadi walaupun berbuih-buih air liur PM menafikannya. Contohnya, PM Persekutuan dangan ‘dasar tepuk belakang dan senyum’ melawat PM India dan Presiden Pakistan, telah menunjukkan sokongannya kepada rakyat India dalam masalah Kashmir, sedangkan sudah jelas bahawa ratusan ribu umat Islam Pakistan teraniaya dengan pencerobohan yang berpanjangan kerana kedegilan PM India yang tidak mahu insaf kepada hak dan kebenaran itu.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan tidak berani berdiri di pihak yang benar, walaupun yang benar itu adalah umat Islam sendiri. Tetapi apabila berlaku perselisihan sempadan antara China dengan India PM cepat-cepat menjadikannya sebagai pertarungan antara dua faham iaitu demokrasi lawan komunis. Yang sepatutnya, boleh dasar berkecuali diamalkan. Berhubung dengan kebangkitan rakyat Brunei menentang ‘penjajahan orang-orang kafir’, PM mensifatkan sebagai ‘penderhakaan kepada Sultan Brunei’ dan menuduh PAS suka kepada penderhakaan yang berlawanan dengan Islam.

Dr Burhanuddin pula mensifatkan PM yang menyokong penjajahan di Brunei itu adalah satu lambaran hitan legam dalam sejarah keburukan kerajaan persekutuan, mengandungi pengkhianatan amanah dan penindasan kepada kebebasan. Menurutnya, kalau benar PM menghadkan penyertaan di Brunei dengan penghantaraan beberapa orang sahaja anggota Polis Di Raja, maka tentulah PM tidak bersyarah panjang di Dewan Rakyat. Seolah-olah beliau menjadi wakil penjajah untuk menyatakan kesalahan apa yang disebut ‘gerakan pemberontakan’ sehingga menuduh kerajaan Indonesia mengapi-apikan dan menyokong ‘pemberontakan’ tersebut. Bagi PAS, ada baiknya jika Persekutuan Tanah Melayu menghindarkan diri dari mencari musuh di bidang internasional.

Menurut PM pula, ada anasir-anasir yang suka bahawa perhubungan Tanah Melayu-Indonesia itu retak. Dr Burhanuddin menambah, bahawa bukan soal komunis Indonesia sahaja, tetapi ada anasir-anasir dalam kabinet Persekutuan yang memandang curiga terhadap hubungan baik kedua negara tersebut dan ingin supaya Tanah Melayu menjauhkan diri daripada Indonesia. Kalau dengan Thailand boleh berhubung rapat, maka tidak ada sebab dengan saudara-saudara di Indonesia tidak boleh diperkukuhkan, menurutnya lagi. Beliau ‘gelihati’ terhadap sendiwara politik PM yang menyangsikan taat setia anggota-anggota PAS kepada negara yang mungkin lebih tertumpu kepada Indonesia.

Dalam ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 12 tahun 1964, beliau mengajak hadirin dalam muktamar melebihkan pandangan pada persoalan besar yang dihadapi oleh negara waktu itu, iaitu persoalan konfrantasi. Telah berkali-kali dinyatakan bahawa PAS tegas dengan pendiriannya menghendaki diselesaikan dengan cara damai, sebab itu adalah konsep Islam sejati dan konsep hidup untuk keamanan dunia seluruhnya. Menurutnya, konsep tersebut telah disuarakan oleh PAS di parlimen yang menegaskan, jika peperangan timbul antara dua negara bersaudara ini, maka tiada yang beroleh keuntungan melainkan ‘memberi kesempatan kepada gergasi-gergasi dunia mempertarungkan kekuatan di dunia sebelah sini’.

Negara akan jadi ‘padang jarak padang terkukur’ atau ‘pelanduk mati di tengah-tengah perjuangan antara dua ekor gajah yang besar’. Seperti yang berlaku di Korea, Vietnam, Laos, Cyprus di mana-mana sahaja daerah sengketa dunia, di mana negara besar merebut pengaruh. Akhirnya, persoalan yang timbul lebih banyak merupakan pertarungan antara mereka. Indonesia waktu itu Berjaya mendapat bantuan Rusia dan Malaysia dari Amerika. Konfrantasi makin menghebat, rundingan damai gagal dan perang sempadan tambah berkecamuk. PAS pernah mencadangkan di Dewan Rakyat, supaya Malaysia mengadu kepada Bangsa-bangsa Bersatu.

Menurut Dr Burhanuddin:

“…sesudah mendapat jaminan atau mungkin mendapat nasihat dari PM British, maka barulah PM merasa mustahak membawa persoalan ini kepada Bangsa-bangsa Bersatu.”

Dalam muktamar Agung PAS ke 12 juga, beliau menyentuh soal ancaman komunis yang tidak boleh dianggap mudah. Gerakan komunis dunia nampaknya bertambah aktif walaupun pertentangan ideology antara Rusia dan Komunis China bertambah memuncak. Rusia sedang memperhebat gerakan di Eropah. Komunis China pula di Asia. Pecahnya peristiwa di Vietnam-Amerika mencetuskan satu kesempatan baru bagi Komunis China untuk menghalalkan tindakannya. Seluruh Asia Tenggara gempar dan gegar. Thailand telah menunjukkan kebimbangan.

Dr Burhanuddin mengajak memperhitungkan:

“Apakah negara gajah putih itu dapat menahan kemaraan komunis utara dengan pertahanan sempadan? Sedangkan gerakan komunis dalam negaranya sendiri masih hidup dengan liar? Apakah kemaraan komunis dari utara iru akan menjadi satu perangsang kepada gerakan komunis negara Thai dan saki baki komunis di sempadan Tanah Melayu dan Selatan Thai?”

Itu juga adalah perkara besar yang berkait persoalannya dengan konfrantasi. Oleh itu menjadi satu kesilapan apabila konfrantasi hanya ditinjau sebagai masalah tersendiri sahaja. Menurut beliau, keselamatan dan kebahagiaan masa depan negara bergantung kepada kebijaksanaan pimpinan, iaitu kebijaksanaan yang bebas dari tekanan pengaruh luar. Menurutnya, negara-negara Afrika dan Asia sudah berada di dalam satu perpaduan Afrika-Asia, melalui usaha badan tersebut banyak negara-negara Afrika-Asia yang sudah merdeka dan berdaulat.

Negara Israel pula telah wujud dengan sokongan moral dan material dari negara-negara barat yang kemudiannya diiktiraf oleh banyak negara, termasuk Malaysia. Mengiktiraf Israel bukan sahaja menyokong tindakan jahat penjajahan, malah menjauhkan negara-negara Afro-Asia dari memahami dan menyokong Malaysia. PAS sekali lagi akan membawa usul dalam parlimen supaya kerajaan menarik balik pengakuannya terhadap negara haram Israel itu.

