Monday, November 8, 2010

Sejarah PAS 26: 1969 Tahun Cabaran.

Sejarah PAS 26: 1969 Tahun Cabaran.
Anggota FRU semasa rusuhan 13 Mei berlaku.

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 26

ADALAH satu cabaran bagi PAS apabila sebelah sayap perjuangannya sudah tiada, iaitu Ustaz Zulkifli Muhammad. Ditambah pula dengan terkulainya sayap yang sebelah lagi, iaitu Professor Dr Burhanuddin. Adalah suatu kezaliman menurut pengkaji-pengkaji politik apabila lapan bulan kemudian setelah kepergian Ustaz Zul, tiba-tiba Dr Burhanuddin telah ditahan di bawah ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri yang salahgunakan oleh kerajaan PERIKATAN waktu itu. Penahanan tanpa bicara.

Beliau ditahan pada Januari 1965, kerana dituduh terlibat dalam satu komplot menentang kerajaan Malaysia. Di dalam tahanan beliau jatuh sakit, tetapi tidak pula bertambah baik apabila dibebaskan dengan bersyarat pada Mac 1966. Hanya kira-kira 3 tahun kemudian syarat-syarat tersebut telah ditarik balik iatu pada 22 September 1969. Tetapi pada 25 Oktober 1969, Dr Burhanuddin yang masih lagi menjadi Yang Di Pertua Agung PAS telah meninggal dunia kerana keuzuran.

Merenung sejenak tentang pemikiran politik beliau, dari kegiatan, ucapan dan tulisannya, beliau menggunakan isu kemerdekaan dan kebangsaan, tetapi bukan assobiah Melayu sebagai alat untuk mencapai matlamat perjuangannya. Beliau juga pernah menyertai ‘Kaum Muda dan Islah’ atau reformis dalam menyalakan semangat anti penjajahan dan pro kemerdekaan. Buktinya, beliau pernah menyertai satu majlis forum dengan ‘Kaum Tua’ tentang soal ‘jilatan anjing’ di Kota Bharu Kelantan pada tqhun 1937.

Dalam risalahnya, ‘Perjuagan Kita’, beliau menulis:

“Aliran jiwa Kaum Muda menuju kemajuan dan tamadun secara kehendak zaman yang mengandungi apa-apa yang dituntut oleh bangsa dan watan.”

Dikatakan juga ada tanda-tanda yang beliau tidak pula menolak pegangan-pegangan dan amalan Islam yang biasa dianggap di luar penerimaan Kaum Muda. Misalnya, dikatakan ‘mengamal ajaran-ajaran tasauf hasil daripada pengaruh bapanya dan pengaruh pendidikannya di India’. Beliau juga pernah dijemput berucap di Persidangan Pembukaan Kongres Ahli-ahli Tariqat As-Sufiah Seluruh Malaya pada 20 Oktober 1960, di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Begitu juga di Sidang Mesyuarat Agung Persatuan Tariqat As-Sufiah yang pertama pada 3 Jun 1962, tetapi pendaftaran persatuan tersebut telah ditarik balik kemudiannya.

Beliau menyeru:

“Janganlah lemah ahli-ahli Tariqat Sufiah meneruskan jihad di tengah-tengah masyarakat kebendaan yang perlu disiram dengan siraman jiwa tauhid dan sufiah, dan awas, dan jauhkan diri daripada tasauf yang maghrur, tasauf yang dirasuk oleh tipu daya musuh-musuh Islam.”

Beliau menyarankan:

“Dalam meneruskan jihad Tariqat Sufiah ini, susunlah lebih kemas lagi perpaduan dan siarkanlah pelajaran-pelajaran tasauf itu mengikut adap dan akhlak ahli-ahli tasauf. Jangan tiru-tiru ahli fiqah. Biarlah ahli fiqah dengan gelanggangnya! Tetapi ahli tasauf jangan tak bergelanggang, mestilah ada bergerak dalam gelanggangnya. Adakan yayasan dan perguruan tasauf secara zaman ini, jangan jadi pak turut sahaja. Islam membenci pak turut dan taklik buta. Semua ahli tasauf, mestilah betul-betul menjadi al-tabi’in al-‘arifin al-shodiqin.”

Sila rujuk risalah ‘Simposium Tasauf Dan Tariqat’ oleh Pro Dr Burhanuddin terbitan Maktabah Haji Abdullah bin Mohd Nordin Ar-Rawi Pulau Pinang, cetakan pertama 1966. Melihat kepada ucapan-ucapan dan tindakannya, jelaslah bahawa beliau sentiasa dan tetap akan menggunakan apa sahaja persatuan dan gerakan sebagai landasan untuk dakwah dan menyampaikan cita-cita politik Islam. Pada 1969 juga, sebelum berpulangnya Dr Burhanuddin ke rahmatullah, telah diadakan PRU pada 10 Mei.

PAS memenangi 12 kerusi Parlimen atau Dewan Rakyat, iaitu 3 di Kedah, 6 di Kelantan, 2 di Terengganu dan 1 di Perak. Manakala di DUN pula, PAS peroleh 40 kerusi. Iaitu, 1 di Perlis, 8 di Kedah, 19 di Kelantan, 11 di Terengganu dan 1 di Perak. Menurut beberapa analisis politik, kepincangan dalam PERIKATAN mulai jelas dalam pilihan raya 1969. Ia mengalami kemerosotan undi Parlimen, iaitu hanya lebih kurang 40% dari jumlah undi orang bukan Melayu. ‘ Angka 13’ menjadi angka sial bagi MCA, yang hanya perolehi 13 dari 33 kerusi yang diperuntukkan.

Seramai 24 dari calon bukan Melayu telah dirampas oleh parti pembangkang. Undi orang Melayu kepada PERIKATAN juga merosot 54% undi Parlimen. Sementara PAS telah berjaya memperolehi kembali sokongan mereka yang hilang semasa pilihan raya 1964. Pulau Pinang telah dikuasai oleh Parti Gerakan, atau Gerakan Rakyat Malaysia. Kelantan masih tetap di tangan PAS. Kegoncangan berlaku kepada PERIKATAN kerana kemenangan calon-calon Parti Gerakan, DAP (Democratic Action Party), dan PPP (People’s Proggressive Party), ertinya PERIKATAN dan MCAnya telah kecundang.

Parti Buruh telah memulaukan pilihan raya dan dikatakan menghasut pilihan raya supaya gagal. Beberapa keadaan telah timbul sejak bulan April membawa kepada Mei, di mana suasana tegang jelas kelihatan di pantai barat Semenanjung Malaysia. Kerajaan nampaknya cukup sedar betapa PKM (Parti Komunis Malaya) yang bergerak cergas bawah tanah mengambil kesempatan melahirkan suasana itu, bermula dari perarakan-perarakan pada 11 dan 12 Mei 1969. Terus berlanjutan kepada apa yang disebut ‘Peristiwa 13 Mei’.

PM Malaysia atau pemimpin PERIKATAN masa itu dalam bukunya ’13 Mei Sesudah dan Sebelumnya’ meletakkan keseluruhan kesalahan berpunca dari tindakan dan ucapan parti-parti pembangkang termasuk PAS. Tulisan itu dijawab oleh Abu Bakar Hamzah dalam bukunya, ‘Ilham 13 Mei – Gayung Bersambut Kata Berjawab, Terkilat Ikan Jala Pun Tiba’ terbitan di Kelantan. Beliau menolak tuduhan melulu tersebut, yang menyebabkan PERIKATAN walaupun menang tetapi terasa kalah. Kalah kerana sukar membentuk kerajaan di Selangor dan Perak.

Kesesakan jalanraya di KL semasa 13 Mei.

Ada juga penulis yang mengatakan:

“Peristiwa menunjuk perasaan ketidakpuasan di kalangan orang-orang Melayu. Mereka merasa bahawa mereka telah memberi banyak keistimewaan kepada orang-orang bukan Melayu.” Sila rujuk Harold Crouch, Lee Kam Hing, Michael Ong: ‘Malaysian Politics And The 1978 Election’.

Kerajaan sendiri telah menerbitkan buku, ‘Tragedi 13 Mei’, satu laporan dari Majlis Gerakan Negara bertindak sebagai badan pemerintah, yang menjalankan pemerintahan.

Tetapi menurut Amaluddin Darus:

“Pada hemat saya, seluruh keadaan yang terjadi adalah didalangi oleh komunis tanpa disedari oleh sebahagian orang. Tetapi segala peluang yang mendedahkan kesempatan kepada komunis itu sendiri ialah kerana kelemahan-kelemahan dari system pemerintahan dan system social ekonomi yang dijunjung tinggi oleh Parti PERIKATAN dan terus dipertahankan sebagai sebaik-baik system yang ada di dunia ini.”

Pemerintahan berparlimen telah kembali dijalankan di Malaysia tahun 1971, dengan mengadakan beberapa pindaan kepada Perlembagaan Malaysia. Menurut Amaluddin Darus lagi, sebenarnya penyakit yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia adalah lain dari apa yang difikirkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Mereka tidak dapat melihat dan tidak mahu ubatnya. Mereka membalut dengan plaster tempat yang disangka punca penyakit, tetapi membiarkan penyakit sebenarnya hidup subur dan dipelihara.

Penyakit tersebut adalah api perkauman, kemiskinan, rasuah, tidak memberi kesedaran kepada rakyat tetapi menghibur mereka dengan lamunan kata-kata yang enak. Membiarkan rakyat berdendang berdansa ke arah kejatuhan moral, merebaknya putus asa dan kejadian jenayah. Jadi tidak hairanlah jika ada pemimpin UMNO yang mengatakan:

“Biarlah secara terus terang saya berkata, generasi yang ada sekarang termasuk saya sendiri dan juga mereka yang berada di university adalah berfikir secara perkauman, masih berfaham perkauman.” Lihat ucapan Tun Dr Ismail dalam Utusan Melayu 17 Julai 1969.

