Wednesday, February 2, 2011

Kerajaan jangan berlengah pindah pelajar di Mesir

KUALA LUMPUR, 2 Feb: PAS menggesa kerajaan Malaysia tidak lagi berlengah dalam usaha membawa pulang pelajar Malaysia dari Mesir yang kini sedang bergolak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Perdana Menteri bahawa mahu 'menimbang' menggunakan kapal serba guna Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, Asia Barat untuk operasi pemindahan, masih lagi lambat sedangkan keadaan di Mesir semakin buruk.

"Kita kecewa kerana Najib lambat membuat keputusan, baru nak timbang guna kapal.

"Apa salahnya hantar kapal terbang pegi sana, lapangan terbang Kaherah masih boleh diguna, buat macam Indonesia.

"Ataupun guna dua-dua kaedah, yang dekat dengan pelabuhan guna kapal, yang dekat dengan lapangan terbang guna kapal terbang," katanya.

Datuk Seri Najib semalam memberitahu kapal TLDM terbabit akan diguna untuk memindahkan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

Kapal serbaguna TLDM terbabit, KD Bunga Mas kini terlibat di dalam operasi anti-lanun di Teluk Aden.

Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 10,000 pelajar Malaysia berada di Mesir.

Mahfuz turut melahirkan rasa kecewa apabila Najib membangkitkan isu kos yang tinggi jika menggunakan pesawat bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir.

"Namun apa yang paling kita kecewa, bila Najib bangkitkan isu kos mahal nak bawa pulang dengan kapal terbang.

"Ini bukan soal kos, ini soal nyawa pelajar kita, tak patut seorang perdana menteri berkira soal wang ringgit untuk selamatkan nyawa rakyat sendiri," katanya.

Keadaan Mesir kini semakin meruncing berikutan demonstrasi yang diadakan oleh rakyatnya bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur.

Nik Aziz bawa 31 India naik masjid Pulau Melaka


KOTA BHARU, 31 Jan: Seramai 31 orang Ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hulu Selangor yang terdiri dari kalangan India bukan Islam telah mengunjungi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan dibawa beliau naik ke masjid Pulau Melaka.

Sebelum itu rombongan yang diketuai Adnan Mat Nor selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Hulu Selangor turut diraikan di dalam majlis makan tengahari di kediaman rasmi Manteri Besar, JKR-10.

Rombongan juga telah diberi taklimat oleh Pegawai Penerangan Zon daripada Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan (UPKN) mengenai Dasar-Dasar Kerajaan Negeri dan kehidupan masyarakat India dan kaum bukan Islam di Kelantan yang tidak pernah terpinggir dan sentiasa dilibatkan di didalam setiap program.

Pada sebelah petang ahli rombongan telah menemui Tuan Guru di perkarangan Masjid Pulau Melaka seterusnya memasuki masjid untuk mendengar tazkirah yang disampaikan Nik Aziz.

Antara kandungannya Nik Aziz berkata, di Kelantan PAS mengamalkan sistem pemerintahan Islam kerana ia adil untuk semua kaum.

“Kita semua adalah keturunan dan cucu cicit Nabi Adam a.s yang merupakan adik beradik, Umno tidak pernah memberitahu sedemikian kerana mereka tidak mengamalkan sistem politik Islam, sebaliknya mereka mengamalkan sekularisme, dan ini boleh memecahbelahkan keharmonian kaum. Namun di Kelantan menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memberitahu perkara ini.

“Soal orang bukan Islam memasuki masjid sengaja diperbesar-besarkan demi politik murahan mereka, di Kelantan kita menggalakkan orang bukan Islam untuk memasuki masjid, dan banyak program telah diadakan di masjid yang turut melibatkan orang bukan Islam,” jelasnya.

Beliau juga menyifatkan orang bukan Islam yang memasuki masjid akan dapat belajar apa yang diajarkan oleh Islam tetapi mestilah dengan beradab dan sopan.

Nik Aziz juga menyeru supaya perkara-perkara yang baik seperti diuar-uarkan kepada masyarakat bukan Islam khususnya di negeri-negeri selain Kelantan kerana orang-orang bukan Islam di Kelantan kini telah dapat menerimacorak pemerintahan Islam yang diamalkan oleh Kerajaan Kelantan kerana Islam adalah adil untuk semua.

Selepas itu ahli rombongan telah dipelawa oleh Nik Aziz ke kediamannya yang terletak bersebelahan dengan masjid.