Memandangkan kepada kedudukan dunia, maka Dr Burhanuddin menyarankan bahawa untuk menghapuskan ketegangan yang berlaku waktu itu, bagi PAS tidak ada jalan-jalan yang lain, selain dari semua bangsa-bangsa di dunia benar-benar mempunyai kemahuan untuk:

1..Membentuk dasar-dasar kerjasama bagi keamanan.
2..Mengharamlkan senjata-senjata nukelier dan mengamalkan senjata demi keselamatan dan kebajikan umat manusia.
3..Memelihara dan menghormati hak tiap-tiap bangsa bagi menentukan nasibnya sendiri tanpa diganggu-gugat oleh anasir-anasir penjajahan dan pemerasan.
4..Membantu tiap-tiap bangsa yang berjuang untuk kemerdekaan dan menghapuskan penjajahan di negaranya dalam apa jua corak.
5..Membatalkan hak-hak vito yang ada pada kuasa-kuasa besar di dalam Bangsa-bangsa Bersatu.

(Sila lihat buku ‘PAS Tuntutan Kebangkita Ummah’ Ucapan Dr Burhanuddin Al-Helmi: terbitan GG Edar 1988)

Beliau mengingatkan lagi, jika Bangsa-bangsa Bersatu hendak kekal menjadi sebuah pertubuhan dunia yang jujur berkesan, maka hendaklah berusaha bersungguh-sungguh memelihara, menghormati dan menjalankan lunas-lunas tersebut di atas. Itulah harapan PAS dan seluruh umat manusia yang cintakan keadilan dan perdamaian. Itulah juga yang menjadi pokok dasar luar PAS. Untuk Malaysia, beliau bagi pihak PAS mendesak supaya kerajaan mengisytiharkan kepada dunia bahawa ia mempunyai, mengamalkan dasar luar yang bersifat berkecuali, bebas, aktif dan lepas dari pengaruh penjajah atau pengaruh komunis.

Juga bersahabat baik dan bergabung dalam satu pertubuhan setiakawan negara-negara Afrika-Asia. Untuk menjamin persahabatan dan perpaduan tersebut, maka hendaklah dibatalkan perjanjian pertahanan antara Malaysia dengan Great Britian pada masa itu. Sebagai gantinya, Malaysia hendaklah mengadakan perjanjian persahabatan sebaik-baiknya dengan Great Britian tersebut. Itulah sebahagian dari dasar luar atau sikap terhadap politik global PAS di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi.

Sejarah PAS 19: Ekonomi & Negara Kebajikan Menurut Dr Burhanuddin.

Sejarah PAS 19: Ekonomi & Negara Kebajikan Menurut Dr Burhanuddin.
1920an di Jalan Gemblongan, Surabaya. Tram letrik, salah satu angkutan umum kota yang penting, tetapi pada 1960an sudah tiada.

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 19

“KITA dengar pemimpin-pemimpin yang telah lupa daratan dalam negara ini mengatakan bahawa perjuagan rakyat pada masa ini tidak lagi kerana agama, bahkan perjuangan hendaklah kerana perut.”

Demikian sedutan ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 9 di Kuala Lumpur tahun 1960 yang disampaikan oleh Yang Di Pertuanya Dr Burhanuddin Al-Helmi. Ertinya PAS sudah awal-awal lagi menyedari bahaya meterialisme atau faham kebendaan yang menjadikan benda sebagai matlamat bukan sebagai alat untuk mendaulatkan kesucian agama Islam.

Menurutnya, itulah penyakit yang membusukkan jiwa dan meruntuhkan moral perjuangan mereka. Nilai perjuangan hanyalah menjadi tinggi dan bermutu selama-lamanya dengan berdasarkan membela agama, membetulkan kepincangan politik dan ekonomi yang melingkungi kehidupan umat. Kepentingan rakyat perlu dibetulkan dan kerajaan PERIKATAN telah mengemukakan Rancangan Lima Tahun tetapi masih banyak kepincangannya.

Menurutnya, perkembangan iktisad tidak boleh merombak kewajipan terhadap agama Islam, tetapi kerana kerajaan PERIKATAN tidak memperdulikan nilai, hak dan keadilan menyebabkan mereka terjerumus melakukan beberapa penyelewengan. Kerajaan tidak mempedulikan kemasukan modal asing yang tidak terhingga dan terbatas, kerana perbuatan ini akan mencengkam kembali kuku penjajahan ekonomi orang asing kepada negara dan rakyat hanyalah menjadi kuli kepada mereka, sedangkan perkembangan ekonomi tergendala dan tertekan.

Indah khabar dari rupa dalam kempen-kempen dan kerja-kerja kerajaan yang tidak berasas serta tetap untuk memajukan ekonomi rakyat. Ini kerana kerajaan masih lagi tunduk kepada orang asing, kepentingan puak pemodal sahaja dipelihara, yang didapati oleh rakyat hanyalah janji khidmat cakap sedang mata dan telinga melihat dan mendengar, yang maju dan mewah adalah orang asing.’ Maka, ‘…berhamburanlah abu dan debu yang mengelirukan mata rakyat yang dialunkan oleh angin yang timbul dari janji-janji kerajaan itu.’ Demikian menurut Dr Burhanuddin lagi.

Dalam muktamar yang ke 10 beliau menekankan, apa yang telah dibuat oleh kerajaan untuk kepentingan orang Melayu dan kemana riuhnya? ‘Seolah-olah dunia Tanah Melayu bertukar menjadi sebuah dunia lain, orang-orang yang dulunya menderita kini menjadi manusia yang berpendapatan lebih dari RM300, seperti kata Menteri Pembangunan Luar Bandar. Sendiwara riuh rendah ini sudahpun dikenal oleh rakyat…’

PAS mahu Kerajaan Persekutuan sedar, bahawa apa yang dipentingkan oleh rakyat pada masa itu ialah usaha yang bersungguh-sungguh supaya dapat menambah hasil pendapatan rakyat tiap-tiap bulan, dengan menyusun rancangan ekonomi yang sesuai dengan kehendak kehidupan rakyat. Tetapi tanda-tanda yang jelas nyata menunjukkan kerajaan tidak akan dapat melakukannya selagi masih mementingkan orang kaya, orang besar dan kapitalis-kapitalis luar negara.

Beliau mencabar Kerajaan Persekutuan supaya mengenepikan cara-cara pro kapitalis ‘dengan member lebih banyak perhatian di lapangan perekonomian secara berkecil-kecil dari rakyat.’ Beliau mahu menjadikan negara makmur yang ditegakkan oleh rakyat dan dapat dinikmati oleh rakyat. Itulah negara kebajikan menurutnya.

Dalam ucapan dasar Muktamar Agung ke 11, beliau mensifatkan pemimpin-pemimpin UMNO telah menjual hak Melayu dalam negara. ‘UMNO Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai’, ‘mereka inilah orang-orang yang menjerit seperti naga tetapi berjalan seperti semut, yang dikatakan oleh Prof Engku Abdul Aziz’, menjawab jajaan Tun Abdul Razak yang mengatakan negara ini telah makmur. Alangkah pedihnya tamparan tajam dari pakar ekonomi orang kampung itu yang mendedahkan ‘masih tiadak ada kemakmuran kepada orang kampung’.

Kasihan, Jelas Dr Burhanuddin. Mereka terpedaya oleh igauan sendiri dengan berpegang kepada pengakuan pakar-pakar luar yang datang ke negeri ini dan merayau sekejap untuk memberi pujian, yang mereka hanya tahu melihat kertasnya sahaja. Berkenaan kekacauan antara pekerja keretapi dengan majikan waktu itu beliau merumuskan, bahawa itu menandakan kelamahan kerajaan di dalam menghargai titik peluh orang lain. Banyak lagi golongan perjawatan kerajaan yang sedang menunjukkan minat mereka untuk bertindak seperti itu, membuktikan ketidak percayaan mereka kepada kesaksamaan pentadbiran Kerajaan Perikatan.