Apabila Malaysia kembali ke demokrasi berparlimen, Tunku Abdul Rahman melepaskan jawatan Perdana Menteri dan diganti oleh Tun Abdul Razak bin Hussain. Tun Abdul Razak cuba mengekal dan memperluaskan idea permaufakatan sebagaimana yang wujud dalam Parti PERIKATAN dulu, iaitu membentuk formula Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh setiap kaum. Di dalam BN, beberapa parti baru telah dimasukkan dengan tujuan menguatkan kedudukan parti kerajaan menentang parti pembangkang.

Di Semenanjung Malaysia, BN adalah terdiri dari UMNO-MCA-MIC, Gerakan dan PPP. Di Sabah pula, terdiri Sabah United People’s Party atau Berjaya dan USNO atau United Sabah National Organization. Di Sarawak terdiri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBS), Iban Sarawak National Party (SNAP) dan Chinese Sarawak United People’s Party (SUPP). PAS juga turut menganggotai BN, tetapi kemudiannya menarik diri atau pun ditendang keluar.

Tahun 1986, Parti Bersatu Sabah atau PBS telah menyertai BN, tetapi kemudiannya menarik diri menjelang pilihan raya 1990. Objektif utama BN ialah untuk menambah perwakilan dari semua peringkat masyarakat dengan cara membawa masuk parti-parti yang menag ke dalam Kerajaan Pusat. Ini jelas dengan kemasukan Parti Gerakan yang menguasai Negeri Pulau Pinang, PAS yang menguasai Kelantan dan PPP yang menguasai Majlis Perbandaran Ipoh (Ipoh Municipal Cauncil).

Pembentukan BN ini jelas menguntungkan pihak kerajaan yang telah berjaya memukul teruk lawan-lawannya seperti dalam PRU 1974. Dalam PRU tersebut BN dapat 104 dari 114 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.di Semenanjung Malaysia dan 31 dari 40 kerus Parlimen di Sabah Sarawak. Apakah keuntungan ini membawa manfaat kepada agama dan perjuangan Islam?

Buku terbitan Majlis Gerakan Negara

Sejarah PAS 25: Masalah Singapura.

Sejarah PAS 25: Masalah Singapura.

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 25

ADALAH tidak memeranjatkan bagi yang mengerti perkembangan politik, apabila dengan tiba-tiba sahaja pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri Malaya meledakkan satu projek baru yang dikatakan kepada orang Melayu, bahawa ianya adalah ‘Melayu Raya’. Tetapi bukanlah ‘Melayu Raya’ seperti yang dimaksudkan oleh Dr Burhanuddin merangkumi Gugusan Kepulauan Melayu. Ia akhirnya dikenal dengan persekutuan Malaysia yang diwujudkan pada 16 September 1963.

Walaupun ‘Melayu Raya’ menurut Perdana Menteri atau Malaysian itu adalah projek Malaya dengan kerjasama Inggeris untuk menggabungkan Federation of Malaya, Singapura, North Borneo atau Sabah, Sarawak dan juga Brunei, tetapi sebenarnya adalah projek Inggeris. Ini dapat dilihat apabila matawang di semua negeri tanah jajahan Inggeris telah disatukan. Juga dalam abad ke 19, Lord Brassey seorang pengarah North Borneo Campany telah mengemukakan kepada kerajaan Inggeris untuk menggabungkan semua negeri-negeri Melayu, dengan menubuhkan satu jajahan Inggeris yang besar.

Tetapi ianya dibantah oleh kebanyakan pemegang-pemegang saham dari syarikat-syarikat Inggeris yang berkepentingan di daerah ini. Hasrat yang telah lama dipendamkan oleh Inggeris, tiba-tiba muncul kembali melalui lidah Perdana Menteri Malaya, tentulah ada sebabnya. Pada waktu itu peperangan di Indochina tidak menampakkan kekalahan pihak komunis. Perkembangan dan persiapan PKM (Parti Komunis Malaya) di bawah pimpinan Ching Peng kian bertambah di kawasan Betong, Utara Semenanjung, makin meluas di Malaya dan Singapura.

Dengan ini kedudukan Singapura dari segi politik perlu dikaji kembali oleh Inggeris, selewat-lewatnya pada Jun 1963, yang member makna bahawa Inggeris hendaklah memerdekan Singapura dengan segera. Indonesia pula dengan kelengkapan tentera Rusia terus memperhebatkan kempen mendapatkan kembali Irian Barat dari penjajahan Belanda. Jika ini berjaya, maka perhatian Indonesia dijangka akan tertumpu pula ke Kalimantan Utara. Filipina juga dikatakan akan mencuba menguasai North Borneo tersebut.

Memang politik Inggeris dikatakan bersedia memerdekakan tanah jajahannya, asal saja semua peraturan yang dibuat tetap melindungi kepentingan ekonominya. Untuk memerdekakan Sabah, Sarawak dan Brunei sahaja, dibimbang masuknya pengaruh komunis di kalangan orang-orang Cina Sarawak yang memang sudahpun ada pengaruhnya. Maka kerana inilah pihak Inggeris perlu berkerjasama dengan Federal of Malaya yang ternyata begitu jujur menjaga kepentingan-kepentingan ekonomi mereka di Malaya, dan memang setia kepada kebudayaan serta perundangan mereka untuk mengambil alih tugas-tugas penjajah atau menjadi talibarut penjajah tersebut, sebelum terjadi sesuatu yang akan merugikan mereka kelak.

Pada mulanya Indonesia tidak menentang kerana ‘Malaysia’ yang dicadangkan itu adalah negeri-negeri jajahan Inggeris sahaja. Indonesia tidak campur tangan, seperti tidak campur-tangannya dalam persoalan di Pulau Timor-timor yang diperintah oleh Portugis waktu itu. Kemudian dengan tiba-tiba sahaja Indonesia menyerang gagasan Malaysia dan menuduh sebagai ‘nekolin’ atau ‘new colonial’ (penjajahan baru), dan berazam ‘mengganyang’ Malaysia.

Ada yang menganalisis, tindakan Presiden Soekarno dari Indonesia itu didorong oleh golongan komunis yang merencanakan rampas-kuasa di Indonesia apabila berlaku pertempuran dengan Malaysia, di samping perjuangannya merebut Irian Barat. Saudara Amaluddin Darus sendiri pada dasarnya adalah menyokong gagasan Malaysia kerana dalam tahun 1957/1958, beliau telah mengusulkan dalam Mesyuarat Agung PAS supaya mendesak Kerajaan Persekutuan mempengaruhi Inggeris menyerahkan negeri-negeri Kalimantan Utara termasuk Singapura digabungkan ke dalam Federation of Malaya. Usul tersebut diterima oleh PAS.

Kerajaan PAS Kelantan juga telah mengambil tindakan undang-undang menuntut supaya mahkamah supaya mahkamah mengisytiharkan Malaysia Act tidak sah pada 10 September 1963. Kelantan bertindak demikian adalah kerana projek Malaysia dibuat cuma dengan perundingan 5 negara iaitu Malaya, North Borneo, Sarawak, Singapura dan Brunei, tanpa berunding dengan kerajaan negeri Kelantan. Malaya cuma satu unit dari perundingan tersebut, sedangkan sebenarnya terdiri dari 11 unit negeri-negerinya, termasuk Kelantan.

Bagi negeri Kelantan, Malaysia adalah satu bentuk persekutuan yang longgar dibandingkan dengan Federatian of Malaya. Contohnya seperti perjanjian tentang agama, kerakyatan dan lain-lain. Malaysia telah berjaya ditubuhkan tanpa Brunei, yang tidak jadi menyertainya. Tetapi secara mendadak, tiba-tiba Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia. Sidang parlimen dijadualkan pada 9 Ogos 1965, pemberitahuan hanya dibuat melalui telegram kepada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pagi itu persidangan Dewan Rakyat dimulakan tanpa ahli-ahli dari Singapura. Tunku Abdul Rahman PM Malaysia waktu itu membentangkan perkara pemisahan Singapura dari Malaysia. Persidangan berlarutan hingga pukul 1.00 pagi 10 Ogos dan disambung oleh Dewan Negara hingga hamper menjelang subuh barulah ditangguhkan. Maka luluslah undang-undang yang memisahkan Singapura dari Malaysia. Saudara Amaluddin Darus dari PAS memberi undi setuju di dalam Dewan Negara.

Beliau menulis dalam bukunya ‘Lintasan Politik Malaysia’, katanya:

“Saya sungguh tidak mengerti mengapa Tunku mengambil keputusan mengeluarkan Singapura dan mengapa pula Datuk Mohd Asri sudah menyokong dan mengarahkan ahli-ahli PAS di parlimen supaya menyokong pemisahan yang tersebut tanpa sebarang perbincangan. Kesilapan besar yang telah terjadi adalah mempunyai akibat yang berlanjutan, dan sangat-sangat dikesali.”

Tan Sri Syed Jaafar Albar, Setiausaha Agung UMNO ketika itu telah meletak jawatan sebagai bantahan. Seorang ahli Dewan Negara dari PERIKATAN, Tuan Haji M.Said dari Kuala Kangsar Perak yang tidak hadir dalam mesyuarat Dewan Negara itu mengirim telegram tanda tidak setuju dan membantah. Sedangkan Amaluddin Darus sendiri berpendapat, dari segi sejarah Singapura sendiri adalah milik bangsa Melayu. Dari sudut ilmu alam juga terletak di tengah-tengah Kepulauan Melayu. Begitu juga dari sudut politik dan ekonomi.

Menurut beliau lagi, memang sejak dari mula lagi, pemimpin-pemimpin UMNO tidak mahukan Singapura bersama Malaya. Malah sebelum tahun 1960 lagi Lee Kuan Yew, David Marshall dan Tun Lim Yew Hock telah menghendaki supaya Singapura dapat bercantum dengan Malaysia, tetapi Tunku Abdul Rahman tidak pernah mengindahkan. UMNO satu pertubuhan kebangsaan, yang dipimpin oleh orang-orang kebangsaan telah begitu takut dengan Singapura.

Pada hal menurut Amaluddin lagi, yang dikatakan nasionalis itu adalah mereka yang mengenal bangsanya, tanahair serta sejarahnya, di mana mereka memperjuangkan hak-hak mereka dari segi politik, ekonomi dan tetap berpandu kepada ajaran mereka sebelum dijajah. Tetapi UMNO tidak menghendaki sebahagian dari tanahair bangsa Melayu semata-mata kerana takut kepada jumlah penduduk Cina Singapura yang nanti akan menghilangkan perimbangan penduduk dan pengundi menurut kaum.

(Sila lihat statistic penduduk Malaya tanpa Singapura 1947, penduduk Malaysia termasuk Singapura 1963 dan Malaysia tanpa Singapura 1970 menurut kaum, dalam buku ‘Personaliti Perkahwinan’ oleh Ibnu Hasyim, terbitan GG Edar 1992).

Apabila Malaysia terpaksa ditubuhkan untuk mengimbangi keramaian keturunan Cina, maka ditentukan perwakilan dari Singapura di dalam parlimen hanya seramai 17 orang sahaja, iaitu 15 di Dewan Rakyat dan 2 di Dewan Negara. Menurutnya lagi, pemisahan Singapura dari lingkungan politik Malaysia adalah berpunca dari sebab-sebab politik perkauman, perlembagaan, kewangan dan pertentangan tokoh kepimpinan Cina antara Lee Kuan Yew dengan Tun Tan Siew Sin yang mengetuai MCA.

Menurutnya lagi pemisahan Singapura adalah satu langkah yang gopoh, untuk selamat buat sementara. Singapura akan berpisah sebagai negara berdaulat di tengah alam Melayu adalah sama seperti Istael di tengah-tengah alam Arab, malah lebih hebat lagi. Sebuah pulau kecil yang tidak cukup tanah untuk didiami dan tidak ada bahan mentah, pasti akan bergerak liar menguasai negara-negara sekelilingnya, demi kehidupan ekonominya. Perkembangan penduduknya akan menyebabkan ia terpaksa mencampuri politik negara-negara lain untuk kehidupan politiknya.

Singapura yang berasingan sekarang ini, tidaklah menjamin akan menyenangkan Malaysia khasnya, samada dari segi politik, ekonomi dan social. Sebagai penyelesaiannya Saudara Amaluddin menyarankan:

“Sebelum Malaysia wujud saya pernah memberi ceramah kepada orang-orang Melayu di Singapura, di mana dalam ceramah saya telah saya nyatakan bahawa PAS di Singapura tidak akan berpeluang memerintah Singapura, sekalipun PAS memasuki 100 kali pilihan raya di Singapura. Justeru kerana itu tugas utama bagi PAS Singapura ialah dakwah mengIslamkan manusia di Singapura.”

Kini PAS sudah tiada lagi di Singapura. Maka menurut penulis sebuah gerakan Islam perlu diwujudkan atau jika sudah ada perlu digerakkan di Singapura. Hubungan mereka dengan gerakan-gerakan Islam se dunia perlu dieratkan. Barulah tugas-tugas ‘dakwah mengIslamkan manusia di Singapura’ boleh dilaksanakan. Pendekatan dakwahnya hendaklah sesuai dengan suasana penduduk Singapura yang berbagai kaum itu sendiri.

Tidak boleh seperti yang difahamkan oleh sebilangan nasionalis-nasionalis Melayu, ‘peluk Islam’ dikatakan ‘masuk Melayu’, sedangkan dari sudut sejarah orang Cina dan India lebih dulu masuk Islam dari orang Melayu. Apalagi bila dilihat jumlah penduduk Islam di negara China sekarang melebihi dari semua penduduk pelbagai kaum di Malaysia dan Singapura. Apalagi juga, bila seseorang bukan Melayu yang memeluk Islam di Malaysia telah di’bin atau binti’kan kepada ‘Abdullah’, maka terputuslah salsilah keturunan dan asal usul yang sangat-sangat dipertahankan.

Mungkin inilah juga sebabnya, ramai orang-orang Cina yang masuk Islam atau sejak datang dari negara China pun sudah Islam di Malaya, tetapi tidak dapat dikesan, seolah-olah tiada. Yang tinggal hanya ‘baba & nyonya’ Melaka yang mungkin boleh jadi Melayu, tetapi tidak disebut Melayu kerana enggan bertukar agama. Mereka boleh diterima oleh masyarakat Melayu Islam kerana masyarakat Melayu mengamalkan pegangan Islam ‘tiada paksaan dalam beragama.’

Kenapa tidak dapat dikesan bangsa Cina yang masuk Islam ini? Pada saya, adalah kerana sikap me’Melayu’kan orang bukan Melayu yang masuk Islam. Bangsa mereka larut dalam bangsa Melayu, menyebabkan hilang identity asal mereka. Itu, satu kesilapan yang perlu diperbetulkankan, kerana PAS kini, sangat perlu pemimpinnya dari kalangan orang Cina!

Sila ikuti sejarah PAS dari awal dalam http://www.ibnuhasyim.com 1.. Wednesday, May 2, 2007 Sejarah PAS 1: Muqaddimah Kesinambungan 2..Wednesday, May 2, 2007 Sejarah PAS 2: Siasah Ulama 3..Friday, May 4, 2007 Sejarah PAS 3: Tikaman Tersirat. 4..Friday, May 4, 2007 Sejarah PAS 4: Nama & Rahsia Siasah5..Sunday, August 5, 2007 Sejarah PAS 5: PAS Bebas Lepas. 6..Sunday, August 5, 2007 Sejarah PAS 6: Bersama Kebangkitan Islam 7..Sunday, August 5, 2007 Sejarah PAS 7: Di Bawah Dr Abbas 8..Sunday, August 5, 2007 Sejarah PAS 8: Bermula Dengan Tangan Terbuka

Sejarah PAS 24: Perginya Ustaz Zulkifli..

Sejarah PAS 24: Perginya Ustaz Zulkifli..

Gambar atas : Ustaz Zulkifli. Bawah: Rumah tinggalan Allahyarham di Perak (sila rujuk http://ummuaimi.blogspot.com/ ).


IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 24

PADA 6 Mei 1964 dalam perjalanan pulang dari Bacok Kelantan ke rumah ayahnya ke Kuala Kangsar, Ustaz Zulkifle Muhammad berada di dalam kereta jenis Fiat bernombor JB 9977. Kira-kira pukul 7 malam, sesampainya di suatu jalan sempit, batu 4 ½ , Jalan Kuantan Pahang, keretanya telah berlanggar dengan sebuah land rover yang datang bertentangan dari hadapan.

Isterinya meninggal di ribanya waktu itu juga, sedangkan beliau sendiri meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital. Dalam perjalanan yang panjang dari Bacok itu, beliau dikatakan terus berbincang mengenai penubuhan Yayasan Tinggi Islam Nilam Puri Kelantan, dalam usaha menubuhkan Universiti Islam, bagi merealisasikan system pendidikan Islam di negara ini.

Menurut Allahyarhan Tan Sri Dr Muhammad Asri Haji Muda:

“Professor Ustaz Zuikiflli Muhammad dalam masa hayatnya, telah meyakinkan bahawa Islam di Tanah Melayu tidak akan boleh dibangun dan tidak akan mencapai keagungannya melainkan dengan dua jalan. Yang pertama melalui pendidikan dan pelajaran, dan yang kedua melalui kuasa politik yang wajib dimiliki oleh umat Islam. Beliau menekankan, jangan sesiapa mengharapkan Islam akan terbela di tanah air kita ini, kalau kuasa pemerintahan negara tidak umat 100% Islam yang memegangnya.”

Pada awal tahun 50an melalui akhbar dan ceramah beliau menyuarakan penubuhan sebuah kolej Islam sebagai asas kearah university Islam. Tahun 1954, usaha-usaha dijalankan di Johor Bharu, Sultan Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor telah menganugerahkan istananya di Kelang untuk dijadikan bangunan awal Kolej Islam Malaya. Tahun 1955 beliau dilantik menjadi Setiausaha Kolej tersebut. Dua tahun kemudian dilantik menjadi pensyarah Pengajian Melayu, Perundangan dan Tata Negara Islam, juga Kesusasteraan Arab.

Pada 15 Julai 1957, beliau dianugerahkan Professor Kehormat dari Universiti Sawerigading Indonesia. Walaupun menjadi pembangkang, beliau pernah dilantik menjadi Ahli Majlis Universiti Malaya 1960-1961 dan Ahli Jemaah Pengurus Sekolah Menengah Sultanah Zainab Kota Bharu Kelantan. Datuk Haji Muhammad Asri yang baru bergelar Tan Sri juga mengatakan sewaktu memberi kata pengantar buku tulisan Zulkifli Muhammad berjudul ‘Analisis Tentang Beberapa Masalah Hidup Manusia’ terbitan di Pulau Pinang 1968, beliau menulis:

“Saya mengenali beliau sebagai pujangga dengan membaca syair-syair dan sajak-sajaknya. Saya kenal dia sebagai ahli fikir dengan menatap karangan-karangannya di majalah-majalah dan risalah-risalah yang ditulisnya. Saya kenal dia sebagai juru pendidik dengan perkhidmatannya di Kolej Islam sebagai Setiausaha dan Pensyarah. Saya kenal dia sebagai ahli ilmu dengan ceramah-ceramah ilmiah yang diberikan di kolej-kolej dan universiti, ditambah dengan karya-karyanya yang membahas pelbagai bidang ilmu pengtahuan.”