Kerana tidak ingin berlakunya kekacauan yang boleh menyusahkan rakyat negara ini, maka PAS menuntut kerajaan Persekutan Tanah Melayu memberikan layanan yang baik kepada pihak-pihak yang terniaya dalam negara. Kezaliman politik dan penindasan ekonomi tidak boleh dibiarkan, walaupun yang tertindas berdiam diri. Kerana penindasan seperti itu akan melumpuhkan ekonomi negara dan mewujudkan satu susunan masyarakat yang tidak dseimbang.

Beliau menafikan kejayaan Rancangan Kemajuan Luar Bandar kerajaan PERIKATAN dan menegaskan keseluruhannya merupakan perkhidmatan yang belum dapat menambah secara langsung pendapatan rakyat. Beliau mahu satu rancangan yang terus memberikan peluang menambah pendapatan rakyat dengan tidak payah menunggu giliran atau masa yang panjang berhasilnya rancangan tersebut. Wang yang ditaburkan kepada rakyat hendaklah dirancang dengan teratur, memberikan keutamaan layanan untuk kepentingan rakyat.

Bukan memberikan perkhidmatan kepada rakyat setelah ternyata tidak berlawanan dengan kepentingan orang tengah atau kaum-kaum pemodal besar. Beliau menegaskan, rakyat patut diberitahu bahawa kerajaan PERIKATAN telahpun memberi cuti daripada membayar cukai oleh syarikat-syarikat besar dalam negara. Diberikan taraf perintis selama lima tahun dan tidak dikawal secara berkesan kemasukan barangan, walaupun kemasukan tersebut berlawanan dengan kepentingan ekonomi rakyat kecil di dalam negara.

Syarikat kerjasama rakyat telah dicerobohi daerah perniagaannya oleh kaum pemodal kapitalis, sehingga syarikat tersebut lumpuh ditekan oleh pemodal-pemodal dari semua penjuru dengan tiada kawalan undang-undang kepada kepentingan mereka. Itulah yang dikatakan kerajaan PERIKATAN tidak jujur dalam rancangan ekonominya kerana mementingkan cukai yang banyak walaupun dengan memeras rakyat. Oleh itu beliau menyarankan agar rakyat mendukung diri dan dengan tangannya sendiri, dibantu oleh kerajaan dalam menjalankan usaha-usaha keperluan hidupnya.

Beliau melihat dari sudut Islam, yang masa keseluruhan rakyat sesebuah negara adalah mendapat perhatian dan layanan sesuai dengan kedaulatan Islam dan pemeluk-pemeluknya. Di dalam negara Islam, pembangunan rakyat hendaklah diatur dengan memberikan perimbangan kedudukan dan kesederhanaan sikap terutama dalam penyelenggaraan ekonomi negara. Kesan-kesan pembangunan ‘ekonomi mementingkan diri dan satu golongan sahaja’ dengan tidak mengindahkan kesan buruk kepada pihak lain, adalah menjadi unsur penting yang telah membawa penyakit-penyakit masyarakat.

Islam berkehendakkan peluang dan penggalakan ekonomi yang baik dan mempunyai moral untuk dikecapi oleh semua golongan masing-masing, menurut kesanggupan dan kebolehannya. Beliau mengkritik pengutamaan pengembangan ekonomi di Tanah Melayu yang ternyata sebagai satu pengembangan sahaja, dengan tidak memikirkan bahawa perkembangan itu menekan atau membantutkan kebangkitan ekonomi rakyat. Apa yang dibuat ialah menampal kelemahan ekonomi rakyat dengan memberikan khidmat-khidmat kecil kepada mereka. Maka rakyat sentiasa bersifat bergantung kepada orang lain.

Mereka terpaksa bersifat demikian kerana tidak memberikan peluang dan bantuan kepadanya bagi menghapuskan sifat-sifat kemelaratan hidup tersebut. Beliau menyebut bahawa Rasulullah SAW telah menunjukkan satu contoh pengajaran ekonomi yang mesti dijalankan oleh sesebuah negara. Apabila bertemu dengan seorang peminta sedekah di tepi jalan Raslullah telah bertanya, kenapa engkau tidak berkerja? Orang itu menjawab dengan mengatakan, apa guna berkerja kerana aku tiada sesuatupun alat untuk melaksanakannya.

Baginda terus mengambil tikar tempat duduk orang itu, disuruhnya jual dengan harga satu dirham, kemudian dimintanya daripada Saidina Abu Bakar satu dirham lagi supaya dapat dibelikan sebilah kapak untuk bekerja. Dengan itu tidaklah lagi orang itu meminta sedekah. Begitulah halnya dengan orang-orang miskin di negara ini, menurut Dr Burhanuddin lagi. Mereka perlukan bantuan untuk mula berjalan. Itulah yang mesti dilaksana dan disamakan dalam pembangunan ekonomi. Tetapi selagi kerajaan tidak tegas mengutamakan yang ramai dan miskin, maka selama itulah keadaan hidup rakyat negara ini tidak dapat dibetulkan.

Suatu penyusunan pandangan hidup dan perancangan ekonomi menurut keadaan waktu itu perlu dibuat supaya tiap-tiap individu rakyat memiliki sesuatu walaupun sedikit. Itu lebih berguna kepadanya dalam ertikata ekonomi, daripada merancacang sesuatu ‘bagi beberapa orang atau beribu orang yang pindah dan dikumpulkan sahaja’, tidaklah dapat menyelesaikan kesulitan mereka yang sedikit mempunyai modal hidup tetapi tidak teratur. Beliau berpendapat bahawa, tiada satu perancangan kemajuan akan dapat dijalankan di kalangan rakyat miskin dalam negara, melainkan dengan mengawal perkembangan ekonomi mereka daripada orang-orang yang menekan, menindas dan memeras unsur-unsur ekonomi tersebut.

Penindasan seperti itu adalah membunuh kepercayaan kepada pemangunan ekonomi di kalangan rakyat. Rasa tamak dan haloba yang ada pada manusia, hanya dapat dibatas dengan undang-undang, bukan dengan mengenakan cukai sahaja. Beliau menyarankan hendaklah dibuat undang-undang yang tegas dan berkesan bagi mencegah monopoli dan pemerasan ekonomi di beberapa peringkat. Menggalakkan kerja-kerja yang dijalankan terutama dalam sesuatu bidang khusus, hendaklah dijadikan asas pekerjaan. Syarikat kerjasama pembeli, pengguna-pengguna dan orang tengah perlu mengambil formula penyelesaian dan jawapan menurut cara Islam.

Semangat gotong-royong yang telah dipusakai sejak dulu dan masih dijalankan di beberapa tempat, hendaklah dijadikan asas hidup di dalam masyarakat, tetapi bukanlah seperti yang dibuat oleh kerajaan ‘bergotong-royong kerana hendak memurahkan belanja tetapi boros pada tempat yang lain’. Menurutnya, dalam sesebuah negara yang berdasarkan Islam, kewibawaan moral dan nilai kemanusiaan dalam ekonomi adalah penting. Bukanlah asal dapat benda dan matawang sahaja maka sesuatu perancangan ekonomi itu baik, tetapi kesan terhadap orang lain dan diri manusia itu sendiri mesti diperhitungkan.