Ustaz Zul pernah ikutserta dalam Gabungan Dewan Perniagaan Melayu Malaya, antara kegiatan yang dicadangkan termasuklah Program Rancangan Lima Tahun dan Pembentukan Bank Melayu. Pada 1 Mei 1955, beliau membentangkan satu kertas kerja bertajuk ‘Preadvice Tentang Perusahaan Pengangkutan Melayu’ dalam satu Persidangan Perusahaan Pengangkutan Melayu Se Malaya anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaya di Ipoh.

Dalam kertas kerja itu beliau mengemukakan bahawa kelemahan orang Melayu di bidang tersebut disebabkan oleh kelemahan modal, latihan teknik, perhubungan perniagaan dan pengalaman, serta saranan-saranan untuk memperbaikinya supaya membolehkan berlakunya pertumbuhan ekonomi yang pesat di kalangan orang-orang Melayu. Di bidang sosial pula, beliau melihat peranan filem Melayu dalam mempengaruhi masyarakat.

Menurut tulisannya:

“Sebagai satu benda filem adalah bermata dua. Ia boleh digunakan bagi kebajikan dan bagi kejahatan. Kita tiada boleh dan jangan sekali-kali menghukum bahawa filem itu hanya berkesan buruk pada masyarakat. Buruk baiknya adalah pada kita anggota masyarakat sendiri. Cara filem yang kita kehendak dan lakunan yang kita hargai adalah menentukan kesan filem kepada kita.”

Bagi Ustaz Zul, filem-filem Melayu mestilah mempunyai identitinya tersendiri. Tidak wajar bagi filem Melayu dan pelakonnya meniru apa yang terdapat di barat sebagai satu nilai. Beliau berkeyakinan bahawa filem Melayu boleh mencapai mutu seperti filem-filem asing serta dapat memberikan pengajaran berdasarkan nilai-nilai tempatan, jika bimbingan yang sewajarnya diberikan kepada pengusaha-pengusaha filem tersebut. Beliau juga menyokong tindakan Lembaga Penapis Filem terhadap filem ‘Kipas Hikmat’ yang diselitkan dengan unsur-unsur yang tidak sihat.

Katanya dalam akhbar ‘New Straits Times’ pada 9 Mac 1955:

“Malay film actresses should not copy what actresses in auther parts of the world do. We have a different way of live and culture.”

Menurut Tan Sri Muhammad Asri lagi:

“Saya kenal dia sebagai ahli pidato dengan syarahannya yang memikat dan suaranya yang mengguntur di hadapan khalayak ramai dengan stailnya yang tersendiri. Saya kenal dia sebagai Ahli Parlimen yang cekap dan peranannya yang aktif sebagai anggota parti pembangkang yang terkemuka, mewakili partinya (PAS) dalam Dewan Rakyat Malaysia, yang mengikut kata orang belum ada Ahli Parlimen Malaysia yang boleh menandinginya sampai sekarang. Di atas dari semua itu, saya kenal dia sebagai seorang pemimpin yang berkelibar besar disegani oleh lawan dan kawan.”

Menurut ‘Berita Harian’ 8 Mei 1964, Tunku Abdul Rahman mengulas tentang kematiannya mengatakan:

“Beliau telah memberikan sumbangan-sumbangan yang sangat berguna dalam perbahasan-perbahasan di Parlimen, kerana itu kehilangannya akan turut dirasakan di Parlimen.”

Beliaulah orang yang pertama menempa sejarah berucap empat jam berturut-turut di Parlimen. Dari laporan-laporan Parlimen di dapati beliau mengemukakan hujjah-hujjah bernas dan berkualiti tinggi. Membangkitkan hak orang-orang Melayu dan gemar berucap mengenai ekonomi dan kewangan negara, sehingga beliau dilantik menduduki Public Accounts Committee. Umpamanya dalam November 1959, beliau membangkitkan soal-soal kerakyatan, cukai, minuman keras, pertanian seperti koperasi dan bidang teknik, hak Melayu dan nperkembangan bahasa Melayu, pengiktirafan sijil Kolej Islam Malaya, Pusat Latihan Guru dan menghentikan penghantaran guru ke Brinsford dan Kirby di United Kingdom.

Disember 1959, beliau membangkitkan soal kerakyatan, perang saraf, pelajaran dewasa, rumah murah, penuntut Melayu di Mesir, Bahasa Melayu, cukai import, perlunya institute penyelidikan industry dan lain-lain. April 1960, mengenai bahasa Melayu sebagai pengantar, ekonomi orang Melayu termasuk RIDA. Ogos hingga Disember 1960 mengenai pendatang haram, orang Melayu luar negeri, Laporan Razak mengenai pelajaran, pengiktirafan ke atas negara Israel, perlunya Malay Economic Secretariat, ali baba, RIDA, cukai, anti corruption agency, architecture kebangsaan dan perlunya rumah-rumah murah kakitangan kerajaan berpendapatan rendah.

Dalam tahun 1961, beliau mengemukakan pendapat mengenai Rancangan Pembangunan Lima Tahun mengenai pelajaran dewasa, penggunaan Bahasa Melayu RIDA, FELDA, Dewan Bahasa dan Pustaka, menentang penubuhan Malaysia, dasar pelajaran dan rasuah. Tahun 1962, mengemukakan perlunya Staff Training Centre, Public Record, Crown Agent, RIDA, kemunduran pelajar Melayu, pengjian Islam, Kolej Islam, penubuhan Tabung Haji, perturan sekolah-sekolah, Kolej Pertanian, Bahasa Kebangsaan, perlunya Secretariat Melayu Kuala Lumpur, bahasa Melayu di mahkamah dan keselamatan jalan raya.

Pada 19 Ogos 1963, beliau berucap menentang penubuhan Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Sehingga Januari 1964 penggal terakhir parlimen bersidang sebelum pilihan raya umum 1964, dari perkara sebesar-besarnya hingga sekeci-kecilnya, yang tidak dapat diselesaikan dibawa ke Parlimen seperti Bahasa Kebangsaan, Syarikat Kerjasama, dasar luar negara Association of Southeast Asia (ASA), kesihatan, sehingga kepada pengaduan bekas seorang mata-mata memohon jawatan pemandu Mohd Yusof Mohd Zain, dan bekas mata-mata dari Seberang Pumpong Alor Setar yang mengadi diberhentikan kerja.

Akhbar Utusan Melayu pada 10 MEI 1964 mengatakan:

“Juga bagi PAS kehilangan Ustaz Zul itu merupakan kehilangan suatu alam fikiran. Alam fikiran Ustaz Zulkifli Muhammad merupakan keperibadian PAS di samping Dr Burhanuddin.”

Ustaz Zul berfikiran terbuka dan berpandangan jauh ke depan. Semasa menuntut di Mesir beliau menubuhkan dan menjadi Presiden ‘Egyption Relief Fun Committee’, sebuah badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dan bukan Islam. Beliau mampu melaksanakan suatu bentuk kerjasama antara kaum dan agama untuk keadilan seperti mengutuk pencerobohan Israel dan lain-lain. Ustaz Zul berpendapat, bahawa Islam tidak dapat ditegakkan dalam negara ini tanpa sokongan orang-orang bukan Islam, malahan mereka mempunyai hak masing-masingdi dalam sesebuah negara Islam.

Beliau juga berpendapat bahawa, jika lambat laun PAS menguasai Kuala Lumpur atau Kerajaan Persekutuan, itu bermakna pemerintahan PAS di Kelantan akan terus menerus lemah. Kerana itu beliau mencadangkan supaya PAS membuka pintu keahlian kepada warga negara Malaysia yang bukan Islam sebagai Ahli Bersekutu. Menurutnya ‘satu perkara yang perlu dilakukan segera’. Tetapi ditolak oleh Jawatankuasa Agung PAS yang menurut Saudara Amaluddin Darus ‘semata-mata kerana takut kalah pilihan raya’

Dalam ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 12 tahun 1964, Dr Burhanuddin Al-Helmi, Yang Di Pertua Agung PAS ke 3 mengatakan:

“Berpulangnya Timbalan Yang Di Pertua kita yang dikasihi, Professor Zulkifli Muhammad bersama isterinya Ustazah Asiah Kamaruddin selaku Naib Ketua Dewan Muslimat ke rahmatullah, adalah suatu peristiwa yang cukup mengharukan hati dan perasaan kita. Hingga saat ini suasana muram dan sedih masih menyelubungin kita semua. Beliau telah pergi dengan meninggalkan kita amanat-amanat perjuangan yang tidak dapat kita lupakan. Yang tetap menjadi kenangan yang tidak kunjung padam.

Beliau telah pergi sesudah beliau menunaikan tugas beliau sebagai pemimpin yang berani, jujur dan bijaksana. Tidak hairanlah kalau kepergiannya dianggap suatu kehilangan besar kepada kawan dan lawan. Tidak hairanlah, kalau Perdana Menteri Malaysia sendiri telah mensifatkan beliau sebagai Pahlawan Demokrasi. Parlimen Malaysia telah mensifatkan beliau sebagai ‘tokoh parlimen yang payah ditandingi’. Malah Sultan Kelantan telah mengurniakan Darjah Kebesaran Al-Muhammadi Yang Ke II, sebagai mengiktiraf atas jasa-jasa dan kebaktian yang telah beliau berikan selama hayatnya.

Memang wajar orang besar tanahair ini berhak menerima penghargaan yang sedemikian rupa, kerana kebesarannya adalah kebesaran perjuangannya. Bagi parti kita PAS, kepergian beliau mempunyai makna yang tersendiri kerana anggapan kita terhadap kebesaan Al-marhum ustaz Zulkifli Muhammad adalah dari segi kepimpinannya selama memegang jawatan Timbalan Yang Di Pertua. Sikap keberanian dan kecekapan, ketabahan dan kejujuran, disertai oleh semangat sedia berkorban adalah antara sifar-sifat utama yang memikat hati kita semua terhadap beliau dalam perjuangan PAS selama ini.