Masyarakat kapitalis yang timbul dari dasar ekonomi bebas dibawa oleh penjajah dan sedang dianjurkan oleh kerajaan membawa bersama pegangan hidup ‘asal untung sahaja’ mestilah dikawal bersungguh-sungguh. Menegakkan kemajuan ekonomi di atas keruntuhan moral adalah merupakan satu yang bahaya kepada orang Islam dan bukan Islam. Ianya dapat dibetulkan dengan menjalankan dasar ekonomi sederhana, menghasilkan sama suatu perimbangan kebendaan dan moral yang dipentingkan oleh masyarakat sesuatu negara.

Beliau juga memberi amaran supaya jangan diulangi sejarah buruk negara ini menanggung hutang seribu juta ringgit, kerana mahu berlagak sebagai negara baru merdeka yang berjaya maju. Begitu juga langkah membanggakan kilang-kilang besar dan sebagainya, tetapi dipunyai oleh orang lain, sedangkan rakyat hanya menjadi kuli sahaja. Baginya, perlu kepada pengambilan tenaga dan modal yang ada pada rakyat di dalam negara, bagi memajukan diri rakyat sendiri, jika tidak maka akan terikatlah leher rakyat dengan cengkaman ekonomi yang merupakan satu penjajahan merbahaya sesudah penjajahan politik.

Mengajar rakyat berdiri sendiri, supaya membuat sendiri dengan kemahuan sendiri, hendaklah dimulakan oleh negara. Kalau negara dibentuk untuk berlagak sahaja seperti pada waktu itu, maka rakyatnya pun akan terbentuk sebagai berlagak tetapi tidak berisi. Beliau merumuskan bahawa Islam mempunyai formula atau cara-cara menghadapi masalah-masalah moden yang menjadi problem masyarakat samada di lapangan politik atau ekonomi. Beliau membaca firman Allah SWT bermaksud:

“Pada hari ini Aku sempurnakan bagimu agama kamu dan Aku cukupkan bagimu nikmat Ku dan Aku redha Islam sebagai ad-deen bagimu.”

Dalam ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 12 tahun 1964, beliau menekankan tentang kelemahan orang Islam mengamalkan seluruh cara hidup yang merangkumi politik, ekonomi dan social mengikut ajaran Islam. Itulah yang menyebabkan banyak kekayaan yang ada di negara-negara umat Islam itu terlepas dari tangan orang Islam sendiri. Kuasa-kuasa bukan Islamlah yang mengaut kekayaan dan membina anika rupa kemajuan dengan kekayaan yang diambil oleh mereka dari negara umat Islam.

Bukan itu sahaja menurut beliau, dengan kekayaan yang diambil oleh kuasa-kuasa besar, mereka secara langsung atau tidak langsung telah berusaha pula menyalakan api permusuhan terhadap Islam.

Sejarah PAS 18: Ke Mana PAS Pimpinan Dr Burhanuddin?

Sejarah PAS 18: Ke Mana PAS Pimpinan Dr Burhanuddin?

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 18

ADA kalangan pengkaji politik membahagikan kepada 4 bentuk kepimpinan yang dilalui oleh PAS sepanjang beberapa dekad ini.

Pertama: Kepimpinan ulama tradisi, iaitu zaman Tuan Haji Ahmad Fuad 1951-1953 dan Dr Abbas Alias 1954-1956.

Kedua: Kepimpinan nasionalis kiri, iaitu zaman Dr Burhanuddin Al-Helmi 1956-1969.

Ketiga: Kepimpinan nasionalis kanan, iaitu zaman kepimpinan Datu8k Asri Haji Muda 1969-1982.

Keempat: Kepimpinan ulama haraki, bermula dengan Tuan Haji Yusuf Abdullah Ar-Rawi 1982-1989, Ustaz Fadzil Muhammad Noor 1989-2002 dan Haji Abdul Hadi Awang sekarang.

Soalnya sekarang, apakah benar PAS di bawah kepimpinan Dr Burhanuddin adalah kepimpinan nasionalis kiri? Dr Burhanuddin diterima menjadi ahli PAS pada 14 Disember 1956 dan terus menjadi Yang Di Pertua PAS dalam muktamar ke 5 PAS pada 25 Disember 1956 di tengah-tengah amaran dari perwakilan supaya tidak lari dari perjuangan Islam seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh PAS. Beliau menjadi ahli PAS masa itu, di saat PAS merupakan parti pembangkang terkuat. UMNO,MCA dan MIC di dalam PERIKATAN , raja-raja Melayu serta kerajaan British sedang menjalankan usaha-usaha perundingan untuk kemerdekaan Tanah Melayu.

Jadi, persoalan waktu itu, bukanlah persoalan kemerdekaan, tetapi bagaimana corak kemerdekaan yang perlu diisi? PAS melalui Yang Di Pertuanya Dr Burhanuddin mengemukakan alternative terbaik yang sangat sesuai waktu itu, di dalam Muktamar Agung ke 6 pada 24 Ogos 1957, berbunyi:

“… bahawa dasar pokok perjuangan kita ialah kemerdekaan yang penuh:
1..Kebangsaan negeri ini mestilah Melayu.
2..Mestilah diakui bahawa bangsa Melayu adalah tuan punya negeri ini.
3..Untuk membina satu bahasa, satu negara dan satu bangsa yang teguh, hanya diakui bahasa Melayu sahaja jadi bahasa resmi dan bahasa kebangsaan yang tunggal di negeri ini.
4..Islam menjadi agama rasmi dalam ertikata yang betul pada ajaran Al-Quran dan Sunnah nubuwwah.
5..Menentang dasar jus soli diberikan kepada orang yang bukan Bumuputera negeri ini, dan orang yang bukan Melayu yang hendak menjadi rakyat negeri ini hendaklah dengan permintaan yang diluluskan oleh undang-undang yang mengawal keselamatan wujudnya bangsa Melayu dan dicurahkan dengan orang-orang dagang ke negeri ini oleh open door policy.”

Dalam ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 10 di Alor Setar Kedah tahun 1961, beliau menyentuh tentang pembentukan sebuah negara ‘Melayu Raya’ iaitu masalah kenegaraan yang sedang hebat diperbincangkan. Suasana politik tanah air sedang ditumpukan kepada pembentukan sebuah persekutuan negara, lebih besar dari keadaan yang sedia ada pada waktu itu.

Menurut beliau, perkataan ‘Melayu Raya’ sebenarnya bukanlah perkataan yang baru, tetapi ianya telah ditimbulkan oleh tokoh-tokoh perjuangan negara sejak puluhan tahunyang lalu. Cuma bentuknya sahaja yang berlainan. Melayu Raya yang akan dibentuk waktu itu adalah bersifat kecil dan sempit ‘yang amat disetujui oleh penjajah’ dan amat digemari ‘oleh golongan-golongan yang nyata mempunyai kepentingan ekonomi dan politik untuk dirinya sendiri’, ‘didokongi juga oleh golongan ahli-ahli politik dalam negara ini yang tidak menyedari akan bahaya-bahaya besar yang akan timbul daripada yang mereka dokong itu’.