Kini beliau telah pergi dan kita yang tinggal akan menyambung terus perjuangan ini. Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT semoga dihimpunkan oleh Allah roh beliau suam isteri ke dalam himpunan para syuhadak dan mujahidin. Sambil itu, marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan Ummul Quran Al-Fatihah..”

Demikian ucapa dasar Dr Burhanuddin selaku Yang Di Pertua Agung PAS . Kalaulah perjuangan kebangkitan PAS ini boleh diibaratkan sebagai seekor burung, di mana regu Burhanuddin-Zulkifli ini sebagai sayapnya, bolehkah dikatakan sebelah sayapnya sudah patah terkulai menyebabkan penerbangan perjuangan tersebut mula menjunam??

Abdul Samad Gul Ahmad, pemimpin PAS ( Ketua Pemuda) pertama yang dibunuh... sila lihat sejarah PAS sebelumnya. Sejarah PAS siri 12.

Sejarah PAS 22: Dr Burhanuddin, Nasionaliskah?

Sejarah PAS 22: Dr Burhanuddin, Nasionaliskah?

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 22

SETELAH melihat ucapan-uacapan beliau dalam PAS serta peranan beliau sebelum dan selepas menjadi ahli PAS, maka penulis membuat kesimpulan bahawa Dr Burhanuddin bukan seorang nasionalis. Kerana beliau hingga ke akhir hayatnya berada di dalam perjauangan Islam atau gerakan Islam.

Perjuangan Islam, ialah perjuangan yang meletakkan Al-Qur’an dan Al-Hadis sebagai dasar atau teras dalam perjuangannya. Sebelum merdeka sehingga 1957, cuma terdapat dua bentuk gerakan kemerdekaan, tidak termasuk Parti Komunis Malaya yang melanjutkan perjuangan bersenjata apabila darurat diisytiharkan pada Jun 1948.

Pertama:

Ialah, pertubuhan-pertubuhan kebangsaan seperti KMM yang ditubuhkan pada tahun 1938, PKMM yang ditubuhkan pada 1945, UMNO tubuh pada tahun 1946, Parti Negara tubuh September 1951 dan lain-lain. Pertubuhan-pertubuhan ini menggunakan pendekatan dengan meniupkan semangat kemerdekaan Malaya dan kebangsaan Melayu sebagai isu mujarab mereka. Tetapi selepas kemerdekaan, terutamnya akhir-akhir ini, mereka menggunakan isu ekonomi, Islam dan lain-lain.

Kumpulan-kumpulan nasionalis atau kebangsaan ini pula terbahagi dua, kumpulan nasionalis kiri dan nasionalis kanan. Sebenarnya penulis tidak begitu tertarik dengan lebel ‘kiri’ atau ‘kanan’ kepada mereka. Kerana dalam Islam disebutkan, orang yang menerima catatan amal di sebelah kiri sebagai ahli neraka dan di sebelah kanan sebagai ahli syurga. Kalau mendahulukan perbuatan dengan kaki kiri hanya layak ke tandas, sedangkan kaki kanan apabila memasuki rumah Allah yang mulia atau masjid. Begitulah symbol kiri dan kanan dalam Islam.

Lebih tepat apa yang disebut ‘nasionalis kiri’ sebagai golongan nasionalis yang mengambil pendekatan perjuangkan kebangsaan dan kemerdekaan den isu-isu yang agak bertentangan dengan pemerintah atau penjajah waktu itu, seperti KMM, PKMM, Partai Rakyat dan lain-lain. Sedangkan golongan ‘nasionalis kanan’ juga menggunakan pendekatan dengan isu-isu perjuangan kebangsaan dan kemerdekaan, tetapi agak tidak bertententangan dengan kerajaan pada waktu itu. Seperti UMNO, Parti Negara dan lain-lain.

Kumpulan-kumpulan ini tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan mereka, bahkan mengambil kebangsaan sebagai teras perjuangan, walaupun kadang-kadang mereka memperalat isu-isu Islam atau agama itu sendiri untuk kepentingan perjuangan kebangsaan mereka.

Kedua:

Ialah pertubuhan-pertubuhan atau gerakan-gerakan Islam. MATA atau Majlis Agama Tertinggi Se Malaya, walaupun ia sayap bahagian Agama Islam kepada PKMM, namun melalui mesyuarat ke 2 pada 23 Februari 1948 di Gunung Semanggul turut membahaskan usul penubuhan sebuah parti politik Islam. Maka lahirlah Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Begitu juga PAS yang tubuh pada tahun 1951, adalah sayap agama dalam UMNO, tetapi akhirnya bebas dari induknya itu dan beroperasi sebagai gerakan Islam.

Sebenarnya benih perjuangan gerakan Islam bermula pada tahun 1906 di Tanah Melayu apabila pengaruh gerakan reformis Islam Timur Tengah dibawa masuk oleh beberapa pelajar dari sana ke tanah air. Gerakan ini dikatakan begitu berpengaruh di kalangan masyarakat sehingga berjaya meresap masuk ke dalam PKMM yang melahirkan Hizbul Muslimin. Apabila Hizbul Muslimin diharamkan, gerakan ini meresap pula ke dalam UMNO dan melahirkan PAS. Jadi, gerakan Islam adalah gerakan yang berdiri sendiri bukan lahir dari pertubuhan-pertubuhan kebangsaan atau gerakan nasionalis tersebut. Juga bukan pula ditubuhkan parti politik nasionalis.

Memang adalah suatu pendekatan yang bijaksana amat sesuai di saat rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang mahukan kemerdekaan, maka pendekatan yang dibuat oleh gerakan Islam adalah melalui isu-isu kebangsaan Melayu seperti bahasa, jus soli, kemerdekaan yang menyeluruh dan lain-lain. Dalam ‘Falsafah Kebangsaan Melayu’ 1954 oleh Dr Burhanuddin sebelum beliau menjadi ahli PAS, menyebutkan:

“Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan, tetapi hanya suatu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat.”

Jadi, Dr Burhanuddin adalah seorang tokoh gerakan Islam yang menggunakan pendekatan nasionalis dalam dakwahnya. Begitu juga tokoh-tokoh PAS peringkat awalan yang lain seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hasan, Tuan Haji Ahmad Badawi (ayah PM Malaysia ke 5) dan yang se angkatan dengannya, menggunakan pendekatan nasionalis yang agak mirip kepada menyokong pemerintah atau parti-parti anak didik pemerintah (penjajah) seperti UMNO dan Parti Negara waktu itu.

Walaupun akhirnya mereka berpecah mengikut perpecahan dalam UMNO, yang mana kumpulan Tuan Haji Ahmad Fuad menyokong Datuk Onn bersama-sama Parti Negara dan Tuan Haji Ahmad Badawi menyokong Tunku Abdul Rahman bersama-sama UMNO. Dr Burhanuddin selepas mengambil alih pimpinan PAS, menggunakan pendekatan nasionalis dan kemerdekaan agak menonjol dan bercanggah dengan parti-parti anak didik pemerintah, yang akhirnya jadi pemerintah seperti UMNO.

Pendekatan in juga sesuai sebagai pembangkang yang terkuat waktu itu, untuk mengaut undi pembangkang. Kepimpinan Dr Burhanuddin dalam PAS bermula dari tahun 1956 hingga tahun 1969. Tetapi perjuangan PAS selepas beliau, iaitu di bawah kepimpinan Datuk Haji Muhammad Asri Haji Muda memilih pendekatan nasionalisme yang agak menyokong pemerintah pula. Mungkin di atas sebab-sebab yang dirasakan sesuai waktu itu seperti

akibat dari bahana peristiwa rusuhan kaum ’13 Mei’, percubaan mengIslamkan kerajaan dari dalam, dan lain-lain.

Walaupun ada juga hasilnya, namun percubaan itu begitu berani dan jauh meninggalkan arena pembangkang, sehingga sanggup bernaung di bawah satu lambang, iaitu ‘dacing’ dalam ikatan bernama ‘Barisan Nasional (BN)’. Kekalahan dalam percaturan politik Datuk Haji Muhammad Asri dengan parti pemerintah mengakibatkan PAS disingkir dari gabungan BN. Kelantan juga berjaya dirampas dari PAS dengan cara yang dianggap’curang’ menyebabkan Datuk Haji Muhammad Asri terpaksa menarik diri dari kepimpinan PAS yang dipimpinnya dari tahun 1969 hingga 1982.

Mungkin Allahyarham Haji Muhammad Asri tidak dianggap tokoh gerakan Islam atau ‘tokoh kebangsaan bertopengkan Islam’ kerana beliau telah menyertai gerakan kebangsaan. Iaitu setelah keluar dari PAS menubuhkan HAMIM yang baru dan akhirnya memilih UMNO. Walaupun begitu PAS di bawah kepimpinan Datuk Haji Muhammad Asri tetap berjalan di atas landasan dasar dan cita-cita Islam. Kini PAS di bawah kepimpinan ulama haraki telah menggunakan pendekatan Islam, sesuai dengan suasana dan iklim masyarakat Malaysia yang majmuk seperti sekarang ini.

PAS berjaya merampas kembali negeri Kelantan bersama-sama Parti Semangat 46 atau kerjasama yang dipanggil Angkatan Perpaduan Ummah (ANGKATAN) dalam pilihan raya 1990. Kepimpinan di bawah ulama haraki bermula dari 1982 hingga 1989 dipimpin oleh Tuan Haji Yusuf Abdullah Ar-Rawi atau Tuan Haji Yusuf Rawa dan Ustaz Haji Fadzil Munammad Noor dari tahun 1989 hingga akhir hayatnya, lalu disambung oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Melihat kepada…
pertama, ucapan dan tulisan Dr Burhanuddin,
kedua, latar belakang pengajian dan perlaksanaan dalam beragama,
ketiga, pengalaman-pengalaman politk Islam di dalam dan luar negeri, dan
keempat, perjuangannya hingga ke akhir hayat dalam perjuangan Islam,
…maka wajarlah beliau disebut-sebut sebagai tokoh gerakan Islam yang bukan seorang nasionalis!

Tambahan

Latar Belakang Dr Burhanuddin

Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak. Burhanuddin Al-Helmy mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama dan sekolah Melayu. Dia dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatra Barat pada tahun 1924 hingga 1926.

Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas senawi pada tahun 1934. Burhanuddin Al-Helmy telah mendapat biasiswa seorang hartawan India muslim dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh. Di universiti tersebut Burhanuddin Al-Helmy mengambil bidang sastera dan falsafah. Beliau dianugerahkan PhD daripada Universiti Aligarh,

India. Sekembalinya dari pelajarannya di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin Al-Helmy kembali bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura. Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy belajar ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India. Dengan kelayakan ini, Burhanuddin Al-Helmy telah membuka sebuah klinik di Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura. Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Pembabitan awal Burhanuddin Al-Helmy:
· Penerbit majalah Taman Bahagia, Singapura
· Penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat, Singapura
· Ahli Persatuan Jama’atul Islamiah
· Ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM), 1939
· Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu semasa pendudukan Jepun
· Pemimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), 1945
· Ketua Umum Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945
· Pengerusi PUTERA-AMCJA, 1947
· Ahli Jawatankuasa Perhubungan Bangsa-bangsa Asia, 1947
· Ahli pengasas PEPERMAS, 1947
· Ahli pengasas MATA, 1947
· Ahli pengasas Hizbul Muslimin, 1948
· Wakil Malaya di Persidangan Afro-Asia Bandung, 1955
· Jurucakap Barisan Kebangsaan Melayu, 1955
· Melancarkan penubuhan Parti Rakyat Malaya, 1955

Pengaruh Awal Pemikiran

Semasa belajar di Jambu, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin Al-Helmy berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat islam Indonesia. Di samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di kalangan aliran Kaum Muda. Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Kepala Batas, Burhanuddin Al-Helmy juga terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang telah menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau.

Semasa belajar di India pula pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain. Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India Burhanuddin Al-Helmy telah mengembara ke Palestin dan Turki. Beliau mengikuti perkembangan umat Islam di sana. Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy telah bergiat cergas dalam pergerakan-pergerakan Islam di pulau tersebut.

Beliau menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British yang akibatnya dia ditahan oleh pihak British di sana. Selepas itu, Burhanuddin Al-Helmy terus bergiat pula dengan persatuan Jama’atul Islamiah dan menjadi penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat.

Ditahan dan Merengkok dalam Penjara

Selepas tamat pelajarannya di India, Burhanuddin Al-Helmy mengembara ke Palestin dan Turki. Semasa di Turki belaiu ditahan kerana terlibat dalam gerakan anti-British di sana. Ketika di Singapura pada pertengahan 1930an, Burhanuddin Al-Helmy telah menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British. Satu jam selepas edisi pertama majalah ini diterbitkan, beliau ditahan oleh pihak British. Beliau dipenjarakan selama enam bulan. Terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin sebanyak $1,000.

Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmy telah ditahan oleh British akibat Peristiwa Natrah. Dia dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh) dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda. Dia telah dipenjara selama satu tahun. Namun, terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dipenjarakan selama tiga tahun di Singapura ekoran peristiwa tersebut, iaitu dari dari tahun 1950 hingga 1952.

Terdapat catatan yang peristiwa Natrah itu hanya sebagai alasan bagi pihak British menahan Burhanuddin Al-Helmy. Sebenarnya Burhanuddin Al-Helmy ditahan oleh British kerana semasa Darurat pada 1948, beliau menyeru secara terbuka orang Melayu jangan menyerang kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan. Peristiwa Natrah hanya dijadikan alasan oleh pihak British. British tidak boleh menahan Burhanuddin Al-Helmy yang bergiat masa itu di Singapura kerana pulau tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang Darurat yang hanya dikuatkuasakan di Semenanjung Tanah Melayu.

Burhanuddin Al-Helmy menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Ini menyebabkan dia ditahan di bawah ISA pada bulan Januari 1965 kerana dituduh terlibat dalam kerajaan buangan di Riau, Indonesia. Burhanuddin bin Al-Helmy jatuh uzur semasa dalam tahanan. Pada bulan Mac 1966, beliau dibebaskan bersyarat dan dikenakan sekatan kawasan. Di antara syaratnya adalah beliau tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Syarat tersebut ditarik balik hanya pada 22 September 1969.

Tokoh Perjuang Kemerdekaan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah antara tokoh ulung perjuangan kemerdekaan. Beliau bergiat cergas dalam KMM dengan tujuan menentang penjajahan British. Semasa pendudukan Jepun, Burhanuddin Al-Helmy dan beberapa orang rakannya mengambil strategi licik. Ini diungkapnya sebagai:

”Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan di ruimba jadi anti-fascist ada yang menjalankan gerakan rayap – semut api – harimau dan sebagainya”

Dengan sokongan pihak Jepun, beliau bersama-sama Ibrahim Yaacob memimpin KRIS membuat persetujuan dengan Seokarno dan Mohd Hatta di Taiping untuk mengisytiharkan kemerdekaan serentak di Tanah Melayu dan Indonesia pada 17 Ogos 1945. Tetapi Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945. Seokarno meneruskan rancangannya mengisytiharkan Indonesia merdeka dari Belanda pada 17 Ogos 1945. Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak dapat berbuat demikian memandangkan perkembangan yang amat berbeza di Tanah Melayu ketika itu.

Selepas Jepun berundur, PKMM ditubuhkan sebagai satu kesinambungan daripada KMM. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menjadi Ketua Umum PKMM yang pertama. Semasa diadakan kongres PKMM ke-2 di Melaka pada Disember 1946, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah disambut hebat oleh pelbagai lapisan kaum di sana. Dalam ucapan tersebutlah Burhanuddin Al-Helmy melafazkan pantun pusakanya yang terkenal:

Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka.

Pembabitan Burhanuddin Al-Helmy dalam PUTERA, PEPERMAS, MATA dan Hizbul Muslimin sepanjang tahun 1947-1948 adalah juga dengan tumpuan menyemarakkan perjuang mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. Di antara kemuncak perjuangannya menuntut kemerdekaan adalah apabila Burhanuddin Al-Helmy sebagai pengerusinya telah menerajui Sepuluh Dasar PUTERA-AMCJA beserta bendera merah putih duabelas bintang kuning sebagai melambangkan Malaya Merdeka.

Pembabitannya melancarkan Parti Rakyat Malaya sebaik sahaja Ahmad Boestamam dibebaskan dari penjara pada tahun 1955 juga adalah dalam konteks menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Pada masa itu politik kiri adalah bermaksud anti-British. Mereka yang mengambil sikap no-cooperation terhadap penjajah British di anggap sebagai ”kiri”. Sedangkan mereka yang bersikap cooperation seperti UMNO, dianggap ”kanan”.Menyertai dan Memimpin PAS

Ketika PAS ditubuhkan pada bulan Ogos 1951, Dr. Burhanuddin Al-Helmy masih dalam tahanan penjara di Singapura. Apabila Yang Dipertua Agung Pas yang pertama, Ustaz Ahmad Fuad melepaskan jawatannya pada tahun 1953 tugas memimpin PAS diambilalih oleh Dr. Hj Abbas Alias. PAS di bawah kepimpinan Dr. Abbas tidak begitu lama, iaitu hanya selama 3 tahun 2 bulan sahaja. Ini adalah disebabkan Dr. Abbas tidak dapat bergerak aktif kerana masih terikat dengan jawatannya di dalam perkhidmatan kerajaan, iaitu sebagai seorang pegawai perubatan.

Angkatan muda dalam PAS pada masa itu yang antaranya terdiri daripada Ustaz Othman Abdullah, Ustaz Hasan Adli, Ustaz Abdul Wahab Noor dan Mohd Asri Muda telah mengadakan mesyuarat tidak rasmi berhubung dengan jawatan utama PAS. Mereka bersepakat bahawa tidak ada orang yang lebih tepat memimpin PAS pada masa itu selain daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Ketika itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy hanya bergiat cergas mempromosi Parti Rakyat Malaya di seluruh Tanah Melayu. Ini bermakna, Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Pada bulan Disember 1956 satu perwakilan yang terdiri daripada Ustaz Abdul Wahab Noor dan Ustaz Baharuddin Latiff telah diutus bertemu Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Beliau bersetuju untuk menyertai PAS. Terdapat juga catatan yang menyatakan bahawa tugas ini dilaksanakan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Hj Said Abdul Hadi yang diamanahkan oleh Ustaz Hasan Adli untuk mendapatkan persetujaun bertulis daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan meminta beliau mengisi borang PAS.

Walau bagaimanapun, sebelum itu pun memang sudah terdapat persetujuan tidak rasmi di kalangan mereka bertiga agar Ahmad Boestamam menerajui Parti Rakyat Malaya, Ishaj Haji Muhammad (Pak Sako) menerajui Parti Buruh dan Burhanuddin bin Al-Helmy menerajui PAS. Jadi pelawaan daripada pemimpin-pemimpin PAS kepada Burhanuddin Al-Helmy adalah tepat pada masanya.

Demokrasi dalam PAS

Setahun sebelum Dr. Burhanuddin Al-Helmy menyertai PAS, beberapa orang pemuda juga telah pergi ke Kuala Kangsar untuk bertemu dengan Prof Zulkifli Muhammad. Tujuan mereka adalah untuk mempelawanya menyertai PAS. Prof Zulkifli Muhammad menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1955. Dalam Muktamar PAS ke-5 pada 25 Disember 1956, terdapat dua pencalonan bagi jawatan Yang Dipertu Agung, iaitu Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Zulkifli Muhammad.