Menurutnya lagi, gagasan Persekutuan Melayu Raya itu hendaklah meliputi seluruh Gugusan Pulau-pulau Melayu termasuk Indonesia dan Filipina. Kerana ‘itulah sahaja yang mampu menyelamatkan Islam, khasnya di Tanah Melayu ini dan umumnya bangsa Melayu Raya, daripada dijadikan sebagai buah dadu permainan politik sahaja oleh lain-lain kuasa yang berkepentingan sendiri’. ‘Itulah sahaja yang boleh menjadikan kita satu umat yang besar, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, berjalan sama gagah dengan yang lain-lain.’

Muktamar Agung Khas diadakan pada bulan Oktober 1961 telah memutuskan sikap atas bentuk negara Melayu Raya yang dipersetujui termasuk Indonesia dan Filipina. Katanya:

“Kita tidak dapat mempersetujui konsep Melayu Raya yang sempit hanya melingkungi Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah sahaja… akan kita perjuangkan terus menerus dan masalah ini akan saya kemukakan ke dalam Majlis Dewan Rakyat yang bersidang pada bulan Januari ini.”

Muktamar Agung Khas itu juga memutuskan bahawa PAS tidak dapat menerima percantuman dengan Singapura disebabkan oleh keadaan politik yang meliputi Pulau Singapura waktu itu, bukan kerana sejarah, kedudukan geografi atau kebudayaan hidup. ‘Perhitungan politik’ itu ada hubungan dengan dasar besar PAS, iaitu menjaga kepentingan hak kedudukan rakyat negara ini dalam semua langkah dan rancangan politik.

Menurutnya lagi, membutakan mata dari perhitungan politik akan membawa umat ke lembah kehancuran. Seperti yang sedang berlaku dan sama-sama dapat dilihat dengan amalan-amalan kerosakan parti PERIKATAN. Sehingga kini ‘Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi tempat bagi kehancuran umat Islam sendiri di dalam kedudukan politik’. Kataanya lagi:

“Menimbang ini semuanya dan menginsafi akibat-akibat yang akan melibatkan keturunan kita pada masa yang akan dating, maka di dalam menghadapi soal percantuman dengan Singapura ini. PAS hanya nampak dengan adanya rancangan negara Melayu Raya yang sungguh-sungguh besar itu sahajalah, hal itu dapat dilakukan dengan baik.”

Muktamar Agung ke 11 yang diadakan di Bandar Melaka pada tahun 1962, dalam ucapan dasar PAS beliau mengatakan rasa tidak setujunya samada mereka mengaku atau tidak bahawa langkah Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk ‘Malaysia’, ‘telah berpijak di atas kaki orang lain sehingga menyinggung Indonesia’. Ianya mesti dipandang berat dan PAS tidak ingin berlanjutan sebab boleh menguntungkan pihak Inggeris dan Amerika. Boleh jadi Rusia dan China Komunis sedang ketawa kecil melihat ‘kegentingan’ ini.

Perhubungan dengan Filipina juga mungkin tersentuh mengenai Sabah. Paling pahit sekali jika berlakunya tentangan bersenjata terhadap Malaysia secara berlarutan. Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang menyokong penjajahan di Brunei mengatakan bahawa apa yang berlaku di Brunei itu tidak ada hubungannya dengan penubuhan Malaysia, tetapi PAS memandang masalah ini mempunyai hubungan langsung dengan percubaan ‘memaksakan Malaysia’ kepada rakyat Brunei. Dr Burhanuddin juga mengatakan:

“PAS telahpun mengatakan tidak setujunya dengan konsep Malaysia Perdana Menteri itu! Kepada Perdana Menteri, kita ingatkan, jangan dipaksa penerimaan Malaysia itu ke atas sesiapapun yang tidak mahu kepadanya, sebabnya akan merupakan suatu kezaliman politik yang mempunyai akibatnya di belakang hari kelak.”

Demikianlah pandangan PAS di bawah pimpinan Dr Burhanuddin tentang kebangsaan Melayu dan pengisian kemerdekaan, gagasan Melayu Raya, sikap terhadap percantuman dengan Singapura dan penubuhan ‘Malaysia’. Kita lihat pula sikap PAS terhadap ekonomi dan iktisad.

Sejarah PAS 17: Parti Islam Pertama Membentuk Kerajaan.

Sejarah PAS 17: Parti Islam Pertama Membentuk Kerajaan.

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 17

Dr Mohd Asri Hj Muda

Prof Zulkifli Muhammad

TELAH diterangkan sebahagian dari aktiviti-aktiviti penerangan PAS dalam menghadapi pilihan raya 1959. Hasilnya PAS berjaya menguasai dua buah negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu. Juga memenangi 13 dari 104 kerusi Parlimen, 9 di Kelantan dan 4 di Terengganu. Antaranya dimenangi oleh tokoh-tokoh PAS seperti Dr Burhanuddin dari Perak di Besut. Khadijah Sidek dari Johor di Dungun. Hasan Adli dari Perak di Kuala Terengganu Utara.

Zulkifli Muhammad dari Perak di Bacok. Othman Abdullah dari Johor di Tanah Merah. Datuk Raja Muhammad Hanifah di Pasir Mas Hilir. Haji Ahmad Perai atau Haji Ahmad Abdullah dari Butterworth di Kuala Kelantan dan lain-lain. PAS telah berjaya meragut 13 kerusi Perlimen, mendapat 21.2% dari keseluruhan 73.3% undi. Kebanyakan dari kemenangannya diperolehi di negeri Kelantan dan Terengganu. Kejayaan PAS dipengaruhi oleh beberapa factor.

Menurut Khaider Khatib tokoh awalan PAS, perjuangan Islam yang dikemukakan oleh PAS adalah bersesuaian dengan jiwa masyarakat Kelantan sendiri. Mereka terdiri dari orang-orang Islam, mempunyai tradisi kepercayaan agama yang kuat. Juga disebabkan oleh kebencian penduduk kepada UMNO, akibat dari sikap UMNO tidak menepati janji-janji yang dibuat semasa pilhan raya 1955. Ketidak upayaan UMNO menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi oleh penduduk setelah memperolehi kemenangan 1955, juga dikatakan sebagai punca kekalahan UMNO.

Mengulas tentang ramai pemimpin PAS tidak bertanding di negeri masing-masing tetapi sebaliknya bertanding di Kelantan dan Terengganu, Timbalan Yang Di Pertua Agung PAS ustaz Zulkifli Muhammad yang terus meletakkan jawatannya sebagai Pensyarah Kolej Islam Malaya untuk bertanding dalam pilihan raya parlimen pada 19 Ogos 1959 di Bacok Kelantan meninggalkan tempat tumpah darahnya di Kuala Kangsar Perak, mengatakan:

“PAS berjuang kerana bangsa Melayu dan agama Islam, dan tidak berfaham kedaerahan dan kenegerian, maka itulah sebabnya pemimpin PAS berani dan sanggup berdepan dengan rakyat di mana saja.”

Dikatakan juga pertarungan ini merupakan pertarungan sengit, kerana turut terlibat banyak parti-parti politik dan tokoh-tokoh berkelibar. Nampaknya kali ini PAS lebih bersedia dari pilihan raya 1955, jenteranya lebih kemas dan jelas terbukti dengan aktiviti-aktiviti serta manifestonya yang diedarkan kepada pengundi-pengundi. Antara kata pengantar manifesto itu berbunyi:

“Persatuan Islam Se Tanah Melayu mengumumkan bahawa ia akan menjalankan pemerintahan berdasarkan Islam dan pemerintahan yang akan dijalankan dengan penuh bijaksana, keadilan dan kemajuan yang akan membawa kepada kemakmuran hidup, keamanan dan perdamaian bagi seluruh rakyat negeri ini.”

Radio Malaya pun telah mengadakan satu program khas, di mana setiap parti politik besar yang akan bertanding diberikan peruntukan masa untuk menerangkan dasar-dasar perjuangan parti masing-masing. PAS melalui Ustaz Zulkifli Muhammad dalam ucapannya di radio, antara lain mengatakan:

“Bahawa sekiranya berkuasa kelak, PAS akan mensederhanakan perbelanjaan negara, dan PAS akan mengambil Islam sebagai bentuk masyarakat negeri ini, kerana dalam Islam terdapat jawapan dan huraian kepada masalah yang dihadapi oleh negeri ini.”

Seterusnya PAS mengatakan:

“Bahawa kelamahan ekonomi rakyat negeri hanya dapat diubah dengan memberikan peraturan ekonomi Islam dan pengundi tidak kira bangsa mestilah memberi sokongan kepada PAS.”

Ada juga penulis-penulis dan pengkaji politk meletakkan ciri-ciri ketokohan kepimpinan sebagai factor yang membawa kemenangan PAS. Menurut golongan itu:

“Kemenangan PAS juga dapat diletakkan kepada tokoh penting PAS dan calonnya. Tokoh PAS seperti Dr Burhanuddin, Zulkifli Muhammad, Datuk Mohd Asri dan Othman Abdullah mempunyai identity yang tersendiri dalam pidato dan ketokohan...”

Umpamanya di kerusi Parlimen Bacok, calon PAS Ustaz Zulkifle Muhammad mengalahkan calon PERIKATAN Nik Man Ali dengan majority agak besar, iaitu sebanyak 10,119 undi. Ustaz Zulkifli mendapat 13,880, manakala Nik Man Ali 3,761 undi sahaja. Undi rosak sebanyak 231, dan peratus keluar mengundi ialah 70%. Di Perak PAS memenangi satu kerusi tunggal di DUN Gunung Semanggul melalui calunnya Ustaz Baharuddin Abdul Latif.

Tetapi bagi kerusi DUN Terengganu, pemerintahan PAS hanya oleh bertahan selama 2 tahun sahaja, setelah kalah dalam suatu usul undi tidak percaya kepada kerajaan PAS Terengganu. Ini terjadi apabila ada ADUN yang memenangi 13 dari 24 kerusi itu, ‘melompat’ atau disifatkan sebagai ‘dibeli’, atau ‘culik’ oleh UMNO. Ini menjadikan PAS dan UMNO sama kuat untuk memerintah negeri Terengganu. 12 lawan 12 kerusi.

Tetapi malangnya, seorang lagi ADUN PAS yang menjadi undi penentu kepada usul tidak percaya itu, iaitu Ustaz Ahmad Azam, tiba-tiba bertukar menjadi anggota bebas telah menyokong usul tersebut. Dengan menyokong usul itu, Ahmad Azam telah berjaya menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu. Dua tahun adalah masa yang begitu singkat dan memang tidak ada apa yang dilakukan oleh PAS bagi meninggalkan suatu perubahan yang nyata dari segi pentadbiran dan juga dasar negeri di Terengganu.

Perhatian:

Setelah terbit buku ‘1990-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ pada tahun 1993, saya penulis (Ibnu Hasyim semasa menjadi YDP PAS kawasan Balik Pulau, Ketua Lajnah Ekonomi PAS Negeri Pulau Pinang, AJK Lajnah Ekonomi PAS Pusat dan AJK Kelab Professional & Ushawan PAS Pusat) mendapat arahan dari PAS Pulau Pinang (waktu itu Pesuruhjaya PAS Negeri Pulai Pinang adalah Ustaz Hamdan Abdul Rahman) supaya menemui Ustaz Ahmad Azam (waktu itu masih menjadi pimpinan Persatuan Ulama Malaysia) untuk dapatkan maklumat sejarah PAS Pulau Pinang.

Ahmad Azam menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang pertama dan diarahkan oleh PAS Pusat meneroka PAS di Terengganu. Beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS pertama di Terengganu dan berjaya merampas Terengganu dari PERIKATAN dalam PRU ke 2 1959, dengan mendapat 13 dari 24 kerusi DUN. Apabila 1 kerusi dirampas PERIKATAN, maka tinggal 12 lawan 12, sama kuat.

Saya masih ingat kata beliau kepada saya, kira-kira… “Saya tidak menjadi anggota bebas semasa usul undi tidak percaya itu, cuma saya bersikap bebas, tidak mengundi mana-mana pihak.. atas sebab-sebab tertentu….” Sebab-sebab itulah yang sentiasa dibincangkan dengan saya beberapa kali. Saya taarifkan, beliau seolah-olah menyesali apa yang berlaku dan dilakukan terhadap beliau.. Sekian.

Tetapi berlainan dengan PAS di Kelantan, menang dengan majority besar, iaitu 28 dari 30 kerusi yang dipertandingkan. Ini memberi kekuatan kepada PAS untuk bertahan lama, bahkan mungkin mampu mengembangkan pengaruhnya ke negeri-negeri lain. Tetapi menurut tulisan seorang pemimpin UMNO kini:

“Keupayaan PAS menguasai suatu wilayah daripada persekutuan yang dikuasai oleh parti lain, iaitu UMNO adalah keupayaan yang boleh dibanggakan. Di negara-negara lain, jarang bagi sesebuah parti yang memerintah suatu wilayah dapat bertahan begitu lama dalam negeri yang diperintah oleh parti lain. Ini adalah kerana kekuasaan kerajaan pusat atau parti pemerintah lebih besar dan lebih berkesan.”

PAS adalah parti Islam pertama yang berjaya membentuk kerajaan di Asia Tenggara ini. Juga merupakan parti Islam pertama selepas kemenangan Ikhwanul Muslimin di Yaman dalam tahun-tahun 40an, yang mampu membentuk kerajaan di mana wilayah-wilayah lain di dunia pertengahan kurun kedua puluh ini tidak mendapat peluang sepertinya.

Ada juga yang mengatakan bahawa kemenangan PAS dalam masa singkat iaitu beberapa tahun sahaja setelah ditubuhkan, merupakan kemenangan pengaruh pondok dan penampungan semangat orang-orang Melayu yang mulai bimbang akan kedudukan mereka akibat dasar pintu terbuka Inggeris. Perkembangan pesat penduduk-penduduk Tanah Melayu dengan kemasukan Orang Cina dan India juga memarakkan lagi kebimbangan tersebut. Semangat keMelayuan dan rasa bimbang itu masih menebal di negeri-negeri Kelantan dan Terengganu yang membantu menyebabkan kemenangan PAS.