Daripada kawasan-kawasan Prof Zulkifli Muhammad mendapat pencalonan yang lebih banyak daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Keadaan ini adalah disebabkan terdapat ahli-ahli PAS pada masa itu yang bimbang dengan latarbelakang politik Dr. Burhanuddin Al-Helmy sebelum menyertai PAS. Sebahagian ahli PAS lebih selesa jika PAS dipimpin oleh Prof Zulkifli Muhammad memandangkan beliau seorang tokoh muda yang sangat karismatik dan pernah belajar agama di Mesir. Dalam pemilihan jawatan tertinggi PAS dalam Muktamar ke-5 itu,

Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah berjaya menewaskan pencabarnya, iaitu Prof Zulkifli Muhammad. Pertandingan bagi jawatan tertinggi parti di antara kedua tokoh besar ini menunjukkan kematangan ahli-ahli serta amalan dan suasana demokrasi dalam PAS sejak awal-awal penubuhannya. Muktamar seterusnya memilih Prof Zulkifli Muhammad menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Gabungan mereka berdua inilah yang terus memantapkan PAS.

Selepas diberikan amanah memimpin PAS, Dr. Burhanuddin Al-Helmy menunjukkan betapa gigihnya beliau melaksanakan tugas tersebut. Pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy dalam PAS adalah yang paling lama jika dibandingkan dengan tempoh beliau berada dalam mana-mana parti terdahulu yang disertanya. Malah hayatnya ditutup dalam PAS. Bahkan pada zamannya juga PAS berkembang dengan luasnya. Tugas memimpin PAS dilaksanakan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy walaupun sebahagian dari tempoh ini dilaluinya semasa menjalani penahanan dan sekatan tanpa bicara di bawah ISA.

Seorang Demokrat Berperlembagaan

Selaras dengan dasar PAS mengambil bahagian dalam pilihanraya untuk mendapatkan suara rakyat bagi mengukuhkan perjuangan Islam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1959. Beliau menang dan menjadi wakil rakyat Pas bagi kerusi Parlimen Besut, Terengganu. Pada masa itu sistem pilihanraya Dewan Undangan Negeri dijalankan mengikut negeri ke negeri. Negeri paling akhir selepas Terengganu adalah Kelantan.

Dengan sistem seperti ini, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan pimpinan PAS telah menyusun tenaga kerja jentera PAS dipindahkan dari satu negeri ke satu negeri. Di Dewan Undangan Negeri Terengganu, PAS menang 13 daripada 24 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu. Manakala di peringkat Parlimen pula, calon-calon PAS menang empat kerusi, iaitu Ustaz Hasan Adli di Kuala Terengganu Utara,

Khadijah Sidek di Dungun, Harun Pilus di Terengganu Tengah dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Besut. Dengan kemenangan ini, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy menggunakan kempen ”Kalau di Terengganu PAS boleh menang, kenapa Kelantan tidak?”
Ternyata taktik ini berkesan sekali sehingga PAS memenangi 28 daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri dan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan. PAS juga memenangi sembilan daripada sepuluh kerusi Parlimen di Kelantan.

Dalam konteks yang lebih luas, Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga telah mempertahankan amalan demokrasi di atas dasar Perlembagaan yang sedia ada. Di atas sebab itu beliau menentang penubuhan Malaysia. Baginya, penubuhan Malaysia adalah bertentangan dengan konsep Persekutuan yang memberi ruang yang luas bagi pembangunan setiap negeri di bawahnya.
Menurutnya, dengan wujudnya Malaysia, maka ”mahu tidak mahu Kelantan menjadi satu bahagian di bawah kekuasaan Malaysia”.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy mahu kerajaan Pusat bersikap lebih demokratik dengan merundingkan penubuhan Malaysia dengan kerajaan negeri terlebih dahulu. Di bawah pimpinannya, kerajaan PAS Kelantan telah mengheret isu Malaysia ke mahkamah bagi mendapatkan injuksi penanguhan pembentukan Malaysia. Ternyata pendekatan dan ketokohan Dr. Burhanuddin Al-Helmy serta pemimpin-pemimpin PAS yang lain pada masa itu amat diterima rakyat, khasnya di kalangan kaum Melayu.

Kejayaan PAS dalam pilihanraya 1959 juga membuktikan PAS adalah sebuah parti politik dan gerakan Islam yang bersedia memanfaatkan saluran sistem demokrasi yang bersesuaian dengan Islam bagi tujuan memajukan Islam, rakyat dan negara. Di atas kejayaan ini, kerajaan Perikatan menggunakan taktik kotor untuk menghalang kemaraan PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Satu langkah licik telah digunakan untuk menghalang Dr. Burhanuddin Al-Helmy daripada mempertahankan kerusi Parlimen Besut.

Dalam pilihanraya 1964, Suruhanjaya Pilihanraya telah mengisytiharkan Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak layak bertanding kerana telah didenda sebanyak $25,360 oleh sebuah mahkamah atas satu kesalahan teknikal dalam sebuah syarikat perniagaan.

Sumbangan kepada Gerakan Islam

Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah seorang pemimpin politik Islam yang mendahului zamannya.
Beliau adalah seorang yang progresif, realistik, berpandangan global serta sentiasa bertindak berpandukan prinsip-prinsip Islam. Beliau progresif kerana beliau menolak sebarang bentuk dan unsur kolonialisme. Motivasi utama dalam perjuangan politiknya dalah untuk memerdekan rakyat Tanah Melayu – bahkan seluruh bumi Asia – daripada penjajahan, sama ada penjajahan dari Barat mahupun dari Timur.

Beliau realistik kerana belaiu sentiasa bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak – parti politik bukan Melayu atau bukan berasaskan Islam – yang memiliki cita-cita dan tujuan yang sama, iaitu untuk sama-sama mencapai matlamat perjuangan membebaskan rakyat daripada penjajahan. Dari satu sudut Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang ahli politik yang bersikap praktikal dan realistik kalaupun tidak pragmatik. Pendekatannya terbuka.

Pengalaman silamnya sebelum menerajui PAS yang sentiasa bersedia bekerjasama untuk mengejar cita-cita bersama - iaitu kemerdekaan – telah berjaya menempatkan PAS dalam kancah arus perdana politik negara pada masa itu. PAS dilihat ada kelainan tetapi tokoh PAS ini tidak lain dan asing bagi mereka yang sama-sama mahu mengejar cita-cita kemerdekaan. Pakatan politik yang diwujudkan olehnya dengan parti-parti bukan Melayu dan bukan berasaskan Islam telah melonjakkan PAS sebagai sebuah parti yang berjuang di atas satu ideologi yang jauh lebih jelas daripada UMNO.

Kelainan inilah yang sebut oleh pimpinan PAS hari ini sebagai aqidah perjuangan. Dalam bahasa Dr. Burhanuddin Al-Helmy ia disebut sebagai ideologi perjuangan. Ini kerana pada masa pemimpin-pemimpin UMNO terperangakap dengan persoalan politik perkauman dan perjuangan kebangsaan yang sempit, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy Berjaya meyakinkan rakyat bahawa akar umbi masalah rakyat Tanah Melayu adalah warisan penjajahan yang berupa penindasan ekonomi dan politik serta sistem kapitalis global yang menindas dan memperhambakan pribumi tanah jajahan. Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga mendedahkan kepincangan masyarakat apabila sejumlah elit politik pribumi bersekongkol melindungi dan mempertahankan penindasan sistem penjajah ini.

Karya dan Penulisan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menghasilkan buku yang bercorak politik antaranya:
• Perjuangan Kita, 1946
• Falsafah Kebangsaan Melayu, 1947
• Agama dan Politik, 1954,
• Ideologi Politik Islam, 1957

Namanya Diabadikan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 berpunca daripada serangan lelah. Sebenarnya Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah jatuh sakit semasa dalam tahanan ISA. Ketika beliau dibebaskan dengan sekatan kawasan pada tahun 1966, penyakitnya masih belum sembuh. Namanya diabadikan di sebuah sekolah di Taiping dan nama jalan di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, Selangor. Beliau dianugerah pingat emas Commander of World Order of Human Merit daripada I’Ordre Universal du Merit Human, Geneva pada 15 November 1959 di atas sumbangannya dalam pembangunan perubatan homeopati.

Tamat Difailkan dalam: Berita Pas Pahang

Sejarah PAS 21: Demokrasi Liar.

Sejarah PAS 21: Demokrasi Liar.

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 21

DALAM ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 11 tahun 1962, Dr Burhanuddin mensifatkan parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang sepatutnya menjadi ‘rumah yang penuh dengan kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan cita-cita politik yang baik dan halal’ telah dikongkong oleh sekatan peraturan mesyuarat. Ianya tidak memberi peluang untuk ‘mengemukakan usul dan pandangan mengenai sesuatu umat sekiranya menyakiti hati umat yang lain’.

Itulah ‘tekanan terhadap fahaman politik yang halal dan hak’ telah ditunjukkan oleh PERIKATAN apabila parlimen bermesyuarat. Menurutnya, tujuan utama politik kotor PERIKATAN itu ialah hendak menghapuskan pembelaan umat Islam di parlimen kerana PAS berusaha bersungguh-sungguh memperjuangkan perlaksanaan hukum Allah SWT dan kepentingan umat di dalam negara. Siapakah yang untung dengan peraturan yang tidak demokrasi itu selain dari orang-orang yang bukan Islam? Beliau bertanya.

Mencerobohi demokrasi adalah berlawanan dengan semangat perlembagaan Persekutuan yang mengakui kedaulatan bersuara, Tetapi, bagi kerajaan yang zalim seperti PERIKATAN, itu semuanya menjadi sia-sia sebab tujuan mereka ialah hendak mengekalkan kekuatan politik mereka. Penangkapan terhadap musuh politik kerajaan telah dibuat. Beliau memberi peringatan kepada PM (Perdana Menteri), bahawa perjuangan Islam tidak dapat dihentikan dengan kekerasan, bahkan akan terus melalui salurannya hingga tercapai cita-cita suci sepenuhnya.