Menurut Saudara Amaluddin Darus:

“Kemenangan PAS di Pantai Timur adalah kemenangan yang menjadi ujian. Kemenangan PAS melalui pilihan raya ala demokrasi di dalam negara demokrasi adalah satu kemenangan yang belum pernah didapati oleh sebarang parti politik Islam di Asia dan Afrika.”

Menurutnya, kemenangan yang dicapai oleh PAS, apabila diketahui oleh pejuang-pejuang Islam di Asia Barat, mereka terperanjat dan ikut bersyukur dengan rahmat Allah kepada Muslimin di negara ini. Mereka terperanjat kerana mereka sedar tidak ada sebuah negara di Asia Barat atau Afrika telah berjaya memberi kemenangan kepada parti politik yang mendukung cita-cita politik Islam. Apalagi untuk menguasai dan memerintah dua negeri dalam sebuah persekutuan.

Sebenarnya bukan itu saja, pengaruh pondok adalah merupakan pengaruh Islam. Pondok-pondok merupakan benteng yang mempertahankan aqidah Islam di Tanah Melayu. Apabila Tok-tok Guru pondok telah memberi sokongan bulat kepada PAS, maka rakyatpun mudah terpengaruh untuk menyontohinya. Seperti yang berlaku kepada Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari Pondok Bunut Payung di Kelantan, kemenangan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin dan lain-lain.

Penilaian terhadap kerajaan PAS di Kelantan mestilah dilihat secara objektif dan menyeluruh. Terutamanya dari segi cabaran yang dihadapi dan kesukaran melaksanakan cita-cita politiknya dalam masyarakat yang telah lebih 400 tahun dijajah. Segala institusi dan struktur pentadbiran kerajaan serta system pendidikan, telah dirombak dan dicernakan menurut cernaan penjajah. Bahkan dalam keadaan pendukung-pendukung parti sendiri kurang mempunyai persediaan yang lengkap, kecuali persediaan aqidah dan ideology keIslaman.

Selain dari itu hubungan luar boleh dikatakan tidak ada, dan kemenangan sebuah parti Islam seolah-olah tidak langsung disedari oleh gerakan Islam yang lain di dunia. Ini menyebabkan kemenangan itu kurang dimanfaatkan sepenuhnya oleh gerakan-gerakan Islam lain. Sedangkan tentangan dan cabaran daripada kuasa sekularisme yang menguasai Kerajaan Pusat adalah besar dan kuat. Mehnah-mehnah telah berlaku dalam mempertahankan kerajaan yang telah dicapai itu.

Kemenangan itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk Islam bukan kerana tawassur atau aqidah penyokong yang tidak jelas. Bahkan pendekatan politik mereka sesuai dengan keadaan tempat dan masa tanpa mengorbankan prinsip keIslaman yang mereka dukung. Ini merupakan suatu pendekatan yang maju sehingga berjaya menempatkan PAS di tempat yang penting di dalam pergolakan menentukan haluan negara.

Tulisan-tulisan tokoh-tokoh PAS masa itu membuktikan tawassur dan gambaran mereka tentang Islam adalah sama dengan tawassur atau gambaran harakah Islam kini. Ini adalah kerana mereka mengambil dari sumber yang sama. Juga pendukung-pendukung PAS menerima percikan tarbiah dari gerakan Islam antarabangsa terbesar seperti Ikhwanul Muslimin. Bahkan antara mereka juga mempunyai hubungan dengan tokoh-tokoh Islam awalan.

Ketidak upayaan PAS mengambil peluang kemenangan itu untuk mengisi tuntutan Islam yang syumul dianggap lebih penting dari persoalan berkaitan dengan tawassur dan aqidah. Penghayatan Islam secara syumul dan perlaksanaan tuntutannya dalam masyarakat dan negara tidak memadai dengan adanya tawassur jelas dan syumul sahaja. Ia memerlukan kekuatan maddiyah dan ma’nawiyah, kecekapan dan kepakaran, ilmu dan pengetahuan yang telah wujud sebelumnya, sebagai persiapan sempurna untuk digerakkan, di saat-saat kemenangan dapat dicapai.

Demikian pula persiapan pendukungnya untuk mencapai cabaran dari musuh yang sentiasa berkerja keras untuk memastikan kegagalan parti Islam memenuhi tujuannya. Pengaruh pemikiran barat dan mentaliti colonial masih bertapak dengan kukuh se waktu PAS mengambil alih kekuasaan. Sukar didapati di kalangan pegawai-pegawai kerajaan, yang mempunyai gambaran sempurna tentang Islam dan keupayaan membantu pemimpin-pemimpin politik mengendalikan urusan negara berlandaskan Islam. Sedangkan pemimpin-pemimpin politik pula hanya sekadar mempunyai tawassur tentang Islam.

Apabila melibatkan persoalan teknik yang detail dan terperinci, mereka tidak berupaya menyelesaikannya menurut Islam. Ini menyebabkan penghayatan Islam sebagai satu system tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Kepakaran dari luar negara tidak dapat diperolehi dengan mudah pada masa itu, adalah disebabkan oleh beberapa halangan:

1..Kerana PAS sendiri tidak mempunyai hubungan yang bermakna dengan harakah Islam di luar negara.

2..Kerana harakah Islam luar negara itu juga tidak menyedari bahawa satu jamaah Islam telah berkuasa di sebuah wilayah di Malaysia.

3..Harakah Islam yang terkenal seperti Ikhwanul Muslimin sedang menghadapi mehnah yang sukar diadakan hubungan dengannya.

4..Untuk mendapat kepakaran luar, perlu berurusan dengan Kerajaan Pusat yang dikuasai oleh golongan secular.

5..Kesedaran untuk mendapatkan tenaga kepakaran itu sendiri tidak mendalam di kalangan pemimpin PAS waktu itu, kerana kepakaran itu sendiri masih diragukan wujudnya.

Kemenangan PAS tersebut adalah merupakan suatu peluang ke emasan yang telah diperuntukkan oleh Allah SWT kepada PAS, supaya dipergunakan base dari Pantai Timur menuju kemenangan yang dijanjikan kepada hambanya yang beriman dan beramal sholeh. Menurut saudara Amaluddin Darus lagi:

“Saya telah mengingatkan teman-teman, bahawa sekalipun seribu tahun PAS menguasai Pantai Timur tidak akan membawa kejayaan kepada cita-cita perlaksanaan politik Islam, kecuali PAS menguasai Kuala Lumpur. Yang demikian, base di Pantai Timur adalah merupakan pengkalan bersiap dan bertolak ke arah menguasai Kuala Lumpur yang bermakna menguasai negara Malaysia.”

Bagi beliau, kemungkinan PAS menguasai Kerajaan Pusat bukanlah suatu perkara yang mustahil. Cuma untuk mencapainya hendaklah bersabar, meluaskan dakwah dalam dan luar PAS, supaya dasar, program politik, ekonomi serta social yang diperjuangkan oleh PAS dapat difahami oleh rakyat negara ini, secara menyeluruh. Kesempatan boleh datang dan pergi dengan tiba-tiba. Jika digunakan dengan kesedaran dan kesungguhan, tidak syak lagi bahawa manusia di Malaysia dapat menerima PAS dan konsep Islam yang sememangnya diberi oleh Allah sebaik-baik petunjuk dan peraturan hidup.