Akhbar The Malaya Tribune, 10 Feb 1947

Menangkap lawan politik adalah perbuatan yang sehabis-habis tidak bermodal sama sekali dan lebih baik mengisytiharkan bahawa kerajaan tidak ada niat hendak memanjangkan demokrasi. PAS telah nmpak bahawa umat Islam, negara dan rakyat seluruhnya tidak dapat diselamatkan, melainkan dengan berpegang kepada ajaran dan asas pemerintahan yang adil serta jujur seperti yang diajarkan oleh Al-Qur;an. Bila disebut menurut Al-Qur;an dan Al-Hadis, maka menjadi tujuannya ialah mengamalkan sepenuhnya dalam masyarakat dan lain-lain, yang lengkap keseluruhannya, tidak boleh dipecah-pecahkan dan dipisah-pisahkan antara satu sama lain.

Beliau menyelar percubaan mengunakan Islam sebagai alat politik seperti yang dibuat oleh UMNO yang hanya mencemarkan nama Islam. Ketika menyebut dasar perhubungan negara-negara Islam dalam membentuk sebuah Komanwel Islam menurut akhbar, PM telah mengatakan bahawa antara yang akan diselesaikan oleh negara-negara Islam ialah menyamakan masa puasa 12 jam, tidak lagi berbeda 15 jam atai 17 jam bagi semua negara Islam.

Bagi orang yang memahami hukum puasa tentu mengetahi bahawa itu adalah satu percubaan menukar hukum Allah SWT yang tidak patut terlintas di hati sesaorang Muslim. Bila beliau menyebut negara berdasarkan Islam, maka asas dan pandangan politik hendaklah terang sesuai dengan ajaran Islam. Perundangan yang berlawanan dengan Al-Qur’an adalah terbatal. Itu menjadikan keadilan Islam dalam undang-undang dan politik negara sebagai asas pemerintahan dan dapat menyelesaikan masalah yang timbul.

Hendaklah diinsafi bahawa punca kesalahan yang besar adalah kezaliman. Apabila kezaliman berlaku dalam apa bentuk sekalipun maka akan terganggulah ketenteraman hidup masyarakat di dalam negara. Selagi kezaliman tidak dibetulkan, maka selama itulah kepincangan akan terus melanda. Keadialan politik tersebut tidak akan menganiayai sesiapa dan layanan yang sesuai dengan kehidupan rakyat tentulah akan diberikan. Ramai orang memikirkan bahawa di dalam negara Islam, orang bukan Islam tidak langsung mendapat tempat.

Menurut beliau, itu tidaklah sesuai dengan ajaran Islam malah sebaliknya Islam mengakui wujudnya mereka, tetapi tidak meletakkan mereka untuk memerintah dan mempunyai kekuasaan ke atas orang-orang Islam. Timbang rasa Islam kepada orang bukan Islam itu tidak sekali-kali sama seperti apa yang dibuat oleh UMNO, yang telah memberikan kuasa kepada orang bukan Islam, untuk memerintah orang Islam seperti yang berlaku. Kerana itu menurutnya, sedikit demi sedikit kuasa yang ada pada orang Islam berpindah kepada orang yang bukan Islam, sehingga orang Islam merasa bahawa mereka tertindas dan akan diper’budak-budak’kan di masa mendatang.

Parti PERIKATAN juga melaksanakan tekanan politik dengan menggunakan alat kerajaan seperti Jabatan Penerangan Kerajaan. Terutama dalam pilihan raya lepas dan sudah tentu demikian juga pada masa akan dating. Katanya dalam muktamar tersebut, ‘Perbuatan yang tidak halal itu hendaklah kita hadapi bukan sahaja dengan cakap-cakap dan menuntut kerajaan memberhentikannya, tetapi dengan menambah kuat perpaduan dan tenaga pilihan raya.’

Dalam ucapan PAS ke 12 tahun 1964 selepas pilihan raya umum berlalu, beliau menekankan bahawa kalau orang hendak menghukum dengan jujur adil, dia hendaklah meneliti dari segenap sudut dan aspek. Terutama dari segi kegiatan PERIKATAN yang memainkan peranannya sebelum dan sewaktu pilihan raya itu berlangsung. Demikian juga dalam pilihan raya kecil yang baru berlalu waktu itu. Dengan menggunakan alat-alat negara, tekanan, ugutan dan tangkapan telah dilakukan dengan tidak silu dan malu. ‘Inilah senjata sulit mereka, agaknya.’ Kata Dr Burhanuddin lagi.

‘Muka berpandangan, budi kedapatan! Norma-norma susila dan hukum-hukum demokrasi telah dilanda dengan cara sewenag-wenangnya.’ Peristiwa konfrantasi dan ancaman subversive telah diperalatkan demikian rupa sehingga telah menimbulkan suatu suasana, yang kelam, kaku, beku dan menggerunkan rakyat, menurut Dr Burhanuddin lagi. Kehidupan demokrasi di tanahair yang dimegah-megahkan oleh pemimpin negara, pada hakikatnya talah lama ternoda dan dinodai sehingga ia menjadi liar.

Menurut beliau, ‘Demokrasi liar’ dalam negara telah banyak memakan korban, termasuk antaranya tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan (ADUN) dan beberapa orang ulama telah ditahan di bawah Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri atau ISA beberapa ketika sebelum pilihan raya berlangsung. Tetapi ketiga-tiga ADUN tersebut telah dicalunkan semula oleh PAS walaupun sedang merengkuk dalam tahanan. Kemenangan mereka dalam pilihan raya tersebut menjadi satu alasan besar membuktikan sanggahan rakyat atas tangkapan wakil-wakil mereka. Sampai bilakah agaknya pihak PERIKATAN akan menghidupkan demokrasi liar yang memilu dan memalukan itu? Tanya beliau.

Belaiu berseru atas nama kebenaran dan keadilan supaya pihak berkuasa membebaskan mereka segera! Beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin PAS supaya semakin tabah dan terus memperkuatkan kedudukan parti, kerana perjuangan Islam tidak mengenal putus asa. Itulah ujian ke atas kaum Muslimin yang perlu dihadapi dengan ketenangan, kesabaran dan penuh keparcayaan bahawa satu ketika nanti akan berjaya juga, insya Allah. Pilihan raya telah berakhir, tetapi bahang panasnya masih terasa.

Begitu hebat. Sehingga setengah-setengah tempat perlu diadakan pertemuan-pertemuan muhibbah untuk menenangkan suasana tempatan. Sengketa politik semasa berkempen perlu diganti dengan suasana keharmonian sebagai kehendak demokrasi itu sendiri. Beliau menyeru supaya sama-sama berdemokrasi mewujudkan kerajaan pilihan rakyat dan menjalankan kerajaan tanpa membedakan antara puak dan golongan. Bertengkar mengenai politik bukanlah bermakna berpecah belah dalam kehidupan masyarakat.

Itulah yang belum difahami umum dan menjadi tragedy demokrasi. Oleh itu demokrasi dengan pengertian yang murni perlu difahami benar-benar. Peristiwa yang berlaku di Singapura waktu itu juga menarik perhatian beliau dalam muktamar tersebut. Bermulanya kejadian tersebut menurut Tun Razak, ‘Orang lempar botol waktu perarakan Maulid Nabi’, atau teori Lee Kuan Yew, ‘Kerana tindakan gangstar’ dan teori PM .Kerana kegiatan agen-agen Indonesia. Sebarang peristiwa semuanya boleh berlaku selagi pemerintah tidak dapat memahami hakikat naluri kehidupan masyarakat adil.

Menyembunyikan hakikat tersebut semata-mata untuk merebut kemenangan cakap, adalah bererti membiarkan api yang bebas meresap ke dalam sekam. Walau bagaimanapun peristiwa itu hanya sekadar percikan manifestasi dari kepincangan masyarakat di Singapura itu sendiri. Beliau merasa kesal dengan peristiwa tersebut. Usaha-usaha yang konkrit supaya tidak berulang lagi hanya dapat dilakukan dengan membetulkan kepincangan. Kerajaan Pusat yang bertanggung jawab.

Bukan hanya dengan melaungkan cakap kononya ‘perpaduan rakyat dalam negara ini utuh dan kukuh’ atau ‘negara ini menjadi contoh bagaimana beberapa kaun dan keturunan dapat hidup dengan harmoni sebagai satu warganegara yang padu, aman dan damai’. Akhirnya beliau mengenengahkan Islam sebagai cita-cita kenegaraan. Tidak sahaja membawa rahmat kepada umat Islam, tetapi juga membawa kebajikan kepada yang bukan Islam di dalam negara.

Kerana Islam itu di dalam sifat dan sejarahnya telah membuktikan pengakuan kepada orang bukan Islam atas hak-hak dan melindungi kesejahteraan hidup harian mereka sebagai rakyat yang taat setia kepada negara. Tidak ada apa yang hendak dirunsingkan oleh orang bukan Islam di dalam negara Islam. Kerunsingan yang timbul adalah kerana kejahilan dan momokan pihak lain, menurutnya lagi. PAS sebagai sebuah parti politik Islam selalu disalahfahamkan, kononnya bersifat anti Cina dan anti orang bukan Islam.

Tuduhan yang tidak bertanggung jawab ini telah dibuktikan oleh pemerintahn kerajaan PAS Kelantan, bahawa orang yang bukan Islam dapat hidup dengan tidak dikenakan sebarang penindasan dan kezaliman ke atas mereka. Tetapi bagi tokoh-tokoh mereka yang berbangga kononya parti mereka ‘bencikan perkauman’, ‘juara damai dan hidup tenteram pelbagai kaum’, sejarah telah membuktikan dengan peristiwa di Singapura berlaku di hadapan mata mereka waktu itu. Sejarah juga menjadi bukti sejauh manakah politik PAS telah mengharu-birukan keharmonian masyarakat berbagai kaum di dalam negara?

Jawapannya, tidak!!