“Oleh kerana masyarakat Melayu terdiri dari berbagai keturunan dan bahasa, maka penyampaian perutusan Islam oleh PAS dalam berbagai bahasa adalah perlu, dan perbuatan-perbuatan contoh iaitu hidup sederhana di antara rakyat yang sebahagian besarnya miskin adalah sebaik-baik teladan dan bukti bicara kepada semua manusia di Malaysia untuk memahami kebaikan Islam dan kejujuran pemimpin-pemimpinnya.” Jelas Amaluddin.

Demikianlah antara penilaian-peilaian terhadap kemenangan, tribulasi dan halangan, serta masalah-masalah yang dihadapi oleh Parti Islam pertama di Asia Tenggara membentuk kerajaan di pertengahan kurun ke 20 ini.

Tambahan:

Tuan Guru Haji Bidin: Pengasas PAS Terengganu
Dilulus terbit pada Thursday, December 04 @ 20:34:05 MYT oleh TokBatin (Tranungkite Online) Oleh Mohd Fadli Ghani

PAS Terengganu telah mengadakan sambutan Jubli Emasnya di Dungun dua tahun lalu. Sambutan ini dibuat di tempat ia ditubuhkan iaitu Surau Haji Bidin, Sura Gate. Kira-kira 50 tahun sebelum itu, iaitu pada 6 Julai 1956, satu perjumpaan 24 orang pemuda Islam telah diadakan di surau ini yang dikenali juga sebagai Madrasah az-Zainiyah dengan dipimpin oleh Tuan Guru Haji Bidin.

Dalam perjumpaan ini, cawangan PAS yang pertama di Terengganu telah berjaya ditubuhkan dan dinamakan sebagai PAS Cawangan Dungun dengan Tuan Guru Haji Bidin sebagai Yang Dipertuanya. Inilah bermulanya sejarah PAS Terengganu sebelum ia menjadi kubu kuat PAS hari ini.

Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus.

Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun.

Setelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu. Dua tahun di pondok ini, pada 1914, Haji Bidin berpindah ke Kelantan kerana tertarik dengan kemasyhuran Tok Kenali. Beliau sempat berguru dengan Tok Kenali di Pondok Kenali sehingga 1926. Beliau sempat belajar bersama-sama Sheikh Idris Marbawi dan Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Mursyidul Am PAS).

Di samping itu, beliau berulang-alik ke Masjid Muhammadi kerana berguru dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Yaakub Legor. Di Pondok Kenali ini, Haji Bidin telah menjadi kepala telaah dan sempat mengajar Mufti Haji Ahmad Maher selama enam tahun. Pengajian beliau tamat pada 1926 kerana Tok Kenali menyuruh beliau balik ke Dungun membuka pondok.

Selepas beberapa ketika mengembara, sekitar 1927, Haji Bidin mula mengajar dan membuka pondok di Hulu Sungai Penaga. Ketika yang sama beliau telah dilantik menjadi Imam Muda Masjid Kampung Tengah, Kuala Dungun. Ketika menjadi imam di sini, Haji Bidin telah berhadapan dengan beberapa masalah amalan khurafat dan ajaran sesat, tetapi berkat usaha gigihnya, beliau berjaya mengatasi masalah ini.

Tujuh tahun kemudian, Haji Bidin telah membuka pondok baru di satu kawasan yang dikenali sebagai Tanah Lot. Pada 1938, sebuah madrasah telah berjaya disiapkan sebagai tempat pengajian. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai imam di Kampung Tengah sehingga 1951. Selepas bersara sebagai imam, Haji Bidin sekali lagi memindahkan pondoknya ke Sura Gate, dan mendirikan pusat pengajian yang dikenali sebagai Madrasah az-Zainiyah yang suraunya masih wujud hingga hari ini.

Haji Bidin mengajar beberapa cabang ilmu yang penting dalam pengajian Islam seperti fiqh, hadis, nahu, tafsir, balaghah, mantiq dan lain-lain. Antara kitab yang diajar oleh beliau ialah Matan Ajrumiah, Azhari, Qatr, Syuzuz al-Zahab, Ibnu Aqil, Asymuni, Sittin, Fathul Muin, Tahrir, Mahalli, Iqna?, Fathul Wahab, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Ibni Ibad, Iqaz al-Himam, Jauhar al-Mauhub, Siyarus Salikin dan lain-lain.

Beliau juga berjaya melahirkan ramai murid yang terkenal termasuk Ustaz Omar Shukri Embong (bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun yang juga pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Haji Bidin, selain terkenal kerana alim dalam bidang agama dan menjadi imam di masjid, turut dihormati kerana memiliki keramat tertentu. Banyak cerita yang diriwayatkan tentang keramat yang dimiliki oleh beliau, antaranya tidak ditimpa hujan ketika menaiki perahu bersama kitab-kitabnya walau hujan sedang lebat. Pernah juga berlaku percubaan melanggar beliau dengan kereta, tetapi niat jahat itu terhalang kerana enjin kereta tersebut mati dan ia hanya boleh dihidupkan setelah orang tersebut memohon maaf kepadanya.

Beliau juga dikatakan boleh mengangkat kayu besar seorang diri. Cerita-cerita kekeramatan beliau ini telah menyebabkan beliau amat disegani oleh masyarakat di Dungun. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang warak, lemah lembut, tidak pemarah dan tidak suka bercakap banyak. Beliau dikatakan mengikut perangai Tok Kenali.

Kerana gurunya seorang yang minat politik, Haji Bidin turut mewarisi minat ini di mana beliau semenjak di Kenali lagi sudah mula menulis dalam akhbar Majlis. Beliau tertarik dengan perkembangan politik di Istanbul tetapi keras menolak fahaman sekular yang dibawa oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Sejak muda, kecenderungan beliau adalah politik Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Tetapi pada peringkat awal, beliau menyokong Umno untuk menghalau British, bahkan turut berkempen dalam pilihan raya 1954 untuk menyokong Ustaz Mohd Taib Sabri menentang calon Parti Negara. Tetapi pada 1956, setelah PAS mulai berkembang, Haji Bidin bersetuju dengan gagasan politik yang dibawa oleh Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, Datuk Mohd Asri Muda.

Atas usaha gigih beliau mengumpulkan pemuda-pemuda yang berminat dengan politik Islam, maka satu perjumpaan diadakan di suraunya di Sura Gate. Hasilnya, PAS Cawangan Dungun berjaya ditubuhkan sebagai cawangan pertama di Terengganu. Haji Bidin diberikan amanah sebagai Yang Dipertua PAS Dungun untuk satu tempoh yang lama. Beliau melepaskan jawatannya pada 1971 kerana uzur, tetapi terus komited dengan perjuangan PAS.

Enam tahun kemudian, iaitu ketika muridnya yang juga anak saudaranya, Ustaz Abdul Wahab Yunus sedang memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Haji Bidin telah jatuh sakit dan meninggal dunia di rumah anaknya, Haji Anuar di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau meninggal dunia dalam bulan Ramadan pada 20 Ogos 1977 dan dikebumikan di perkuburan Syed Yahya, Dungun. - tajdid _